TEMPOH setahun yang hampir ditinggalkan apabila 2010 mula menguak tirainya esok hari tidak dinafikan mengimbau sarat kenangan yang berlaku dalam dunia seni.
Gelanggang hiburan di Malaysia tidak sunyi daripada jelmaan isu-isu yang meraih tumpuan sekali gus diperdebatkan di sana sini oleh khalayak untuk tempoh tertentu. Biar manis mahupun jelik fizikal isu yang dibentangkan, hakikatnya ia memperlihatkan warna-warni dunia glamor itu.
Kecoh PLKN Diana, Aliff dan Suki
Tiga artis remaja, Diana Danielle, 18, Aliff Satar, 19 dan Suki, 20 yang sebelum ini pernah membuat rayuan untuk menangguhkan penyertaan mereka dalam Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) akhirnya mengikuti program itu pada Mac lalu.
Diana sebelum ini tersenarai sebagai peserta PLKN dalam Kumpulan Satu Siri 6/2009 yang perlu mendaftar pada 27 Disember 2008. Tetapi dia memohon penangguhan atas alasan masih terikat dengan kontrak seni .
Aliff dan Suki turut memberikan alasan yang sama sehingga menimbulkan polemik bahawa JLKN mengamalkan pilih kasih.
Karyawan cabar Prism
Apabila penyanyi Mawi dan Dayang Nurfaizah hanya menerima royalti sekitar RM320 setahun daripada Badan Hak Pelaku dan Persembahan Artis Malaysia (Prism), ia menimbulkan tanda tanya ramai pihak. Bagaimana artis sehebat Mawi dan Dayang hanya mendapat bayaran royalti sebanyak itu? Bagaimana pula dengan penyanyi-penyanyi lain yang jauh lebih 'kecil' daripada Mawi?
Mendakwa ada penyelewengan, Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) menerusi presidennya Datuk Freddie Fernadez, bersemuka dengan Pengurus Besar Prism, Ong Peng Chu.
Karyawan mahu membawa kes tersebut ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), walaupun Ong menyatakan agenda Freddie bersifat peribadi.
|
|
Selain kejutan Nabil diumumkan sebagai Bintang Paling Popular dalam Anugerah Bintang Popular 2008 (ABP 2008) pada 12 April lalu, sebenarnya ada satu lagi kejutan yang lebih menarik perhatian penonton.
Tindakan Nabil yang memeluk teman wanitanya yang juga merupakan pelakon, Irma Hasmie mengejutkan banyak mata yang memandang.
Tindakan juara Raja Lawak musim kedua itu dilihat kurang manis kerana 'pelukan' itu disiarkan secara langsung di TV nasional.
Maestro tutup kedai
Syarikat rakaman dan pengurusan artis terkenal Maestro Talent Management Sdn. Bhd. (Maestro) di Bukit Damansara ditutup pada penghujung Mac lalu.
Maestro ialah sebuah syarikat bersekutu milik Astro yang menaungi lebih 40 orang artis, kebanyakannya bekas peserta program Akademi Fantasia dan Raja lawak.
Kontroversi konsert
Februari lalu, Rihanna menundakan konsert sulungnya di Malaysia apabila penyanyi itu diserang dan dicederakan oleh kekasihnya yang juga penyanyi R&B terkenal, Chris Brown.
Satu lagi konsert yang mengundang kekecewaan kepada peminat tempatan adalah persembahan Beyonce yang terpaksa ditunda pada 20 Oktober lalu. Hanya lima hari sebelum konsert itu berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, Beyonce sendiri telah menundakan konsertnya.
Konsert kumpulan hip-hop terkenal, Black Eyed Peas (BEP) juga menimbulkan kekecohan sebelum diadakan pada 25 September lalu. Ia menjadi panas disebabkan konsert tersebut ditaja syarikat arak, Guinness.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: