SUARA tangisan kanak-kanak di Pusat Pediatrik Hospital Kuala Lumpur (HKL) bukan sahaja menggamit perhatian pelawat, tetapi membangkitkan keinsafan dalam diri. Betapa seksanya sekujur jasad kecil yang masih bernyawa menderita kesakitan penyakit yang ditanggungnya.
Biarpun baru menjengah ke muka bumi, tetapi dugaan berat terpaksa ditanggung tanpa dapat berkongsi cerita, hanya air mata dapat dikongsi meluahkan derita dan kesakitan yang dialami.
Penghuni di pusat pediatrik tersebut terdiri daripada bayi baru lahir sehingga remaja berumur 18 tahun yang disediakan dengan 331 buah katil di lima buah wad.
Sebagai sebuah badan yang bertanggungjawab dan prihatin dengan perkembangan kanak-kanak, Pusat Pungutan Zakat (PPZ) terpanggil bagi menjalankan tanggungjawab sosialnya dengan memberikan bantuan sebanyak RM25,998 untuk bilik permainan kanak-kanak di wad KK5/KK6 Pusat Pediatrik HKL.
Sumbangan yang disalurkan oleh PPZ untuk bilik permainan kanak-kanak tersebut adalah inisiatif daripada hasil kajian pihak hospital yang mendapati tekanan dan ketakutan kanak-kanak dapat dikurangkan dengan mengalihkan tumpuan mereka daripada kesakitan yang dialami.
Wang sumbangan tersebut adalah daripada wang upah amil yang diperolehi oleh PPZ untuk membaik pulih bilik permainan tersebut dari segi peralatan termasuk barang permainan kanak-kanak.
Majlis Perasmian Bilik Permainan Kanak-Kanak di Wad Pediatrik HKL tersebut disempurnakan oleh Pengurus Besar PPZ, Mohd Rais Alias.
Sementara itu, seorang ibu kepada seorang pesakit kanak-kanak Lazelelus Athur, 6, ketika ditemubual kelihatan tenang menjaga anaknya yang menderita sakit Spastic Quadriplegia 2 HIE dan Pneumonia (radang paru-paru).
Dorita, 27, memberitahu anaknya mula menghidapi penyakit tersebut akibat lemas di dalam rahimnya semasa proses bersalin.
Menurutnya, sepanjang proses mengandungkan anak sulungnya tersebut, beliau tidak pernah mengalami simptom penyakit dan tidak menghadapi sebarang masalah.
Selepas berumur dua bulan, Lazelelus telah disahkan oleh pihak hospital termasuk golongan kanak-kanak kurang upaya.
Dorita juga memberitahu anaknya hanya minum susu yang dicampurkan dengan nestum menggunakan tiub yang disalurkan melalui rongga hidungnya.
"Sepanjang mengalami penyakit ini, Lazelelus mempunyai masalah untuk tidur melainkan selepas diberi ubat, lampin pakai buangnya mesti selalu ditukar," ujarnya.
Manakala bagi seorang lagi ibu kepada bayi yang berumur 6 bulan iaitu Jayanat A/L Rajkumar ketika ditemubual memberitahu anaknya belum mendapat pengesahan mengenai penyakit yang dihadapinya.
"Doktor masih buat pemeriksaan lagi, tapi saya rasa anak saya mengalami penyakit sawan," katanya.
Jayanat yang bekerja sebagai kerani akaun di syarikat swasta dan menetap di Port Dickson terpaksa berhenti kerja memikirkan penyakit yang dialami anaknya.
Beliau juga telah membawa anaknya mendapatkan rawatan di beberapa klinik dan hospital swasta sebelum dimasukkan ke Pusat Pediatrik HKL.
"Ini anak kedua saya, saya risau kerana sudah banyak klinik dan hospital yang saya pergi mengatakan keadaan anak saya normal, tapi kini sudah kena tahan kat wad," katanya kesal dengan tindakan beberapa pusat kesihatan.
Ibu kepada seorang bayi yang juga penghuni pusat tersebut, iaitu Lis Erni Kastiman kelihatan sedih sambil memangku anak sulungnya yang menghadapi masalah sistem saraf di bahagian otak.
Semasa ditemubual, ibu muda berumur 20 tahun ini tidak dapat menyembunyikan kesedihannya sehingga menitik air mata mengenangkan penyakit yang dialami anaknya.
Bayinya baru berumur 7 bulan sudah pandai tersenyum apabila diusik dapat menceriakan perasaan sedih ibunya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: