MENJELANG tahun 2010 esok, ramai yang mula memasang azam masing-masing.
Tidak kurang juga artis tempatan yang berkira-kira untuk merencanakan azam baru mereka.
Datuk Siti Nurhaliza (penyanyi):
"Bila masuknya tahun baru nanti, umur saya pun akan meningkat. Sudah tentu saya akan sentiasa berdoa agar terus dimurahkan rezeki dalam karier serta dikurniakan anak yang memang amat saya nanti-nantikan.
"Saya akan memulakan tahun baru ini dengan konsert Bagaikan Sakti bersama M.Nasir di Esplanade, Singapura. Selepas itu, saya akan menerbitkan pula Konsert Satu Suara yang akan dijayakan oleh Faizal Tahir dan Aizat di Istana Budaya pada bulan Februari nanti."
M.Nasir (penyanyi/komposer):
"Tahun 2010, saya ingin lebih fokus kepada penerbitan filem. Ada beberapa skrip yang pernah saya buat dulu dan akan saya telitikan semula, tetapi filem Aduh Saliha saya terpaksa tolak ketepi saja. Saya juga akan menyiapkan album terbaru saya dan kemungkinan besar akan siap sepenuhnya pada Februari depan."
Hans Isaac (pelakon/sutradara):
“Saya hendak membahagikan masa bukan hanya untuk kerja tetapi juga untuk kehidupan peribadi saya.
“Tidak lupa juga untuk mementaskan teater Cuci The Musical 2 di Istana Budaya pada 23 Julai dengan lebih mantap.”
Rozita Che Wan (pelakon):
“Saya ingin meningkatkan mutu lakonan, menjadi lebih selektif, meluangkan lebih banyak masa berkualiti dengan anak-anak, cuba untuk lebih berhati-hati dalam setiap gerak-geri agar dapat menghindarkan diri dari kontroversi dan menjadi insan yang lebih penyabar.”
Abby Abadi (pelakon):
“Saya ingin menjadi yang lebih baik dari hari ini untuk anak-anak, keluarga, karier san orang-orang di sekeliling saya.
“Sememangnya saya merasa lebih mencabar kerana anak-anak semakin membesar. Doakan kehidupan saya sentiasa dimurahkan rezeki dan diberkati.”
Memey Suhaiza (pelakon):
"Dengan kedatangan tahun baru, saya mengharapkan ia akan menjadi satu permulaan yang baik dan hidup saya juga akan lebih stabil. Sudah-sudahlah kontroversi...Saya ingin lupakan semuanya dan mulakan kehidupan yang baru."
Lisa Surihani (pelakon):
"Ada banyak perkara yang saya ingin buat pada tahun 2010. Pertamanya, saya ingin lebih berhati-hati dari segi pengambilan makanan. Bukanlah mengamalkan diet yang teruk, tapi sekadar memperbaiki corak makanan saya. Saya juga terfikir untuk mengikuti kelas yoga dan jika berkesempatan, saya ingin belajar bahasa Perancis kerana ini pernah diminta oleh arwah bapa saya yang memang amat berminat dengan bahasa itu."
Dafi (penyanyi/pelakon):
“Kalau azam tahun baru saya dari aspek peribadi adalah untuk terus bekerja keras, mencapai lebih banyak perkara, meningkatkan pengetahuan, berjumpa dengan ramai orang dan berharap dapat meluaskan langkah ke tempat-tempat yang baru.
“Saya juga ingin menjadi seorang yang lebih baik dari segi kehidupan dunia dan akhirat.”
Fazley Yaakob (penyanyi):
"Saya harap tahun baru ini saya akan kembali secara aktif dalam dunia hiburan tanah air sama ada dalam bidang nyanyian dan lakonan, memandangkan sudah setahun saya berehat dari dunia seni, saya harap kemunculan saya akan diterima semula seperti dahulu."
Nora Danish (pelakon):
"Tahun baru ini saya akan mulakan hidup baru, saya ingin buang segala kisah sedih tahun 2009 dan ingin menumpukan perhatian sepenuhnya dalam kerjaya dan anak saya, begitu juga dalam percintaan baru, apa salahnya..."
Nabil (pelakon/pelawak):
"Tahun 2010 saya akan lebih memilih dalam setiap projek yang saya ambil, saya tidak mahu main ‘rembat’ macam tahun ini. Saya harap tahun akan datang ini menjadikan saya lebih baik dari tahun sebelumnya."
Serina Redzuawan (pelakon):
"Selepas berkahwin saya rancang untuk meneruskan karier saya yang telah dirancang sebelum ini berjalan lancar, tahun depan saya akan sibuk mengendalikan Jalan-jalan Cari Makan terbitan TV3, pastinya jadual saya akan lebih padat kerana sudah mempunyai tanggungjawab sebagai isteri."
Zizie Ezette (pelakon):
"Azam tahun 2010 saya adalah untuk menjalani kehidupan yang lebih baik dan berazam untuk lebih fokus pada diri sendiri untuk lebih berjaya dalam hidup dan karier dan sentiasa mengingatkan diri untuk sentiasa redha dan bersyukur atas apa yang diberikannya."
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: