Tuesday, December 29, 2009

'Spiderman' mencuri dicekup


Norizwan menunjukkan tempat lelaki mencuri terjun tetapi dia tidak cedera.



Norizwan menunjukkan lekukan tanah tempat seorang lelaki terjatuh selepas terjun dari tingkat 3 bangunan Sekolah Menengah Kampung Pandan, Kuantan.

KUANTAN - Seorang pencuri nekad terjun ala 'Spiderman' dari tingkat tiga bangunan Sekolah Menengah Kampung Pandan di sini kelmarin semata-mata mahu melarikan diri selepas perbuatannya yang mencuri peralatan komputer di sekolah itu disedari oleh seorang pengawal keselamatan.

Tindakan suspek yang panik itu tidak berbaloi apabila dia gagal untuk bergerak selepas jatuh terduduk di atas tanah dan terus dicekup oleh pengawal keselamatan itu.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Supritendan Nordin Mustapha berkata, ketika kejadian pada pukul 6.40 pagi, pengawal keselamatan terbabit dikatakan baru selesai menunaikan solat Subuh di sebuah bilik di sekolah itu.

"Selepas solat, pengawal keselamatan lelaki berusia 21 tahun itu terdengar bunyi kuat dari luar bilik solat itu.

"Dia yang hairan dengan bunyi itu pergi ke arah bunyi tersebut untuk menyiasat apa yang berlaku sebelum nampak terdapat beberapa barang jatuh dari tingkat atas bangunan sekolah," kata beliau ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang semalam.

Menurut beliau, mengesyaki ada orang yang cuba mencuri di bangunan empat tingkat itu, pengawal keselamatan berkenaan telah naik ke tingkat tiga dan dia terserempak dengan seorang lelaki yang cemas.

"Suspek berusia 35 tahun yang panik mulanya cuba bergelut dengan pengawal keselamatan itu tetapi kemudian melompat dari tingkat tiga bangunan itu.

"Setelah jatuh, suspek tidak mampu bergerak dan pengawal keselamatan itu terus menahannya dan menyerahkan lelaki itu kepada polis," ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: