Tuesday, December 29, 2009

Kami kerja keras - Sein, Nana


BARISAN pasangan Sehati Berdansa yang tersingkir diberi penghormatan melakukan persembahan penutup Sehati Berdansa di PICC, baru-baru ini.


SEHATI Berdansa musim ketiga melabuhkan tirainya Sabtu lalu dengan menobatkan pasangan Syed Hussein Syed Mustafa atau Sein dan Noor Diyana Muhammad (Nana) sebagai juara.

Mengenepikan pesaing yang sedari awal disebut-sebut mampu menggenggam trofi kejuaraan iaitu Sazlini Shamsul Falak (Sazzy) dan Nazril atau nama penuhnya Nazril Mohd. Idrus. Namun, kejayaan yang dikecapi Sein dan Nana tidak terlepas daripada menjadi tanggapan kurang menyenangkan ramai pihak.

Masakan tidak, jika melihatkan peratusan undian antara kedua-dua pasangan yang bagaikan 'langit dengan bumi' jaraknya, semuanya itu sudah cukup untuk membuktikan tanggapan berkenaan.

Dalam keputusan akhir undian Sehati Berdansa, pasangan Sein dan Nana memperoleh 84 peratus manakala Sazzy dan Nazril hanya mampu mengaut 16 peratus sokongan penonton yang mengundi melalui sistem khidmat pesanan ringkas (SMS).

Ia satu keputusan mengejutkan sehingga ramai mendakwa bahawa Sein dan Nana telah memperoleh kejayaan kerana latar belakang Nana yang juga anak kepada bekas seorang menteri.

Sebagai seorang yang hadir daripada keluarga yang berada, sudah tentu mereka dikatakan telah mendapat sokongan kuat terutama daripada segi 'tajaan' undian SMS.

Bagaimanapun, menjawab mengenai perkara tersebut, Nana dengan tegas menafikan bahawa keluarganya telah membelanjakan wang yang besar untuknya dan Sein bergelar juara Sehati Berdansa bagi musim ketiga ini.

"Kami bekerja keras sejak minggu pertama lagi. Latar belakang keluarga bukanlah menjadi faktor utama kejayaan saya dan Sein.

"Mereka (keluarga) tidak mengeluarkan wang yang besar untuk mengundi kami.

"Kalau benar, mengapa dahulu ketika saya memasuki sebuah rancangan realiti televisyen berbentuk nyanyian, saya tidak berjaya,'' katanya ketika ditemui sejurus selepas berakhirnya Sehati Berdansa yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), dekat Putrajaya.

Hadir sama, Pengarah Eksekutif Astro Entertainment Sdn. Bhd., Zainir Aminullah dan Pengurus Saluran Astro Ria, Azlin Reza Azmi.

Dalam pertandingan akhir Sehati Berdansa, kedua-dua pasangan dipertanggungjawab untuk membuat dua persembahan iaitu tarian Melayu kontemporari dan Latin.

Kesemua mereka telah memperoleh komen daripada juri yang terdiri daripada Joseph Gonzales, Linda Jasmine serta pasangan juara Sehati Berdansa musim kedua, Lisdawati dan Fauzi Nawawi.

Kemenangan yang diperoleh Sein dan Nana membolehkan mereka membawa pulang sebuah kereta Audi A4(1.8cc) tajaan Euromobil Sdn. Bhd., pakej bulan madu ke Rom, Itali dan trofi tajaan Astro.

Bukan itu sahaja, mereka juga berjaya mengumpul wang sebanyak RM20,000 untuk disalurkan ke rumah kebajikan yang diwakili iaitu Persatuan Albinismia Kuala Lumpur dan Selangor.

Sehati Berdansa musim ketiga telah dihoskan oleh Fahrin Ahmad, Scha Al-Yahya dan Awal Ashaari.

Malam kemuncak turut diserikan dengan persembahan Adam dan Stacy yang tampil dengan lagu Menggegar Dunia. Juara Akademi Fantasia musim ketujuh (AF7), Hafiz turut diundang menyanyikan lagu tema Sehati Berdansa.

Menyambung bicara, Nana berkata, sejak di minggu pertama lagi, dia dan Sein telah berlatih dengan bersungguh-sungguh dan menetapkan impian untuk menang tatkala beraksi di pentas akhir.

Menjawab pertanyaan mengenai kekuatan pasangan Sazzy dan Nazril, Nana menjelaskan bahawa pasangan terbabit telah memberikan saingan yang cukup mantap.

"Tarian mereka cukup hebat. Saya sendiri sukar melakukan seperti Sazzy dan Nazril atas faktor diri saya yang baru beberapa bulan melahirkan anak,'' ujarnya.

Masing-masing ada kelebihan - Sein

Bagi Sein pula, antara dia dan Nana serta Sazzy dan Nazril, masing-masing punyai kelebihan tersendiri dalam beraksi melakukan tarian di episod akhir Sehati Berdansa.

Sazzy dan Nazril, jelasnya, punyai kepakaran dalam tarian-tarian tertentu dan begitu juga dia serta Nana.

"Masing-masing ada kelebihan. Kami memang bekerja keras sehingga tidak cukup rehat. Latihan pula dilakukan bermula pukul 3 petang sehingga 11 malam.

"Selepas itu, apa yang mampu kami lakukan adalah berdoa dan berserah kepada Allah. Syukur kami menjadi juara,'' katanya.

Pasangan Sein dan Nana telah mendapat khidmat koreografer Mohd. Hafiz Untong atau Bayu. Dengan kemenangan Sein dan Nana, Bayu turut mendapat tuah apabila membawa pulang hadiah berupa pakej percutian ke Rom, Itali dan sebuah trofi.

Sazzy akui kelemahan faktor undian

Sementara itu, bagi pasangan Sazzy dan Nazril yang mewakili Persatuan Parkinson Malaysia pula mengakui kelemahan mereka adalah terletak kepada faktor undian penonton.

Kata Sazzy, perkara itu disedari mereka sejak minggu pertama lagi apabila mereka gagal memperoleh undian SMS yang tinggi.

"Dengan undian yang lemah, saya dan Nazril menetapkan bahawa kami tidak perlu 'berlawan' dengan undian tetapi fokus untuk memberikan persembahan yang terbaik.

"Mungkin faktor saya yang juga artis urban telah gagal menarik undian penonton,'' ujarnya berjenaka.

Sungguhpun berada di tangga kedua, tetapi, jelas Sazzy, dia dan suami telah memperoleh banyak pengalaman berharga.

Diumum sebagai naib juara, Sazzy dan Nazril membawa pulang hadiah berupa pakej bulan madu ke Australia dan trofi di samping memungut RM15,000 untuk diberikan kepada Persatuan Parkinson Malaysia.

Koreografer mereka iaitu Jamal Manap atau Papa J turut memenangi pakej percutian ke Australia beserta trofi.

Kontroversi pengacara

Dalam pada itu, Sehati Berdansa musim ketiga mencipta beberapa kontroversi yang tersendiri terutama membabitkan pengacaranya.

Daripada soal putus cinta antara Fahrin dan Scha membawa kepada berita Scha serta Awal yang diarah menjalani ujian air kencing dalam satu operasi di sebuah kelab malam di Jalan Bukit Bintang, secara tidak langsung, ia memalit lumpur terhadap Sehati Berdansa.

Namun, bagi Zainir, apa jua kontroversi yang berlaku, Astro tidak memandangnya sebagai penghalang untuk meneruskan rancangan realiti berkenaan.

"Apa jua berita di luar sana, bagi saya, kami lebih menumpu kepada produksi Sehati Berdansa supaya berlangsung dengan baik,'' katanya.

Ditanya sama ada Sehati Berdansa bakal diteruskan untuk musim seterusnya, Zainir memberitahu, pihaknya akan melakukan penilaian terlebih dahulu.

"Kami akan melihat daripada segala aspek seperti kehendak penonton dan format program berkenaan,'' tambahnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: