Nur Izzati |
Nur Izzati, calon ABPBH2009 tak malu mengaku pernah asah bakat di kenduri kahwin dan konsert 'fun fair'
BIARPUN bakat nyanyiannya mula diasah dari majlis perkahwinan, namun bagi bakat dalam dunia seni suara, Nur Izzati Mohd Rashid, 16 boleh berbangga apabila nama kecilnya turut tersenarai pada pencalonan awal di dalam penganjuran Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2009 (ABPBH2009).
Siapa menyangka, jika bukan kerana usaha giatnya menimba pengalaman sejak berusia enam tahun, lagu miliknya sendiri berjudul Bukan Sombong tidak akan berjaya dihasilkan sekali gus melayakkan dia untuk di calonkan di dalam ABPBH2009.
“Bersyukur saya kepada tuhan kerana bukan mudah melepasi beberapa tangga untuk membolehkan saya menghasilkan single pertama. Sebaik single siap dan mula dimainkan di radio, sekali lagi perkhabaran gembira diterima sebaik menyelak akhbar ini, nama saya turut di calonkan di dalam ABPBH2009.
“Memang saya tidak menyangka sangat dapat duduk bersama barisan nama-nama yang besar dalam dunia seni ini biarpun hanya untuk pencalonan awal, Kalau mengikut logiknya adalah terlalu jauh untuk saya tersenarai dalam top5, namun itu bukan terlalu penting sangat bagi saya buat masa ini.
“Bagi saya biarlah menimba lebih banyak ilmu lagi dalam bidang muzik ini sebelum mengharap sesuatu penghargaan yang besar untuk diri saya,” katanya berterima kasih kepada penganjur ABPBH2009 kerana mengesan namanya di dalam industri seni ini.
Nur Izzati atau mahu dikenali sebagai Zzati adalah bakat generasi baru yang bertuah disebabkan pengalaman yang ditimba bukannya dari mana-mana program realiti yang dianggap sebagai jalan pintas untuk bergelar penyanyi, tetapi bagaikan merangkak mengikut tangga seperti mana yang turut dilalui oleh kebanyakan penyanyi yang sudah dianggap lagenda hari ini.
“Saya bertuah kerana dapat merasai pengalaman yang berbeza ketika mula-mula menceburi bidang ini. Tidak malu saya katakan yang saya bermula di majlis rumah orang kahwin. Dari situ saya mengumpul keyakinan diri untuk berhadapan dengan orang ramai.
“Kerana minat yang mendalam dalam bidang nyanyian, ayah membuka laluan kepada saya dengan tujuan untuk memberi pendedahan sebagai penyanyi. Kebetulan ayah saya kenal dengan pengusaha pesta ria (fun fair), jadi dari situ juga saya banyak belajar memberanikan diri dan mengeluarkan segala bakat seni yang saya ada.
“Bagi saya menyanyi di fun fair adalah satu tanggungjawab besar kerana kebanyakan pengunjung yang menyaksikan persembahan kita dikenakan bayaran. Saya harus memberi persembahan yang terbaik melebihi kadar bayaran yang mereka buat.
“Memang berbeza jika kita menyanyi di hadapan penonton yang masuk secara percuma seperti yang banyak dilakukan hari ini. Walaupun kita masih diberikan token, namun kepuasannya tetap kepada persembahan yang berbayar seperti di fun fair,” katanya yang hadir di Balai Berita ditemani bapa, Rashid Chekman, 43 selaku pengurus merangkap juru solek Zzati.
Pertandingan Metro Idol anjuran akhbar Harian Metro di Karnival Jomheboh, Kuantan, Pahang tahun lalu menjadi `pembuka laluan' buat Zzati bergelar penyanyi hari ini. Dia yang muncul sebagai juara, akui bertuah mendapat sokongan daripada bapanya yang turut bertanggungjawab menyediakan jadual belajar dan kerjayanya.
“Segala jadual disusun oleh ayah, baik waktu belajar mahupun tawaran menyanyi di serata negara. Tidak bererti saya dikongkong oleh ayah tetapi ia adalah tanggungjawab ayah terhadap anaknya. Sudah tentu saya pun tidak mahu abaikan pelajaran walaupun mahu berjaya dalam nyanyian.
“Tambahan pula saya masih bersekolah dan tidak manis kalau terlalu bebas tanpa ditemani ahli keluarga ketika membuat persembahan di mana-mana.
“Dari kecil, saya memang suka pegang mikrofon, ini kerana ayah saya mempunyai beberapa studio jamming yang dibukanya sejak dia muda lagi. Ayah juga menamakan studionya dengan nama Zzati Studio sempena nama saya dan single saya turut dilabel di bawah naungan syarikat keluarga, Zzati Musical Entertainment,” katanya yang ingin mengurangkan sikit aktiviti nyanyian tahun 2010 kerana ingin menumpukan kepada Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak lama lagi.
Sementara itu, Zzati turut menyediakan laman sesawang khas untuk peminatnya yang ingin mengetahui perkembang seninya. Mereka boleh melayari laman www.myspace.com/zzati atau www.2crank.com/NurIzzati atau boleh menghubungi 017-9777191 (pengurusan).
Info Zzati
Nama: Nur Izzati Mohd Rashid
Asal: Bandar Jengka, Pahang
Tarikh Lahir: 3 September 1993
Umur: 16 tahun
Single: Bukan Sombong
Adik-Beradik: Anak sulong daripada dua beradik
Sekolah: Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Jengka II, Pahang
Pengalaman: Juara Pertandingan Karaoke Metro Idol di Padang MPK 2, Kuantan, 2008
: Juara Pertandingan Karaoke System Comunication Multimedia Malaysia (SKMM), 2007
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: