Tuesday, December 29, 2009

Belum mahu bersara



BERSAMA anak didiknya yang menyertai pertandingan Ford Models Supermodel of the World Malaysia 2009.

PENGALAMAN selama 10 tahun Amber Chia dalam bidang peragaan sudah membawa gadis tinggi lampai ini ke serata dunia. Paling meninggalkan kesan adalah sewaktu dia diangkat sebagai wajah Guess kerana dari situlah dia mula mengembangkan sayapnya untuk menjadi peragawati terkenal.

Daripada pengalaman itulah maka Amber berasakan dirinya sudah bersedia untuk mencurahkan ilmu yang ada untuk membimbing anak muda yang mempunyai cita-cita untuk menjadi model peragaan.

“Sampai bila saya akan terus berada dalam bidang ini. Jadi adalah lebih baik dengan pengalaman yang ada ini, saya curahkan kepada mereka yang memerlukan. Nyata bukan mudah untuk menguruskan model terbabit dan baru kini saya tahu bagaimana agensi saya hendak menguruskan saya suatu masa dulu,” katanya.

Bagaimanapun, tegas Amber apabila dia mengambil keputusan untuk menumpukan kerja di belakang tabir, bukanlah bermakna dia ingin mengucapkan selamat tinggal kepada pentas peragaan.

“Apa yang saya buat ini adalah sebagai persediaan untuk masa depan. Saya harap dapat melahirkan lebih ramai model berbakat. Saya bercadang membuka sebuah akademi bagi melatih model baru,” katanya.

Setakat ini, jelas Amber, dia lega apabila projek pencarian bakat baru dalam bidang peragaan kini sudah pun berakhir.

Amber Chia

“Saya gembira kerana program realiti sulung saya, Ford Models Supermodel of The World Malaysia 2009 berlangsung dengan jayanya walaupun pada masa yang sama, saya berdepan dengan pelbagai masalah.

“Lebih menggembirakan saya apabila dua pemenang pertandingan ini iaitu Kelly Jagan dan Danny Lim mula mendapat perhatian ramai dan mendapat tawaran untuk menjayakan fotografi bersama media serta jemputan menghadiri pelbagai majlis,” katanya di majlis Makan Malam Krismas anjuran Rafflesia The Pearl Centre di Le Meridien, KL Sentral, baru-baru ini.

Sebagai kemuncak, Amber berkata dia dan Kelly akan ke Brazil bulan depan bagi menyertai pertandingan Ford Supermodel of The World.

“Saya akan menemani Kelly dan sebelum itu dia akan menjalani latihan selama seminggu terlebih dulu. Melihat kepada kesungguhan serta semangat Malaysia Boleh, saya pasti kemenangan boleh berpihak padanya.

“Walaupun pertandingan itu nanti hanya akan membabitkan peserta wanita, tapi saya akan membawa Danny bertujuan untuk memberi pendedahan antarabangsa,” kata Amber.

Menerusi program realiti itu, 14 peserta tersenarai sebagai finalis iaitu Kelly Jagan, 20, Eleen Yong, 23, Syakella Jazmyn, 22,Elvie yau, 23, Kit Leu,26, Cassandra Patrick,24, Qiang Hui, 24, Danny Lim, 21, Ahya Ulumuddin, 23, Ian Ong, 21, Shahrizan Ismail, 24, David Lian,19, Calvin Chan, 23 dan Wilson Tan, 26.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: