Tuesday, December 29, 2009

Hilang kekasih


SEKALIPUN mewarisi bakat nyanyian dimiliki ibunya, Datuk Yusni Hamid, sinar karier Edlynna Hanie Abu Hamid atau Hanie nyata lebih cenderung ke arah pengacaraan. Bahkan, diam tak diam Hanie sudah lama menjadi hos Selamat Pagi Malaysia (SPM).

Masih bertahan mengacarakan program bual bicara yang disiarkan setiap hari di RTM1 itu, Hanie akui dia cukup selesa dengan karier pilihannya. Malah, pada usia 16 tahun lagi, si manis ini sudah aktif mengacara bermula program Bintang Kecil 1999.

"Jadi, pada usia saya yang sudah menjangkau 27 tahun sekarang senang rasanya diteruskan dengan pengacara. Bukan tidak minat menyanyi, tetapi menyedari keadaan pasaran kini membuatkan saya berfikir lebih baik tidak payah menghasilkan album.

"Namun, saya tidak tahulah sampai bila hasrat ini kekal di hati. Apapun, semuanya saya serah pada ketentuan Tuhan. Andai kata, suatu hari nanti keadaan pasaran OK dan ada peluang, mengapa tidak mencuba nasib kerana menyanyi pun antara minat saya.

"Setakat ini, saya menyanyi untuk majlis persendirian, makan malam syarikat korporat dan perkahwinan. Jujurnya, rezeki lebih kepada mengacara. Jadi, saya tidak tahu bila masa sesuai untuk aktif menyanyi tetapi merancang muncul dengan single," katanya.

Ditanya mengenai hasrat ibunya, Hanie berkata ibu tidak mendorong atau menghalangnya untuk bergelar penyanyi. Kata anak kesayangan penyanyi era 70-an itu lagi, semua keputusan ada di tangannya dan ibu menyokong setiap pilihan yang dibuat.

Berbicara soal peribadinya, Hanie tanpa berselindung mengakui baru putus cinta. Katanya sekalipun pernah merancang untuk bertunang dengan si dia tetapi apakan daya Tuhan penentu segala. Tanpa diduga, cinta dibina putus di tengah jalan.

"Dalam soal ini, saya reda kerana seru untuk bergelar isteri dan berumah tangga belum ada. Bukan mengelak tetapi akur dengan kehendak takdir. Sebenarnya, saya pernah menyimpan impian untuk menamatkan zaman bujang pada usia 26 tahun.

"Namun, lihat sajalah sasaran dibuat tidak mengena. Saya harus menunggu lagi jodoh sendiri dan kali ini saya harap pada usia 30 tahun sudah berkahwin. Saya tidak mahu berkahwin pada usia lewat kerana tidak mahu anak masih kecil dan usia meningkat.

"Saya ingin menjadi seperti ibu yang berkahwin ketika muda dan pada usianya 58 tahun, hubungan dengan anak-anak umpama sahabat. Ke mana saja bersama dan kami umpama rakan yang boleh berkongsi masalah. Ia tidak sekadar hubungan ibu dan anak.

"Jujurnya, saya menyenangi pandangan ibu untuk berkahwin pada usia muda. Malah, sekiranya sudah berkahwin saya boleh ke mana saja bersama suami tanpa merisaukan keluarga. Termasuk, menyambung pelajarannya ke peringkat sarjana di luar negara," katanya.
Ramah berkata-kata, Hanie mengakui dia pencinta setia. Kata gadis berperwatakan ceria ini dia juga bukan individu mengejar kebendaan dan pangkat. Ujarnya, cukuplah jika Tuhan mempertemukan dirinya dengan insan yang memahami kariernya.

"Tidak terkecuali, lelaki itu juga berkemampuan menanggung keluarga. Saya minta dijauhkan dengan lelaki tidak bekerja dan mengharapkan isteri. Saya mahu antara suami dan isteri saling melengkapi antara satu sama lain demi keluarga dibina.

"Saya mencari seseorang yang boleh susah, senang dan mencari kekayaan bersama. Sentiasa di sisi ketika jatuh dan bangun dalam kehidupan dilalui. Namun, bukan mudah menemui lelaki seperti itu tetapi saya yakin kalau sudah jodoh pasti tidak ke mana.

"Apapun, saya pernah dua kali gagal bercinta. Sekalipun berasa sedih dan terluka tetapi saya tahu perpisahan itu bukan penamat hidup. Mungkin antara kami, bukan jodoh ditetapkan dan saya akur untuk itu kerana percaya Tuhan lebih mengetahui," katanya.

Menyentuh perihal gosip dengan Shuhaimi Mohamed yang juga rakan sekerjanya, Hanie pantas menjelaskan antara mereka sememangnya tiada hubungan istimewa. Tidak dinafikan, katanya mereka berkawan baik tetapi tidak sampai ke tahap bercinta.

"Saya tahu keakraban dengan Suhaimi di salah erti. Namun, jujurnya kami memang tidak bercinta. Buat masa ini, saya sedar dia bukan jodoh saya kerana kami sahabat. Biarpun, ada penonton SPM beranggapan kami suami isteri, tetapi hakikatnya bukan.

"Kami berdua saling senang dan kenal antara satu sama lain. Terutama, apabila bertugas bersama kami mempunyai keserasian. Saya dan Suhaimi, kami selalu membuat penyelidikan terhadap sesuatu topik sebagai persediaan sebelum bersiaran langsung," katanya.

Mengenai kariernya, menurut Hanie berkhidmat secara sambilan sepenuh masa dengan RTM. Katanya dia pun tidak bercadang meninggalkan RTM memandangkan banyak peluang sudah diperoleh. Selain SPM, Hanie turut mengacara Hujung Minggu Malaysia.

Tidak ketinggalan, dia turut diberikan kepercayaan mengendalikan program Fitrah kasih termasuk mengetengahkan bakat lakonannya dalam beberapa drama TV seperti Mahligai Gading, Gendang Kencana dan Spanar Jaya. Yang pasti, mengacara paling utama.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: