Tuesday, December 29, 2009

Universiti Sydney juara debat

Penyertaan daripada universiti terkemuka seperti Oxford, Harvard dan Cambridge adalah satu peluang kepada pelajar Malaysia bagi meningkatkan mutu dan kualiti perdebatan mereka setanding peringkat antarabangsa.



MENYAKSIKAN pendebat-pendebat handal seluruh dunia berbahas mengenai isu-isu berkaitan keamanan sejagat membuatkan hadirin tidak mengalihkan pandangan dari pentas utama.

Pertandingan debat Graduate Employability Management Scheme (GEMS) World Universities Peace Invitational Debate (WUPID) 2009 yang telah diadakan di Panggung Percubaan Universiti Putra Malaysia (UPM) baru-baru ini telah berjaya mengumpulkan 30 kumpulan pelajar debat dari universiti terkenal dunia antaranya dari England, Australia, United Kingdom, Singapura, China, dan Scotland.

Empat pasukan debat terbaik dunia seperti Sydney, Oxford, Cambridge, dan Monash juga menyertai pertandingan tersebut. WUPID juga disertai oleh institut terkenal seperti Harvard dan Yale serta wakil dari Malaysia seperti Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Multimedia Malaysia (MMU), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) dan Universiti Malaya (UM).

Program seperti itu sebagai usaha untuk membentuk budaya bangsa berilmu dan melonjak keupayaan pelajar Malaysia khususnya melalui program perdebatan pada peringkat antarabangsa.

Perdebatan bukan sahaja berkisar topik 'keamanan' dunia seperti perang malah ia berkaitan dengan kebebasan bersuara, agama dan demokrasi sesebuah negara yang bakal diterajui oleh golongan pelajar.

Penyertaan daripada universiti terkemuka seperti Oxford, Harvard dan Cambridge adalah satu peluang kepada pelajar Malaysia bagi meningkatkan mutu dan kualiti perdebatan mereka setanding peringkat antarabangsa.

Menurut Penasihat Pertandingan, Saiful Amin Jalun, WUPID telah memasuki tahun ketiga penganjurannya. Ia juga menjadi antara acara yang dinantikan kerana menghimpunkan pendebat dari seluruh dunia.


TIMOTHY (kiri) dan Bronwyn menyifatkan latihan dan tunjuk ajar daripada guru yang hebat merupakan antara rahsia kejayaan mereka.

"Acara ini dapat dimanfaatkan oleh pelajar-pelajar dan peserta dari Malaysia. Mereka berpeluang melihat sendiri kehebatan peserta bertaraf dunia.

"Bukan mudah untuk kita menghadiri pertandingan-pertandingan debat bertaraf dunia yang kebiasaannya dianjurkan di luar negara untuk memberi pendedahan kepada pendebat-pendebat tempatan.

"Oleh itu acara ini adalah platform terbaik memberi pendedahan dan sebagai latihan kepada pelajar dalam menghadapi saingan bertaraf antarabangsa," katanya.

Walaupun peserta universiti tempatan tidak berjaya memasuki peringkat akhir tetapi mereka telah memberikan persembahan yang baik dan berjaya ke pusingan separuh akhir.

Kata Saiful, pada tahun pertama penganjurannya tidak satupun pasukan tempatan berjaya memasuki pusingan kedua tetapi WUPID tahun itu dan lalu menyaksikan Malaysia berjaya melangkah ke peringkat suku akhir dan separuh akhir.

Sepanjang penganjurannya, universiti dari Australia membolot kejuaraan termasuk tahun ini. Kumpulan 2 dari Universiti Sydney selaku pihak pembangkang telah dinobatkan sebagai juara mengalahkan tiga kumpulan lain.

Universiti Sydney yang dahulunya menjadi juara pada tahun 2007 berjaya merampas kembali takhta daripada Universiti Monash yang pernah menjadi juara pada tahun 2008.


SAIFUDIN ABDULLAH beramah mesra dengan peserta dari luar negara.

Terdiri daripada dua ahli, Timothy Mooney, 23, dan Bronwyn Cowell, 23, mereka menyaksikan kehebatan berdebat menerusi tajuk This House Believes that Regime Change is Justified Only by Invasion.

Dua kumpulan dari Universiti Ateneo de Manila berjaya ke pusingan akhir. Satu kumpulan di pihak kerajaan dan satu sebagai pembangkang. Satu lagi kumpulan di pihak kerajaan juga dari Universiti Sydney.

Mengikut peraturan debat dunia, empat kumpulan akan bertarung di peringkat akhir. Dua kumpulan sebagai pembangkang dan dua lagi sebagai kerajaan. Markah akan diberikan melalui penghujahan yang diberi.

Timothy memberitahu, kemenangan mereka adalah hasil daripada pengalaman dalam pertandingan lalu yang menjadikan mereka lebih berusaha untuk berjaya di dalam pertandingan ini.

"Kami amat terharu kerana hasil usaha gigih selama ini berbaloi dengan kemenangan yang telah diperoleh. Kami telah berdebat bersama selama setahun dan kemenangan ini menandakan kejayaan pada usaha kami.

"Jika ditanya rahsia, jawapannya amat mudah. Kami mempunyai tunjuk ajar yang terbaik dan sokongan daripada teman-teman," katanya. Masing-masing membawa wang tunai berjumlah RM7,000.


WALAUPUN pasukan negara tidak berjaya ke peringkat akhir ia merupakan latihan berguna yang boleh dimanfaatkan pada masa hadapan.

Bagi teman seperjuangannya Bronwyn, untuk menjadi pembahas yang terbaik perlu rajin membaca dan mengikuti perkembangan isu-isu semasa.

Kedua-dua mereka telah mula berbahas sejak di bangku sekolah lagi dan pengalaman serta latihan menjadikan mereka lebih yakin untuk berdiri di pentas dunia memberi saingan yang hebat.

"Isu keamanan adalah tajuk yang sangat menarik untuk diperdebatkan. Ia memberi kita peluang mengkaji dan menilai keputusan-keputusan yang telah dibuat oleh pemimpin-pemimpin dunia.

"Menerusi acara seperti ini ia memberi ruang kepada pendapat-pendapat berbeza individu yang mungkin boleh membawa kepada impak positif," katanya.

Bronwyn memberitahu, dia dan rakannya perlu berfikir lebih kritikal kerana berada di bahagian kedua perbahasan yang memerlukan penghujahan lebih berkesan bagi membidas pihak lawan.


KEMENANGAN yang diperoleh di Malaysia merupakan persediaan Timothy dan Bronwyn untuk ke pertandingan dunia.

Turut hadir Timbalan Menteri Kementerian Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UPM, Datin Paduka Prof. Aini Ideris, dan ketua hakim GEMS WUPID, Dr. Omar Salahuddin Abdullah.

Pendebat terbaik telah dimenangi oleh Steven Hind dari Universiti Sydney yang sebelum ini dimenangi oleh Tim Mooney juga dari universiti yang sama.

H&G Strategic Communications dan UPM menjadi tuan rumah GEMS WUPID 09 yang disertai oleh pasukan pendebat dari 30 buah institusi dari seluruh dunia.

GEMS, yang juga dikenali sebagai Graduate Employability Management Scheme menyokong usaha untuk mempromosikan keamanan dan intelek dalam berhujah antara mahasiswa sedunia.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: