SUKAR dijangka siapa antara pasangan Sazlini Shamsul Falak (Sazzy) dan Nazril Mohd Idrus (Nazril) serta Syed Hussein Syed Mustafa atau Sein dan Noor Diyana Muhammad (Nana) menjadi juara Sehati Berdansa musim ketiga dalam pertandingan itu kerana hanya satu pasangan saja yang layak dinobatkan juara. |
Sama ada dipersetujui atau tidak majoriti penonton, keputusan berpihak kepada Sein dan isteri tercinta, Nana apabila meraih undian 84 peratus. Kemenangan pasangan romantis ini sekali gus menidakkan ramalan juara sebelum ini yang lebih menjurus pada Sazzy dan Nazril.
Malam kemuncak Sehati Berdansa di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Sabtu lalu akhirnya mengiktiraf bakat tarian Sein dan Nana. Mereka menang hadiah kereta Audi A4 (1.8), pakej bulan madu ke Rom Itali, trofi Sehati Berdansa dan kejayaan itu membolehkan mereka menyumbangkan RM20,000 kepada badan kebajikan diwakili, Persatuan Albinisma Kuala Lumpur dan Selangor. Bagi koreografer, Mohd Hafiz Untong (Bayu), pula membawa pulang pakej percutian ke Rom, Itali dan trofi Sehati Berdansa.
Di sebalik kemenangan itu, ada juga suara sinis mempertikaikan kemenangan diperoleh pasangan ini atas faktor undian khidmat pesanan ringkas (SMS) yang lebih berpihak kepada mereka berbanding pasangan Sazzy dan Nazril. Selain itu, kemenangan mereka juga dikatakan hasil undian pelaburan keluarga di mana latar belakang keluarga Nana, adalah orang berada.
Tohmahan itu menjadi lebih ketara apabila diumumkan kadar peratusan diraih pasangan Sazzy hanya 16 peratus walhal prestasi mereka sebelum ini agak memberangsangkan di mana pernah mendapat markah penuh, 100 markah sebanyak tiga kali dari juri jemputan.
Adakah disebabkan ketentuan malam kemuncak itu yang memberi kuasa penuh kepada juri awam iaitu 100 peratus undian SMS, mempengaruhi kemenangan diperoleh? Atau mungkin disebabkan pasangan Sazzy bukan pilihan penonton akhirnya menidakkan ketangkasan pasangan sejoli ini untuk dipilih sebagai juara musim ketiga?
Menjawab persoalan itu, Sein, 26, berkata dia dan isteri sudah berusaha menampilkan persembahan konsisten setiap minggu. Jadi, tiada sebab untuk mengaitkan kemenangan dimiliki itu dengan konspirasi tidak berasas.
Katanya, ia adalah rezeki kedua anak mereka, Syed Taariq (2 1/2) dan Syarifah Inaiya, 8 bulan.
"Kami tidak pernah menjangka kemenangan itu akan menjadi milik kami. Biarpun ketika latihan, kami banyak bertengkar mulut kerana ingin berikan terbaik, tetapi yang penting buat kami adalah memberi sumbangan pada persatuan diwakili.
"Saya menyangkal pandangan sesetengah pihak yang mengatakan kami menang atas undian SMS dan dibantu keluarga. Bagi saya, keluarga tetap akan membantu tetapi banyak manalah keupayaan mereka untuk mengangkat kami sebagai juara tanpa bantuan penonton di luar sana.
"Malah, latihan kami di minggu akhir berlipat-ganda iaitu lapan jam sehari. Agak letih, apatah lagi selepas balik dari latihan, Nana kena menyusukan anak dan kami berdua memang kurang rehat kerana ingin perbaiki pergerakan agar menjadi lagi cantik.
"Saya harap tiada pihak menyangkal kemenangan kami, kerana ini adalah rezeki yang sudah ditentukan. Kalau kita rancang dan labur sebanyak manapun, sekiranya tiada rezeki, tidak akan menang juga. Penonton nampak prestasi persembahan kami dan mereka mengundi atas faktor itu dan bukan kerana disebabkan perkara lain," ujar Sein.
Sementara itu, bagi Nana, 25, pula dia amat terkilan apabila dikatakan kemenangan diperoleh kerana dibantu keluarganya.
Katanya, dia tidak pernah memaksa ahli keluarganya mengundi mereka untuk dinobatkan sebagai juara Sehati Berdansa.
"Bapa saya ahli politik tetapi saya tidak pernah mengguna kesempatan itu untuk memenangi program ini. Yang penting buat kami adalah melakukan kerja amal kerana dana diperoleh boleh membantu Persatuan Albinisma Kuala Lumpur dan Selangor.
"Sebenarnya, hati saya agak terluka apabila ada pihak mempertikaikan kemenangan diperoleh ini, walhal kami setiap minggu bertungkus-lumus terbabit dengan latihan semata-mata ingin lakukan yang terbaik pada setiap tugasan persembahan," katanya.
Di sebalik kegembiraan yang dikecapi Sein dan Nana sebagai juara Sehati Berdansa musim ketiga, pastinya Sazzy dan Nazril terpaksa berpuas hati di tempat kedua. Bagaimanapun, menerusi kejayaan diraih, pasangan sejiwa ini dapat menyumbangkan RM15,000 kepada Persatuan Parkinson Malaysia dan membawa pulang pakej bulan madu ke Australia serta trofi Sehati Berdansa. Koreografer mereka, Jamal Manap (Papa J) menerima pakej percutian ke Australia dan trofi Sehati Berdansa.
Sazzy, 28, berkata dia dan suami tetap melakukan persembahan terbaik biarpun mengetahui realiti program yang bergantung kepada keputusan SMS.
"Memang dari sudut penjurian SMS, susah nak menang dengan Sein dan Nana. Biarpun saya dan suami mengetahui realitinya, tetapi itu tidak melemahkan semangat kami untuk tampilkan yang terbaik.
"Selama 10 minggu dalam program ini, saya rasa bagus kerana hubungan kami berdua bertambah erat. Jadi, tidak sia-sialah saya ambil masa selama sebulan untuk katakan ya menyertai program ini. Ia satu pengalaman yang sangat berharga," katanya.
Bagi Nazril, 35, menyertai Sehati Berdansa memberi peluang kepadanya mempelbagaikan pembelajaran jenis tarian.
Katanya, biarpun badan rasa sakit kerana bertungkus-lumus belajar sesuatu kemahiran tarian, ia satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan.
"Harap selepas ini kami mendapat jemputan untuk buat 'show'," katanya.
Turut hadir dalam sedang media selepas keputusan diumumkan ialah Pengarah Eksekutif Astro, Zainir Aminullah dan Pengurus Saluran Astro Ria, Azlin Reza Azmi.
Pada malam kemuncak itu, dua pasangan akhir berentap diuji dengan persembahan tarian Melayu (Kurik Kundi) dan Latin manakala jurinya ialah Joseph Gonzales, Linda Jasmine dan pasangan juara Sehati Berdansa musim lalu, Lisdawati dan Fauzi Nawawi.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: