TIDAK hanya di Malaysia, Pesawat juga yakin dan positif untuk melakar nama di negara orang. |
Pesawat akan lebarkan kerjaya di pentas muzik antarabangsa
SEPADAN dengan namanya, kumpulan Pesawat pantas meredah dunia muzik tanah air sejak ditubuhkan pada 2005.
Dan, sepantas dan segagah pesawat terbang di udara, demikian juga misi dan visi kumpulan ini untuk terus memastikan muzik mereka bergema bukan hanya di peta Malaysia. Sebaliknya kumpulan yang ditunjangi empat anak muda ini berfikiran positif untuk melakar nama di pentas dunia.
Pada 2010 nanti, anggota kumpulan ini yang megah untuk dikenali sebagai Kudux, Jipie, Mann dan Nizam Camel sudah bersedia untuk untuk melebarkan kerjaya mereka di negara orang. Demikianlah tekad untuk Pesawat.
Ini bermula pada Mac 2010 apabila mereka akan ke United Kingdom bagi memenuhi undangan penuntut Malaysia di sana.
Jurucakap Pesawat yang juga penyanyi utama kumpulan ini, Jipie berkata, mereka bukan hanya membuat persembahan di depan penuntut Malaysia semata-mata, malah mahu mencuri peluang untuk menghiburkan peminat baru di sana.
“Ia ibarat strategi serampang dua mata, kerana kami juga akan membuat persembahan dalam beberapa acara di depan khalayak di London, Manchester dan Liverpool. Kumpulan Hujan dan Estrella antara band tempatan yang pernah diundang ke sana sebelum ini.
“Kalau jadi seperti yang dirancang, kami juga akan ke Singapura dan Hong Kong. Kalau ikutkan impian, kami nak sangat menyertai festival muzik yang diadakan di luar negara kerana ia juga medan untuk berkongsi pengalaman.
“Malahan di laman web kami juga ia turut dikunjungi orang luar selain tempatan. Baru-baru ini juga kami ada mendapat e-mel dari sebuah label dari United Kingdom yang menjemput kami untuk bernaung di bawah syarikat mereka. Ini memberi semangat kepada kami untuk membina nama di persada antarabangsa,” katanya.
Mengintai kembali kembara seni mereka, lagu Mirage mula memperkenalkan kumpulan ini di arena muzik arus perdana. Ia diikuti dengan lagu Rasional Emosional, Excuse Me dan terbaru Bingit. Lagu Bingit juga turut meledakkan nama mereka ketika ini dan pantas memanjat carta lagu popular di stesen radio selain menjadi lagu tema pertandingan realiti Twisties Bingit.
Walaupun menyimpan wawasan yang besar, Pesawat tetap selesa untuk bergerak sendiri. Pengalaman lalu banyak mengajar mereka untuk tidak bergantung kepada sesiapa.
Jelas Kudux, tertubuhnya syarikat sendiri diberi nama Pramugaru Music juga bukti kepada kesungguhan mereka mengejar cita-cita.
“Kami masih mengekalkan imej ‘indie music’ dan kami berbangga kebanyakan yang direncana dihasilkan daripada tenaga kerja sendiri. Kami selesa melakukannya secara sendiri biarpun ada beberapa buah syarikat rakaman datang mendekati. Tapi pada akhirnya kami terpaksa menolak secara baik.
“Saya sendiri pernah menganggotai kumpulan Meet Uncle Hussain (MUH) dan Butterfingers. Begitu juga dengan Jipie yang pernah menjadi pemuzik undangan MUH. Jadi tak salah pengalaman yang ada itu kami manfaatkan sebaik mungkin untuk mengisi liga seni. Pendek kata, dari A hingga Z, semuanya dilakukan kami,” katanya.
Selain merancang untuk menjelajah luar negara, Pesawat juga dalam rangka menghasilkan album penuh yang juga karya sulung mereka. Melabelkan genre muzik mereka sebagai indie garage rock, Jipie memberitahu corak muzik mereka dipengaruhi gaya Brit Rock dari United Kingdom.
“Memang sasaran kami untuk tampil dengan album pada 2010. Selepas muncul dengan empat single, kami akan rakamkan lagi dua single seterusnya dan selepas itu barulah kami tampil dengan album penuh. Kami mahu terus berusaha untuk menjadi band yang sentiasa diingati.
“Kami bukan setakat mahu menjadi band Malaysia yang dikenali oleh golongan tertentu saja, tetapi melangkau lebih daripada kelompok sedia ada. Kami juga akan menyiapkan klip video untuk lagu Bingit dan Excuse Me,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: