Wednesday, December 30, 2009

Luahan emosi dua diva tersohor


CANDA, tangis, ketawa dan duka semuanya diluahkan menerusi album CTKD oleh dua penyanyi hebat ini.


AKHIRNYA, penantian para peminat kedua-dua diva tersohor serantau ini berakhir apabila album duet Datuk Siti Nurhaliza dan Krisdayanti (KD) yang berjudul CTKD berada di pasaran mulai 28 Disember.

Album CTKD yang membawa maksud Canda, Tangis, Ketawa, Duka itu pastinya antara album yang cukup dinanti-nantikan sebelum tahun 2009 melabuhkan tirainya.

Melihat daripada judulnya sahaja, sudah dapat dirungkai maksud di sebaliknya yang menggambarkan perjalanan dan kehidupan dua wanita ini yang penuh warna-warni.

Apatah lagi, album ini merupakan gandingan pertama dua penyanyi wanita ulung serantau ini di dalam sebuah album yang sudah lama dinanti-nantikan.

Mungkin akan ada pihak berasa iri hati dan mencebik dengan kemunculan album ini, tapi itu bukan satu kudis buat Siti dan KD yang tahu menghargai peminat-peminat mereka dengan cara yang tersendiri.

Setidak-tidaknya mereka mengorak langkah dan tidak lokek untuk melaburkan keringat, kreativiti dan wang ringgit untuk memuaskan serta memberikan hasil yang terbaik untuk peminat mereka.

Selama berjuang dalam bidang seni, sokongan padu dan semangat peminat merekalah yang menjadi nadi kekuatan Siti dan KD untuk meneruskan perjuangan mereka.

Berbalik kepada album CTKD, ia dilihat sebagai manifestasi kepada persahabatan dan ukhuwah yang terjalin antara dua wanita ini lebih sedekad lalu.

Seperti mana yang dikhabarkan sebelum ini, album duet ini memuatkan enam buah komposisi baru hasil karya komposer tempatan dan juga Indonesia.

Komposer kreatif, Audi Mok menyumbang tiga buah lagu yang berjudul Amarah, Jika Kau Tak Datang dan Dalam Diamku.

Apa yang pasti, ketiga-tiga lagu ini menyaksikan dimensi baru dalam istilah lagu duet itu sendiri apabila Siti dan KD menyampaikannya dengan cara serta gaya yang cukup unik.

Bukan menyanyi rangkap demi rangkap sebaliknya ketiga-tiga lagu ini dinyanyikan seperti mereka berdua sedang berbicara tentang fahaman mereka terhadap lagu tersebut.

Selain Audi, dua komposer Malaysia yang menyumbangkan lagu untuk album ini ialah Aubrey Suwito untuk lagu Hanya Dia manakala lagu Sebagai Teman hasil ciptaan Sharon Paul dan Lew Mable.

Sebagai Teman misalnya, juga memperlihatkan kolaborasi pemilik dua vokal mantap ini dalam menyampaikan lagu tersebut dengan gaya yang tersendiri.

Uniknya album ini adalah baik Siti mahupun KD, kedua-duanya memahami dan menyelami karakter lagu serta vokal terlebih dahulu sebelum menjalani rakaman.

Mainan emosi dan curahan jiwa

Kelima-lima lagu ini menjalani rakaman di Malaysia dan tiada apa yang menghairankan apabila kesemuanya dirakamkan dalam masa yang singkat.

Walaupun singkat tetapi itu tidak bermakna album ini dihasilkan dengan tidak bersungguh dan tangkap muat sahaja.

Bagi mereka berdua, biarpun album CTKD hanya memuatkan enam buah lagu dan empat minus one, soal kualiti amat dititik beratkan.

Seperti mana kata Siti dan KD sebelum ini, album CTKD juga bukan untuk membayangi antara satu sama lain mahupun mempamerkan kehebatan vokal masing-masing.

Sebaliknya, ia lebih kepada mainan emosi dan curahan jiwa masing-masing yang ditumpahkan dalam setiap lagu yang terkandung di dalam album ini.

Sudah nama pun kolaborasi dan lagu ciptaan komposer Indonesia juga tidak ketinggalan menghiasi album ini.

Lagu Tanpamu yang dicipta oleh vokalis kumpulan ST12, Muhammad Charly van Houten atau Charly juga merupakan karya yang sungguh unik baik dari segi komposisi serta penyampaian Siti dan KD.

Apa yang membanggakan, lagu Tanpamu telah dirakamkan di Studio Aquarius yang terletak di Jakarta, Indonesia yang merupakan antara studio terbaik di Asia Tenggara.

Selain itu, kulit album dan penggambaran muzik video lagu Amarah turut dilakukan di Indonesia dalam memberikan satu pendekatan serta kelainan yang berbeza.

Dua lagu di dalam album ini iaitu Amarah dan Jika Kau Tak Datang sudah pun dihantar ke semua stesen radio untuk dipilih sebelum diputarkan.

Buat peminat Siti dan KD, pastikan anda menyerbu toko muzik berhampiran untuk mendapatkan album yang berharga RM29.90 dan sebanyak 5,000 salinan telah dicetak untuk cetakan pertama.

Masih lagi mengekalkan Suria Records sebagai pengedar, album CTKD yang diterbitkan dengan kerjasama Siti Nurhaliza Productions dan KD Records ini turut dipasarkan ke Singapura dan Brunei.

Sementara itu, untuk peminat di Indonesia pula, album ini akan hanya menjengah pasaran sekitar pertengahan bulan Januari ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: