Tuesday, December 29, 2009

Kava air penenang di Pasifik

Minuman narkotik yang berasal daripada tumbuhan itu dipercayai menjadi sebahagian daripada gaya hidup masyarakat di Kepulauan Pasifik sejak ribuan tahun lalu.


KETUA-KETUA kerajaan dan bangsawan berjanji taat setia kepada raja baru di sekeliling mangkuk kava dalam satu ucapara tradisional.

KAVA mungkin satu rahsia di sebalik gaya hidup santai di Kepulauan Pasifik, tetapi Taulelei Uilelea mendakwa minuman narkotik itu turut menjadi faktor kejayaannya di dalam sukan catur.

Di pasar Savalalo yang terletak di Upolu, pulau utama di Samoa, kava akan dihidangkan untuk lapan lelaki sepanjang hari. Tetapi, pada waktu puncak terutama hari Sabtu, seramai 20 orang akan menikmatinya.

Semua peminum kava akan berkumpul di bangku yang disediakan dalam bentuk bulatan dan mereka akan dilayan oleh lelaki muda yang membuat bru.

"Pada harga satu tala (AS$1 atau RM3.40), ia tidaklah terlalu mahal untuk berseronok sepanjang hari," kata Uilelea.

Uilelea yang juga merupakan ahli catur di pasar tersebut menegaskan, dia sering bermain dengan lebih baik selepas menikmati semangkuk minuman kava.

"Kava diperlukan untuk menghilangkan tekanan," jelasnya sambil menambah matlamat utama pengambilan minuman tersebut semata-mata untuk menenangkan diri dan bukan menjadi mabuk.

Diperbuat daripada akar tumbuhan kava atau nama saintifiknya piper methysticum, minuman tersebut tetap sama selepas ribuan tahun gaya hidup, sosial dan budaya di kebanyakan negara-negara Kepulauan Pasifik mencuri tumpuan.


SEORANG penduduk memotong akar pokok kava untuk menyediakan minuman tersebut. SEORANG penduduk memotong akar pokok kava untuk menyediakan minuman tersebut.

Di pasar Salelologa, Savaii iaitu di sebuah pulau utama Samoa yang lain, Kilisi Tiatia mengakui kava berfungsi sebagai penenang. Tiatia, 41, juga seringkali menyertai perkumpulan kava untuk mengetahui berita terkini dan gosip terbaru di kalangan penduduk tempatan.

"Ia benar-benar tentang bersenang-senang dan kemudian berkongsi cerita," beritahu Tiatia yang telah menjadi sebahagian daripada aktiviti perkumpulan kava selama dua dekad.

Majlis-majlis berkaitan minuman itu turut diadakan di pusat-pusat utama acara kebudayaan di kebanyakan pulau. Ia digunakan untuk memperkuat rangkaian sosial dan mengalu-alukan kedatangan tetamu-tetamu penting.

Pertabalan

Upacara pertabalan Raja Tonga, Siaosi Tupou V tahun lalu turut menjadi perhatian dunia dengan menganjurkan majlis gilang-gemilang termasuk beberapa muka surat mengenai seluar sutera separas lutut, baju tanpa lengan daripada bulu cermin dan pancaragam diraja.

Bagaimanapun, di mata penduduk tempatan, majlis paling bermakna merupakan upacara tradisional kava pada awalnya di mana ketua-ketua kerajaan dan bangsawan berjanji taat setia kepada raja baru di sekeliling mangkuk kava.

Lebih daripada 200 ketua negara berhimpun di dalam bulatan gergasi dikelilingi berpuluh-puluh ekor babi yang telah disembelih, ratusan bakul makanan dan lain-lain hadiah untuk pemerintah baru tersebut.

Raja yang ditabalkan bermula sejak abad ke-17, akan menghirup minuman kava dalam mangkuk pertama untuk mengesahkan kekuasaannya terhadap rakyat berjumlah 110,000 di negara berkenaan.

Di Fiji, pelawat dari desa masih diharap untuk memberi hadiah berupa sebekas akar kava kepada ketua penduduk tempatan bagi memastikan sambutan mesra dan pelbagai kemudahan diterima.


SEORANG penduduk menikmati kava sebelum mereka membuang undi pada satu pilihan raya di stesen membuang undi Welagi, Taveuni.

Tumbuhan kava banyak ditemui di Kepulauan Polynesia dan Melanesia, sama seperti sebahagian Micronesia di bahagian utara Pasifik.

Di Samoa, ia disebut 'ava' sementara di Fiji, ia digelar yagona dan di negeri Pohnpei di Negeri Bersekutu Micronesia, tumbuhan tersebut dipanggil sakau.

Vanuatu, salah sebuah negara di Kepulauan Melanesia dipercayai merupakan lokasi asal tumbuhan kava. Negara itu masih dianggap menghasilkan kava yang terbaik memandangkan pertumbuhan berbeza mengikut kepulauan.

Mengikut cara tradisi, perempuan atau lelaki muda akan mengunyah akar kava menjadi lembik sebelum minuman kava dihasilkan. Tetapi, kini akar tersebut dihancurkan menjadi serbuk yang kemudian dicampur dengan air dan disaring sebelum dihidangkan.

Kesan apabila meminumnya ialah bibir dan lidah akan terasa kebas, seseorang suka bergaul, lebih tenang dan merasa diri lebih hebat.

Kesan sedatif itu tidak seperti minuman alkohol. Malah, sesi menikmati kava jarang berakhir dengan keganasan.

Sesetengah pelancong asing yang pernah mencuba minuman itu menjelaskan rupa dan rasa kava seperti air lumpur. Popularitinya kini telah bertambah apabila ia kini boleh didapati dalam bentuk tablet sebagai ubat untuk meningkatkan mood di negara-negara membangun.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: