Thursday, December 31, 2009

Panas, panas, panas



KATA orang sekali air bah sekali pasir berubah. Begitulah roda pusingan hari. Sedetik mengimbau 365 hari yang sedang ditinggalkan, sebenarnya banyak juga peristiwa yang memalitkan parut berlaku dalam dunia hiburan.

Panas atau mendung, berdarah atau berkudis, hitam atau kelabu, biarpun kusam dan tidak membahagiakan si empunya badan, namun semua itu tetap warna yang mencorakkan kanvas anak seni.

Dalam banyak rentetan panas yang datang silih berganti, adegan dipukul dan memukul antara dua pucuk muda yang sedang meningkat naik, Remy Ishak dan Ummi Nazeera antara nama yang memanaskan atmosfera lewat 2009.

Menyemarakkan suhu bulan terakhir 2009, muncul pula ribut kegemparan perkahwinan rahsia antara dramatis Zizie Ezzete dengan Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Moktar Radin sebelum ditutup dengan kisah hangat Awal Ashaari dan Scha Al-Yahya.

Esok, masuk hari pertama 2010, namun isu Remy dan Zizie hakikatnya belum menemui konklusi terakhir. Sebelum 1 Januari memulakan rentak baru, berikut antara catatan kontroversi pernah mencoretkan banyak rasa sepanjang tahun 2009

Akhil Hayy ceraikan Maiza kahwini Waheeda



PERKAHWINAN bekas rockers yang bergelar pendakwah bebas, Akhil Hayy dan bekas isteri Maizawati Zainal yang dibina selama 14 tahun hancur berkecai pada 2009.

Pendedahan berani Maiza merungkai segala gosip dan spekulasi percintaan antara Akhil dan Waheeda selama ini, walaupun berkali-kali perkara itu dinafikan dua pihak terbabit.

Akhil dan Maiza bercerai talak satu pada 15 Julai 2009. Menariknya dalam bertarik tali itu, baru genap sebulan bulan penceraiannya, Akhil kemudian menyunting Waheeda sebagai isteri dalam satu majlis di Masjid Jamek Al-Rahimah, Kuala Kubu Baru, Selangor. Majlis berkenaan tertutup kepada keluarga serta kenalan terdekat sahaja. Hanya pihak media berstatus ‘rakan baik’ dijemput oleh Waheeda bagi membuat liputan.

Percakaran Farawahida–Zulfekar



SALING tuding-menuding dan masing-masing ada pegangan tersendiri. Itu yang menyebabkan percakaran Farawahida bersama bekas pengurusnya, Julfekar berlarutan sehingga menjadi kes polis dan mahkamah.

Farawahida didakwa Julfekar melanggar kontrak dengan syarikat Millenium Art Sdn. Bhd. miliknya kerana menghantar notis berhenti 24 jam menjadi artis rakaman syarikat tersebut pada 9 Februari lalu.

Tindakan Farawahida disifatkan Julfekar menyebabkan pihaknya mengalami kerugian sebanyak RM431,000 kerana penyanyi itu masih mempunyai baki kontrak selama setahun.

Masalah berlarutan sehingga muncul laporan polis daripada Farawahida mendakwa Julfekar menyebarkan rakaman seks mereka berdua. Ada juga desas-desus menyatakan masalah ini muncul gara-gara Farawahida menolak cinta Julfekar selain tidak sanggup hidup bawah kongkongan Julfekar.

Melalui Tetuan Radzuan Ibrahim & Co., Julfekar telah memfailkan saman terhadap Farawahida pada 27 Ogos lalu. Dia menuntut sejumlah RM436,700 melibatkan kos-kos kerugian yang telah ditanggung oleh pihak syarikatnya dalam menerbitkan album terbaru, Farawahida ‘09 serta promosi di Indonesia yang telah pun dirancang pada Februari-Mei 2009.

Perkahwinan senyap Zizie Ezzete dan Bung Moktar



BELUM reda kes Remy dan Ummi, tiba-tiba aktres drama bersiri Suraya, Zizie Ezzete turut diburu sensasi.

Meskipun Datuk Bung Moktar mahupun Zizie enggan mengesahkan kebenaran khabar angin yang mereka sudah diijabkabulkan sejak awal Disember, tetapi teman-teman rapat termasuklah Datuk Mohamad Aziz yang juga ahli Parlimen Sri Gading dalam satu kenyataannya telah mengesahkan berita perkahwinan Bung Moktar dan Zizie.

Bahkan tindakan ibu Zizie, Khaty Fauziah yang enggan lagi bersumpah anaknya belum berkahwin seperti sebelum ini menguatkan lagi desas-desus yang mereka sudah pun bergelar suami isteri.

2 comments:

  1. wahida ni ok...cuma perangai gedik wassiniiiiiiii........

    ReplyDelete
  2. BAIK-BAIK DOK BERCERAMAH DI MASJID/SURAU KAT KAMPUNG-KAMPUNG, PI MASUK BALIK ALAM HIBURAN (ASTRO), PUNAH RANAH! SAYANG SUNGGUH! 14 TAHUN HIDUP BERSUAMI ISTERI, PUTUS MACAM TU SAJA!

    P.S:PENGAJARAN, SEGARANG-GARANG MIKE TYSON BOLEH BERTAUBAT DAN MEMELUK ISLAM, MENANGIS DI RAUDAH, BANDINGKAN PULA DENGAN GOLONGAN BERAGAMA YANG MUDAH DIPATAHKAN. JAGA AKHLAK MASING-MASING DAHULU SEBELUM MENGUTUK AKHLAK ORANG LAIN.

    ReplyDelete

Tinggalkan Komen Anda Sini: