Tuesday, December 29, 2009

Himpun permainan 44 negara

MINT ialah singkatan Moments of Imagination and Nostalgia with Toys. Ia membolehkan pengunjung melihat sendiri edisi-edisi terhad produk mainan yang mustahil ditemui lagi pada hari ini.



DI manakah agaknya destinasi pertemuan semua jenis barangan mainan dari serata dunia dan segenap generasi? Di kedai barangan mainan? Mungkin. Tetapi lebih tepatnya, di MINT Museum of Toys (MINT), Singapura.

Sejumlah koleksi lebih 50,000 barangan mainan vintaj yang mencecah nilai S$5 juta (RM12 juta) pada hari ini ada di dalam ruang pameran muzium lima tingkat itu.

Namakan sahaja karakter kartun atau barangan mainan dalam nostalgia ingatan anda.

Watak Popeye yang gagah dan suka mengunyah sayur bayam? Ataupun karakter Mickey Mouse yang ceria dan watak komik, Archie, yang tidak pernah gagal menghiburkan pembacanya? Semuanya ada dan lebih daripada imaginasi anda.

Berada sendiri di muzium yang berusia sekitar empat tahun itu baru-baru ini, benar-benar mengagumkan saya. Terlintas di ruang fikiran ini betapa dan alangkah bertuahnya tuan punya barangan mainan yang antaranya berusia lebih 100 tahun.

Seingat saya, sewaktu kecil, satu-satunya barangan mainan yang ada hanyalah koleksi replika mini plastik haiwan-haiwan di dalam zoo. Itu pun sudah cukup menghiburkan, apatah lagi, jika mempunyai pilihan koleksi sebanyak pemilik muzium ini, Chang Yang Fa.


INILAH dia Mickey Mouse versi Britain yang ada gigi.

"Jom! Mari kita mulakan (penerokaan muzium ini) dari tingkat lima," pelawa Richard Tan, kurator MINT sejurus kami, tiga wakil media melangkah masuk.

Pelawaan Richard itu disambut dengan tanpa banyak soalan. Sebabnya, kami yakin di situlah kami akan 'diterbangkan' semula ke zaman kanak-kanak yang cukup mengasyikkan dan sudah tentunya menceriakan.

Berjalan melepasi sekumpulan kanak-kanak yang sedang asyik menonton cerita kartun, Richard memberitahu, MINT menjadi destinasi terbaik untuk murid-murid sekolah setiap kali tiba musim cuti sekolah.

Signifikan

Pendedahan kepada barangan mainan sebenar sangat signifikan. Memandangkan kebanyakan kanak-kanak pada zaman ini membesar dengan permainan komputer atau keriangan di dunia maya.

"Di MINT, kami ingin mendidik pengunjung khasnya golongan muda hari ini bahawa bermain dengan barangan permainan tiga dimensi (3D) sebenar adalah jauh lebih menyeronokkan.

"Berbanding permainan komputer yang hanya memerlukan mereka menekan butang spacebar, enter dan sebagainya. Barangan mainan sebenar dapat meluaskan daya imaginasi. Jauh lebih hebat daripada yang boleh anda bayangkan," jelas Richard yang sudah berusia 50-an.

Tambah Richard, MINT ialah singkatan kepada Moments of Imagination and Nostalgia with Toys (Saat-saat Imaginasi dan Nostalgia bersama Barangan Mainan). Muzium MINT merupakan yang pertama seumpamanya di dunia. Ia terletak di sebuah bekas rumah kedai yang diubah menjadi galeri moden. Muzium itu dibina dengan sejenis kaca khas.


MUZIUM MINT juga memaparkan koleksi patung seksi, Betty Boop.

"Ini supaya semua barangan mainan yang dipamerkan tidak terdedah kepada sinar ultraungu yang berbahaya. Malah, kalau diperhatikan rekaan muzium ini, awak akan faham, pelan binaannya sangat terancang.

"Bentuk rekaan muzium ini dibina seakan-akan sebuah kotak kaca gergasi barangan mainan dan bersifat kontemporari. Bahagian aturan kategori pameran juga dirancang dengan baik," jelasnya.

Setiap ruang pameran di tingkat berbeza dikelaskan mengikut tema barangan mainan vintaj. Tingkat lima dikhaskan untuk produk mainan dari Angkasa Lepas (Outerspace), tingkat empat (Characters), tingkat tiga (Childhood Favourites) dan Collectables di tingkat dua.

Menyusur turun dari tingkat lima ke tingkat empat mengikut anak tangga, kami tidak melalui laluan yang membosankan. Sebabnya, ruang dinding di setiap laluan anak tangga tidak disia-siakan oleh arkitek dan pencetus idea muzium tersebut.

Kami disajikan dengan aneka barangan mainan berbentuk kereta-kereta vintaj, patung dan topeng. Jelas Richard, pameran di ruang laluan anak tangga akan ditukar mengikut trend jenis barangan mainan.


LUKISAN Mural oleh pelukis terkemuka. Oistein Kristiansen menceriakan suasana di Mint Cafe di tingkat bawah muzium.

Lelaki yang merupakan seorang bekas pereka barangan kemas sebelum menjadi kurator itu berkali-kali memesan agar tidak memandang rendah terhadap pengaruh dan kuasa barangan mainan. Banyak yang boleh dipelajari daripada produk 3D itu.

"Tahun 1960-an ialah waktu terbaik dan tempoh barangan mainan dikeluarkan paling banyak. Sebabnya, waktu itu ialah tempoh baby boomer.

"Andai diteliti, setiap negara menghasilkan produk mainan dengan cita rasa berbeza. Daripada pemilihan warna pun kita boleh lihat. Pengeluar Amerika suka gunakan warna-warna terang - merah, jingga dan kuning. Pengilang dari Britain pula mengagungkan warna-warna pastel yang lembut," terangnya.

Kaedah pengeluaran

Malah, kaedah pengeluaran produk mainan pada zaman lampau dan hari ini juga sudah jauh berubah. Pengeluar barangan mainan kini lebih mementingkan pengeluaran secara pukal. Tidak seperti dulu, produk barangan yang dihasilkan lebih mementingkan hasil kerja dan mutu serta tidak mengecualikan aspek edisi khas.

Oleh sebab itulah, MINT juga ditubuhkan dengan motif membenarkan pengunjung melihat sendiri edisi-edisi terhad produk mainan yang seakan-akan mustahil lagi ditemui. Apa yang pasti, sebilangan besar koleksi barangan mainan itu hadir bersama kotak asalnya. Masih dalam bentuk asli dan dipelihara sebaik mungkin.


RICHARD menunjukkan sekumpulan patung Cina yang dihasilkan oleh Door of Hope.

"Di muzium ini, koleksi barangan mainan datang dari lebih 44 buah negara. Antaranya India, Britain, Perancis, Argentina, China dan Greece.

"Mari ikut saya (sambil membawa kami ke ruang pameran karakter Popeye terkemuka). Tengok. Awak tidak mungkin dapat jumpa Popeye ini lagi. Bukan apa. Dari luar, Popeye ini mungkin nampak sama. Tetapi, sebenarnya Popeye ini diperbuat daripada sejenis material yang biasa digunakan dalam industri plastik, cellulote. Cellulote sangat mudah terbakar," katanya sambil memberitahu material itu sudah lama diharamkan demi keselamatan pengguna.

Tambahnya, semakin pelik dan jarang ditemui, semakin bernilai produk mainan tersebut. Jadi, saya langsung tidak terkejut apabila diberitahu, nilai sesetengah produk mainan di MINT mencecah anggaran harga AS$15,000 (RM51,457) setiap satu.

"Ambil contoh Green Hornet Blue Car keluaran tahun 1960-an ini. Produk ini dari Jepun. Kereta mainan ini sahaja dianggarkan AS$15,000 sebuah. Bukan sebab tahun dan tempat keluarannya," katanya.


BANGUNAN dua tingkat di Muzium MINT adalah tergantung dari bumbung bangunan.

Di tingkat tiga, Richard mengajak kami menemui sekumpulan karakter kartun yang cukup biasa dalam kehidupan harian kita. Mickey Mouse, Beruang Teddy dan Snoopy adalah sebahagian daripadanya.

Permainan 'reject'

Kelibat sekumpulan tikus Mickey yang seakan-akan ketawa terkekek-kekek cukup menarik perhatian saya. Bukan apa. Sebenarnya, ada sesuatu yang tidak kena tetapi melucukan tentang wajah Mickey-Mickey tersebut.

"Nampak tak? Itulah Mickey Mouse yang ada gigi. Rekaan asal mana ada gigi. Kelakar bukan? Tetapi, di MINT sahaja awak boleh jumpa Mickey Mouse edisi Britain ini," kata Richard sambil ketawa bersama kami.

Keluaran edisi hodoh Mickey Mouse yang bergigi itu mungkin tidak diterima oleh segenap pengguna pada zaman lampau. Namun, tuah kumpulan produk 'reject' itu menjadi satu koleksi cukup istimewa dan mampu mencecah harga bidaan ribuan dolar Amerika.

Menurut Richard, MINT turut membeli dan menempatkan semua koleksi beruang Teddy Sue Pherson. Pherson merupakan penulis buku dan pengumpul beruang Teddy terkemuka di dunia.

Richard memberitahu, pengumpul dan pengasas semua koleksi barangan mainan ini, Chang Yang Fa, 60, ialah seorang yang sangat low profile. Jarang-jarang ingin mendedahkan diri kepada media, perunding jurutera itu hanya ingin hobi mengumpul barangan mainannya dihayati ramai terutama golongan muda.

Ceria

Dibina dengan kos S$2 juta (RM4.8 juta), sebahagian daripada kos binaan muzium itu dibiayai oleh Lembaga Pelancongan Singapura (STB), manakala selebihnya ditanggung oleh Yang Fa sendiri. MINT yang dirasmikan oleh Menteri Hal-Ehwal Luar Negara, George Yeo sudah awal-awal lagi menjadikan Yeo penyokong pertama projek tersebut.

Sebabnya, Yeo sendiri menulis kepada Spring Singapore bagi mendapatkan dana sebelum idea tersebut turut disampaikan kepada Menteri Pembangunan Nasional, Mah Bow Tan. Yeo pada majlis perasmian tersebut telah berkata: "Tanpa minat, tidak akan ada pencapaian hebat. Dan ini (muzium) seharusnya menjadi satu inspirasi untuk kita semua."

Sebelum melangkah keluar dari dunia imaginasi MINT, saya sempat bertanya satu soalan kepada Richard: "Berapa umur awak?"



Sambil tersenyum lebar seperti sepanjang perbualan dalam muzium, dia memberitahu, diri sudah berusia lingkungan 50-an. Kami terkejut.

"Rambut sahaja yang uban semua bukan? Tetapi, hati sentiasa muda dan ceria. Mungkin sebab hari-hari menghadap semua barangan mainan ini," katanya. Tetapi, saya yakin seloroh itu memang ada maknanya.

Kunjungan ke Muzium MINT buat julung-julung kali itu sesungguhnya satu ganjaran yang tidak ternilai harganya. Sekurang-kurangnya, saya tahu perjalanan pulang ke Malaysia tidak dengan tangan kosong. Sebaliknya berbekalkan pengetahuan dan fahaman bahawa barangan mainan sesungguhnya banyak mempengaruhi kehidupan manusia, baik secara langsung atau tidak.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: