Tuesday, December 29, 2009

Syarikat Malaysia siapkan puncak Burj Dubai


BURJ DUBAI yang menjadi bangunan tertinggi dunia akan dibuka secara rasmi pada 4 Januari ini.

DUBAI - Pembinaan pencakar langit Burj Dubai mempunyai makna tersendiri buat Malaysia berikutan firma pembinaan struktur keluli dari Kuala Lumpur, Eversendai Corporation Sdn. Bhd. diberi tugas menyiapkan struktur terakhir bangunan tertinggi dunia itu.

Pengarah Urusannya, Datuk A.K. Nathan berkata, 260 meter terakhir menara itu adalah satu struktur keluli yang dibina oleh Eversendai.

"Kami adalah syarikat pertama di dunia yang membuat kerja-kerja pembinaan pada ketinggian lebih 700 meter. Tiada sesiapa di dunia pernah bekerja pada ketinggian ini," katanya kepada Bernama di sini.

Media sebelum ini melaporkan bahawa Burj Dubai berketinggian melebihi 800 meter dengan lebih 160 tingkat.

Pemajunya, Emaar Properties masih berteka-teki mengenai ketinggian sebenar menara itu, walaupun terdapat kenyataan bahawa puncak menara boleh dilihat dari sejauh 95 kilometer.

Burj Dubai dijangka dibuka secara rasmi pada 4 Januari ini oleh Perdana Menteri Emiriyah Arab Bersatu (UAE), Sheikh Mohammed Rashid Al Maktoum.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: