Tuesday, December 29, 2009

'Mayat Hidup' Berkeliaran Di Sekitar Masjid Negara

Seorang lelaki dipercayai penagih dadah sedang mengorek sampah sarap di perkarangan Masjid Negara.

NAJIS dadah bukan sahaja menghancurkan kehidupan orang yang terjebak dalam gejala ini malahan insan lain seperti keluarga di sekelilingnya jika tidak dibendung.

Sudah banyak kisah dan teladan yang telah dipaparkan tentang kesan-kesan buruk dadah terhadap penagih terbabit dan bagaimana pengaruh najis itu akhirnya memudaratkan diri sendiri.

Walaupun banyak usaha telah dijalankan baik oleh kerajaan, badan-badan bukan kerajaan (NGOs) serta ahli-ahli keluarga untuk membantu golongan penagih mengatasi masalah mereka, namun semua usaha itu nampaknya tidak dihargai oleh golongan ini.

Mereka seolah-olah tidak langsung menghargai hidup yang amat berharga sebaliknya terus melayani ketagihan sehingga sampai ke tahap yang tidak dapat dibantu lagi.

HIDUP MEREMPAT

Seorang lelaki dipercayai penagih dadah sedang melepak selepas waktu Maghrib di kawasan terbuka berhampiran Masjid Negara.

Buktinya dapat dilihat dengan nyata di sekitar ibu kota sendiri. Contohnya, penagih-penagih dadah yang hidup merempat di kaki-kaki lima di hadapan Masjid Negara.

Tinjauan mStar Online mendapati kehidupan penagih-penagih itu tidak terurus dan mereka dilihat merayau-rayau, mengutip tin-tin kosong dari tong sampah dan meminta sedekah daripada pelancong-pelancong serta jemaah yang datang beribadat di situ.

Menurut Aishah Saad yang menjaja makanan ringan di perkarangan Masjid Negara, kebanyakan daripada penagih-penagih dadah melepak di kawasan terbuka berhampiran kawasan itu selepas waktu Maghrib.

“Mereka sering datang meminta sedekah daripada pelancong-pelancong asing yang melawat masjid ini. Adakala kalanya jika saya tidak menurut kemahuan mereka, penagih-penagih tersebut marah dan akan mencuri.

“Pada awal tahun lepas, beg tangan majikan saya dicuri oleh salah seorang daripada penagih yang selalu melepak di kawasan ini. Dia meragut beg majikan saya yang sarat mengandung dan sempat melarikan diri.

"Malangnya penagih itu dengan berani kembali melepak di kawasan ini dengan selepas itu walaupun aduan polis telah dibuat,” kata Aishah ketika ditemui di hadapan masjid itu pada hari Ahad lalu.

Walaupun begitu, katanya, bilangan penagih yang datang melepak di kawasan itu telah berkurangan berbanding tahun lalu.

“Tahun lalu kira-kira 20 hingga 30 orang akan melepak di kawasan tempat ibadat ini tetapi kini hanya sekitar 10 orang sahaja dilihat sedang berkeliaran.

Gambar hiasan bagaimana seorang penagih dadah tradisional heroin menyuntik dirinya.

“Ini mungkin kerana tindakan polis yang selalu meninjau keadaan kawasan ini. Penagih-penagih itu takut orang awam akan membuat aduan mengenai aktiviti mereka pada waktu malam,” ujarnya.

MENGHIDU GAM

Dalam pada itu, Hafizan Asri yang bekerja sebagai pengawal Masjid Negara berkata, kasut-kasut jemaah selalu hilang dan dia mendakwa itu adalah perbuatan penagih-penagih dadah yang melepak di situ.

“Mereka ini memberikan imej yang buruk kepada pelancong-pelancong asing yang datang ke sini. Walaupun mereka ditahan dan dihukum mereka kembali menagih dadah.

“Ramai daripada mereka ini hidup terbiar dan tidak mempunyai wang untuk membeli dadah. Oleh itu, penagih-penagih ini akan menghidu gam untuk memuaskan gian mereka.

“Tiada undang-undang untuk menghalang penagih-penagih ini daripada melakukan perbuatan itu kerana gam mudah didapati serta pegawai-pegawai polis juga tidak dapat mengambil tindakan terhadap mereka,” tambahnya.

Menurut Hafizan, penagih-penagih itu sepatutnya dihukum untuk melakukan kerja-kerja amal seperti menyapu dan mengecat bangunan-bangunan kerajaan.

“Biar mereka sedar kesusahan hidup dan agar lebih menghargainya. Bagaimanapun, penagih-penagih ini hanya boleh insaf atas kemahuan mereka sendiri,” katanya.

Selain itu, Yaccob Yunus dari Shah Alam yang sering berkunjung ke masjid tersebut mengakui pernah terserempak dengan penagih-penagih di perkarangan masjid, tetapi mereka tidak pernah mengganggunya.

“Ini adalah kawasan orang bersembayang dan perkara seperti ini tidak sepatutnya berlaku. Pihak berkuasa perlu lebih cekap dalam menangani masalah-masalah seperti ini dan undang-undang perlulah digubal semula agar penagih-penagih ini tidak menyalahgunakan gam untuk tujuan-tujuan yang tidak baik. Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Agensi Anti-Dadah Kebangsaan (AADK) Mohd Amir Khusairi Harun berkata, kebanyakan daripada penagih dadah yang hidup terbiar ini berumur dalam lingkungan 19 sehingga 39 tahun.

“Memang mudah untuk mengecam mereka kerana pada kebiasaannya mata penagih-penagih ini merah, hidung mereka berhingus dan tubuh mereka kelihatan kurus-kering. Mereka ini bagaikan mayat hidup,” jelasnya bila dihubungi semalam.

“Kebanyakan daripada penagih terbiar ini mengambil dadah tradisional seperti candu dan heroin. Kalau sudah khayal, besar kemungkinan mereka akan membahayakan orang awam dengan mencuri dan menjadi penyeluk saku untuk mendapatkan wang bagi membeli bekalan dadah," ujar Amir.

GOLONGAN PROFESIONAL

Sementara itu, beliau berkata kebanyakan daripada penagih dadah sekarang berasal dari pelbagai latar belakang dan ada juga yang terdiri daripada golongan profesional.

“Dadah sintetik seperti ekstasi lebih popular di kalangan penuntut-penuntut institutsi pengajian tinggi. Ini kerana dadah-dadah ini menjadikan mereka lebih agresif dan memberikan mereka lebih tenaga untuk berjaga sepanjang malam sama ada untuk belajar atau bersuka-ria di kelab-kelab malam.

“Di Malaysia terdapat kira-kira 7,000 hingga 8,000 penagih ditempatkan dalam 28 Pusat Pemulihan Penagih Narkotik (Puspen) di seluruh negara.

“Terdapat kira-kira 35,000 penagih dadah dirawat dalam komuniti di mana mereka bebas dan sedang bekerja. Aktiviti mereka dipantau oleh pegawai-pegawai AADK dari masa ke masa.

“Kesemua daripada mereka dikehendaki datang ke pejabat AADK daerah untuk suatu jangka masa yang ditetapkan. Mereka juga akan menjalani ujian air kencing sehingga disahkan bebas dadah,” jelas Amir.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: