|
|
AWAL pagi menjelang sambutan Krismas, Jumaat lalu, dua selebriti ini antara yang diarah menjalani ujian saringan dadah dalam satu operasi pihak berkuasa di sebuah pusat hiburan di Jalan Bukit Bintang, Kuala Lumpur.
Ramai yang telah mengetahui selebriti berkenaan ialah Scha Al-Yahya dan Awal Ashaari.
Dalam operasi itu, Scha bagaimanapun dibebaskan sebaik disahkan negatif dadah. Manakala Awal pula terpaksa dibawa ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur gara-gara gagal memberikan sampel air kencing sewaktu diminta berbuat demikian.
Awal akhirnya dibenarkan pulang sekitar pukul 11.30 pagi selepas turut didapati negatif daripada sebarang unsur dadah.
Semuanya berlaku dalam tempoh sehari sebelum kedua-dua mereka terpaksa bekerja keras untuk malam kemuncak Sehati Berdansa yang berlangsung pada tanggal 26 Disember lalu di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya.
Namun, sepanjang tempoh berita mengenai apa yang terjadi terhadap Scha dan Awal tersebar, pelbagai dakwaan negatif mula terpalit terhadap kedua-dua selebriti ternama ini.
Terlibat dengan penyalahgunaan dadah serta mabuk ketika berada di pusat hiburan berkenaan, itu merupakan dakwaan yang diperkata ramai pihak mengenai mereka.
Justeru, atas tanggungjawab untuk memperbetulkan keadaan, Scha dan Awal tampil 'menceritakan' perkara sebenar tatkala ditemui pada satu sidang media khas yang diadakan sejurus selepas berakhirnya kemuncak Sehati Berdansa di PICC.
Scha yang memulakan bicara mengaku berada di pusat hiburan terbabit atas undangan seorang rakannya bernama Stefanie yang tiba di Kuala Lumpur dari Melbourne.
"Awalnya, dia (Stefanie) menghubungi saya dan mengajak untuk bertemu di sebuah restoran yang terletak bersebelahan pusat hiburan itu bagi meraikan ulang tahun kelahirannya.
"Ketika itu saya masih di lokasi penggambaran Awan Dania. Hendak dijadikan cerita, saya terlewat sampai dan restoran berkenaan sudah tutup. Stefanie serta rakan-rakan lain telah berpindah ke pusat hiburan bersebelahan.
"Tetapi, sebaik melangkah masuk, tiba-tiba ada operasi. Ada orang tarik saya dan menyuruh saya menjalani ujian air kencing. Saya ikut dan tidak membantah, akhirnya saya dibebaskan selepas didapati negatif dadah,'' katanya penuh sebak.
Tidak mabuk
Dalam operasi di Jalan Bukit Bintang dan Jalan Sultan Ismail itu, seramai 361 pengunjung pusat hiburan termasuk 113 wanita telah diuji air kencing mereka.
Serbuan dilakukan oleh Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) dan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kuala Lumpur.
Mengikut kenyataan pihak polis, selain Scha dan Awal, turut menjalani ujian air kencing sempena operasi malam perayaan Hari Krismas kira-kira pukul 3.15 pagi itu ialah seorang pelakon lelaki berusia lewat 40-an dan seorang lagi pengacara televisyen wanita.
Kata Scha, selain tidak mengambil dadah, dia tidak mabuk ketika berada di pusat hiburan berkenaan.
"Saya tidak minum (mabuk). Saya ke sana pun bukan atas dasar hendak bersosial tetapi sekadar memenuhi jemputan rakan yang datang dari jauh.
"Semuanya terjadi tanpa disangka apabila rakan saya berpindah ke pusat hiburan itu sebaik restoran bersebelahan ditutup. Ini adalah pengalaman pertama saya berhadapan dengan situasi sedemikian,'' jelasnya.
Mengenai dakwaan terlibat dengan penyalahgunaan dadah pula, pelakon yang popular menerusi filem Histeria dan Papadom ini berkata, pada masa kejadian, dia agak kurang sihat kerana demam.
"Saya ambil pil antibiotik. Saya ada surat doktor. Lagipun, badan saya sangat lemah.
"Sebelum ini, banyak ujian dan dugaan melanda hidup saya termasuk tuduhan-tuduhan yang tidak elok,'' katanya dalam nada sedih.
Sementara itu, bagi Awal pula, dia berada di pusat hiburan itu kerana menemani Scha yang mahu bertemu dengan Stefanie.
"Mula-mula saya ke restoran bersebelahan. Saya memang tidak kenal Stefanie. Tiba-tiba, saya terserempak dengan rakan-rakan saya yang mahu ke pusat hiburan terbabit.
"Saya pun mengikuti mereka. Tiba-tiba, lampu di pusat hiburan itu dinyalakan dan muzik dihentikan. Mereka (polis) meminta saya menjalani ujian saringan dadah.
"Kebetulan sebelum itu saya telah ke bilik air dan tidak dapat memberikan sampel air kencing kepada mereka. Disebabkan itu, saya diarah berbuat demikian di IPK KL. Alhamdulillah akhirnya saya dibenarkan pulang selepas didapati negatif dadah,'' katanya.
Ujar Awal, apa yang berlaku sedikit sebanyak memberikan impak yang cukup besar dalam hidup, karier dan keluarganya.
"Ini pengalaman pertama saya berhadapan dengan hal sebegini selepas lima tahun bergelar artis.
"Saya memang tidak pernah sentuh atau terlibat dengan dadah,'' jelasnya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: