Wednesday, December 30, 2009

Jawablah!: Janganlah buruk sangka


Yasmin nafi dirinya ditaja VIP

Mengaku kurang pengalaman tetapi bukan halangan untuk jadi penerbit filem

APABILA mendapat tahu yang pelakon utama filem Jalang, Yasmin Khanif bergelar penerbit, ramai yang sinis. Ada yang mencebik dan tertanya-tanya apakah pelakon yang masih hijau dalam bidang seni itu mampu memikul tanggungjawab seberat itu. Bukan mahu melemahkan semangat atau pandang sebelah mata atas usaha gadis berusia 21 tahun ini tetapi dengan pengalaman yang masih terlalu cetek, mampukah dia berdepan dengan cabaran dan selok belok aktiviti perfileman tanah air?

Timbul dakwaan hasratnya ini mendapat sokongan oleh seorang VIP bergelar Datuk yang sanggup menaja filem terbarunya berjudul Cempaka. Enggan melayan kata-kata negatif khalayak mengenai cita-citanya itu, Yasmin berkata apabila dia melangkahkan kaki dalam bidang lakonan, dia sebenarnya mempunyai sasaran tersendiri iaitu mahu menjadi seorang penerbit.Dan tegas Yasmin, Yasmin Khanif Production (YKP) dibina dengan hasil titik peluhnya sendiri dan bukannya atas tajaan sesiapa.

Hip: Apa yang membuatkan Yasmin yakin untuk bergelar penerbit pada usia sebegini?

Yasmin:
Apabila saya ambil keputusan membabitkan diri dalam bidang lakonan, memang tersemat keazaman untuk menjadi penerbit. Idea ini sebenarnya hanyalah sewaktu saya bersembang kosong dengan pemilik De'Baron Production mengenai hal ehwal penerbitan filem. Masa itu saya terbabit dengan pembikinan filem Jalang. Impian saya semakin tercapai apabila bertemu Datuk Ismadi Mohd Sharif yang membiayai filem pertama saya ini serta jalinan kerjasama dengan De Baron Production serta produksi Dr Movie Production, milik Dr Che Rozmey Che Din yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Herba Prima Marketing (HPM) Sdn Bhd. Peluang seperti ini datang serentak dan disebabkan semuanya bagaikan sudah bersedia menerbitkan filem ini. Saya tahu ramai yang mempertikaikan hasrat ini. Malah apabila jemputan mengenai majlis pelancaran filem ini diedarkan, ramai yang menelefon saya dan bertanyakan soalan serupa.

Hip: Tak risau dengan cabaran bergelar penerbit? Apa persediaan Yasmin?

Yasmin: Saya akui pengalaman dalam bidang ini masih cetek. Kalau ada urusan yang saya tak faham, saya akan rujuk pada mereka yang berpengalaman. Lagipun dalam filem Cempaka nanti, saya berlakon sebagai watak utama, jadi pastinya fokus pada lakonan manakala perkara lain akan diuruskan oleh teman saya yang lain. Selain tiga pihak yang saya sebutkan tadi, faktor lain yang membuatkan saya berani kerana adanya sokongan keluarga. Insya-Allah, dengan sokongan mereka, saya akan buat yang terbaik selepas ini.

Hip: Nampaknya Yasmin beruntung sering dapat watak utama dan kontroversi...

Yasmin:
Saya bersyukur kerana walaupun baru menceburi bidang ini, saya berpeluang membawakan watak kontroversi. Saya sedar, memang ramai yang mengkritik lakonan saya untuk filem Jalang. Saya anggap itu kritikan membina. Apabila dapat pegang watak seperti ini menerusi syarikat produksi sendiri, bukanlah bermakna saya menggunakan kelebihan yang ada tetapi kesibukan membuatkan saya tidak dapat menerima tawaran berlakon dari produksi lain. Saya tetap minat untuk berlakon dengan produksi lain.

Hip: Dari mana Yasmin dapat sumber kewangan untuk menubuhkan Yasmin Khanif Production (YKP)?

Yasmin: Mungkin ramai yang tak tahu, saya berkecimpung dalam bidang modelling sejak umur saya 14 tahun. Dalam usia sebegitu, saya banyak terbabit dalam komersial yang menawarkan bayaran lumayan. Disebabkan usia masih muda dan pada masa itu, saya masih lagi belajar, saya tidaklah membelanjakan pendapatan yang saya peroleh itu. Jadi wang yang saya kumpulan selama tempoh itulah saya gunakan untuk menubuhkan produksi saya ini. Ini adalah hasil titik peluh saya sendiri dan ia tidak ditaja mana-mana orang kaya atau golongan VIP.

Hip: Tapi ada yang mendakwa YKP sebenarnya ditaja oleh seseorang yang bergelar Datuk. Sejauh manakah kebenaran cerita itu?

Yasmin:
Saya akui sebahagian daripada kos filem ini memang dibiayai oleh seorang ahli perniagaan berpangkat Datuk. Maklumlah, kos menerbitkan filem ini sehingga RM3.5 juta. Jadi kami berkongsi modal untuk menghasilkan filem ini. Tapi hubungan kami hanyalah sebagai kenalan dan rakan sekerja. Sebagai pemilik syarikat yang banyak menerbitkan iklan, dia banyak menawarkan peluang kerja pada saya. Saya harap dengan penjelasan ini segala salah faham dapat dipadamkan

Hip: Bagaimana pula dengan dakwaan Yasmin mempunyai hubungan intim dengannya?

Yasmin:
Itu tidak benar sama sekali. Seperti yang saya katakan tadi, hubungan kami lebih banyak pada kerja. Tak mengapa, saya sudah bersedia untuk berdepan dengan segala kritikan dan tohmahan sejak awal lagi. Cuma saya nak tegaskan di sini, saya sebenarnya tidaklah sejahat seperti dalam filem Jalang itu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: