GAYATRI (kiri) dan Azmi bersama pelakon filem Duhai Si Pari Pari. |
Filem yang dihasilkan pengarah baru ditayangkan di seluruh negara hari ini
DUHAI Si Pari Pari barangkali bukan filem untuk penonton dewasa. Mungkin penonton kanak-kanak menggemarinya kerana elemen komedi yang diselitkan pengarahnya Azmi Md Hatta dalam filem yang mula ditayangkan di panggung seluruh negara bermula hari ini.
Bercirikan kisah dongeng, sentuhan pertama Azmi sebagai seorang pengarah filem cereka dilihat kurang berjaya. Walaupun memiliki pengalaman mengarahkan telefilem, drama bersiri dan dokumentari namun ia belum cukup menjamin kemampuan Azmi apabila mengarahkan karya dalam bentuk layar lebar dengan tempoh tayangan yang panjang.
Namun, tidak adil menilai Azmi dari buah tangan sulungnya ini, kerana sebagai pengarah muda dia harus diberi peluang kerana percubaan pertama sering kali diumpamakan sebagai sebuah eksperimen.
Mujur pelakon yang diberikan watak dalam Duhai Si Pari Pari iaitu Que Haidar, Nabila Huda, Liyana Jasmay, Remy Ishak dan Harun Salim Bachik masing-masing menghayati watak diberikan dengan baik. Mereka inilah yang menghidupkan filem yang terasa agak perlahan pergerakannya itu.
Walaupun komedi bukan ‘makanan’ Que, namun dia masih berjaya membawakan watak Syadon yang lurus bendul biarpun ada ketikanya kebodohan dan mimik muka pelik yang ditonjolkan dalam filem itu menimbulkan rasa meluat. Que cuba lari dari membawakan watak yang sama, watak antagonis atau lelaki yang memberontak. Biarpun mengakui malu membawakan watak Syadon di awal penggambaran, dia sedaya upaya mengenepikan rasa itu kerana mahu menjadi anak seni sebenar.
Liyana Jasmay dan Que Haidar. |
“Pertama kali dapat tawaran ini terus terang saya menerimanya kerana wang. Kedua kerana saya mengenali krew yang terbabit dan juga kerana kepercayaan saya terhadap Tayangan Unggul. Saya tidak pernah terbayang diberikan watak sebegini, beberapa kali juga saya bertanya kepada diri sendiri bolehkah saya membawa watak komedi.
“Bagaimanapun akhirnya saya terfikir, sebagai pelakon saya kena serba boleh. Saya menerima tawaran ini pun kerana mahu menguji diri, mana arah lagi yang saya boleh pergi setelah sering kali diberikan karakter penuh emosi dalam filem yang terdahulu.
“Saya tak nafikan mula-mula dapat skrip, saya rasakan watak Syadon sangat susah. Dengan bantuan senior saya ketika menuntut di Akademi Seni Kebangsaan (ASK), saya berjaya juga menghayati watak Syadon.
“Selain itu, saya turut memerhati krew belakang tabir seperti sikap juru kamera dan penjaga wardrobe yang kemudian saya gunakan untuk membawakan watak Syadon. Seminggu pertama memang saya mengaku malu melihat diri sendiri, apakah penerimaan peminat terhadap persembahan saya tetapi lama-kelamaan saya semakin dapat menerima hakikat itu,” katanya.
Sentuhan sulung pengalaman buat Azmi
AZMI mempunyai alasan sendiri memilih kisah dongeng sebagai pertaruhan pertamanya. Alasannya kisah yang mempunyai sedikit versi Aladin dan beberapa cerita dongeng lain itu mesra kepada peminat filem tempatan. Sokongan yang diberikan Penerbit Eksekutif Tayangan Unggul, Gayatri Su-Lin Pillai memberi kekuatan kepadanya untuk menghasilkan Duhai Si Pari Pari.
“Filem ini banyak mengajar saya mengenai dunia pengarahan, bagaimana mengawal artis dan banyak lagi. Apabila diberi peluang ini, barulah saya tahu mengarah filem dan drama amat berbeza kerana filem membabitkan ‘set-up’ yang besar. Bagaimanapun dengan komitmen yang ditunjukkan barisan pelakon dan tenaga kerja yang lain, sedikit sebanyak membantu meringankan kerja saya.
“Saya mengaku pada mulanya saya sendiri tidak mempunyai keyakinan mengarahkan Duhai Si Pari-Pari, tetapi Gaya banyak meniupkan semangat dan kerana dia filem ini dapat direalisasikan.
“Saya tahu ini adalah sentuhan sulung, jadi saya berharap masyarakat akan terima filem ini sebagai satu hiburan,” katanya.
Sementara itu, Gayatri pula berkata, Tayangan Unggul menerbitkan sebuah filem berunsur dongeng kerana syarikatnya tidak pernah menghasilkan filem bergenre sedemikian setelah banyak menerbitkan filem membabitkan isu sosial dan berat. Gayatri juga berkata, mungkin golongan dewasa agak sukar menerima filem ini tetapi katanya kanak-kanak akan menyukai dengan adanya watak Liyana sebagai pari-pari.
“Filem ini lebih menjurus kepada remaja, saya yakin filem komedi seperti ini mempunyai pengikutnya yang tersendiri. Lagipun ini filem ringan, jalan ceritanya juga menarik yang memudahkan penonton memahaminya,” katanya.
Bukan saja Que yang malu dengan watak Syadon, Nabila Huda yang membawakan watak Mala seorang wanita kaki kikis juga malu melihat wajahnya dalam filem berkenaan. Seperti Que, Nabila juga berjaya membawakan watak Mala, seorang wanita penggoda yang jahat. Watak berkenaan ditangani dengan baik oleh Nabila, malah lakonan-lakonannya jarang mengecewakan cuma nasib Nabila untuk menggondol trofi Pelakon Wanita Terbaik masih belum lagi berpihak kepadanya.
Sinopsis
SYADON merasakan kehidupan sempurna dengan kehadiran Mala . Pada satu hari, Syadon menemui Mala cedera dipukul dan diugut seorang penjahat bernama Budi. Untuk menyelamatkan Mala, Syadon dipaksa menyerahkan semua simpanannya tanpa mengetahui mereka sebenarnya berpakat menipunya.
Syadon dipukul oleh Budi di lorong gelap. Setelah tersedar, Mala dan keretanya hilang. Di depan matanya hanya ada sebuah teko keemasan, lalu dia membawa teko itu pulang. Keesokan pagi, Syadon terkejut apabila mendapati seorang gadis bernama Pari tidur di sebelahnya. Pari menerangkan yang dia sedang mencari kekasih.
Bapa Pari pula kurang bersetuju dengan pilihan hati anaknya kerana Syadon tidak kelihatan seperti jejaka idaman wanita tetapi dia berkeras mahukan Syadon. Bapa Pari kemudian memberikan sekuntum mawar kepada Pari. Setiap kali kelopaknya gugur, bererti semakin suntuk waktu yang Pari ada untuk mengahwini jejaka idamannya itu.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: