Monday, December 28, 2009

Geruh nak bertunang



KANGAR: “Ini kali kedua saya hadapi situasi sebegini. Empat tahun lalu, lelaki yang disayangi parah dalam kemalangan hingga menyebabkan perhubungan kami terputus. Semalam (kelmarin) bakal tunang (Noor Jismi Noordin) pula terbunuh,” kata Rosma Abdullah, 23, ketika ditemui di rumahnya di Jalan Harumanis, Sungai Batu Pahat, semalam.

Katanya, dia kini buntu memikirkan sama ada mahu meneruskan perhubungan dengan lelaki atau tidak selepas dua kejadian sedih dalam hidupnya, terutama pada saat-saat hendak bergelar tunangan orang.

Bagaimanapun katanya, soal jodoh, rezeki dan maut semuanya ketentuan Allah dan dia menyerahkan ketentuan kepada takdir.

“Empat tahun lalu, saya hampir bertunang selepas berkenalan dengan seorang lelaki tetapi perhubungan kami tidak kekal kerana dia terbabit dalam kemalangan.

“Noor Jismi pula dikenali menerusi laman sosial Friendster dan kami mula bertemu sehari sebelum ulang tahun kelahiran arwah pada 15 Februari lalu,” katanya.
Rosma berkata, keluarganya sudah membuat persiapan rapi majlis pertunangan yang dijadualkan semalam tetapi musnah selepas dimaklumkan Noor Jismi terbunuh dalam kemalangan ketika pulang untuk majlis berkenaan.


Katanya, selain menempah kek istimewa memaparkan gambar bersama bakal tunangnya, dia turut menyiapkan baju kebaya moden untuk dipakai pada majlis terbabit manakala sebuah khemah didirikan di hadapan rumah.

“Sepatutnya majlis pertunangan kami berlangsung selepas solat Asar hari ini (semalam) tetapi semuanya dibatalkan selepas Noor Jismi terbunuh dalam kemalangan terbabit.

“Pagi tadi keluarga membawa pulang kek istimewa yang ditempah sejak beberapa hari lalu dari sebuah kedai di Kangar,” katanya yang mengalir air mata ketika menceritakan situasi dilaluinya.

Noor Jismi antara 10 mangsa yang terkorban dalam kemalangan bas ekspres dua tingkat Sani Express Sdn Bhd yang terbabas dan melanggar pembahagi jalan di Kilometer 272.8 Lebuh Raya Utara- Selatan menghala ke utara, awal pagi kelmarin.

Mangsa yang baru beberapa bulan bekerja di bahagian percetakan Syarikat Kumpulan Karangkraf di Shah Alam, menaiki bas terbabit untuk pulang ke Perlis bagi melangsungkan majlis pertunangannya.

Rosma berkata, dia dan Noor Jismi sudah membeli cincin pertunangan di sebuah pusat membeli-belah di Alor Star, Kedah pada 3 Disember lalu.

“Arwah sendiri yang memilih cincin itu untuk diserahkan sempena majlis pertunangan ketika kami keluar bersama membeli di pusat beli-belah berkenaan,” katanya.

Menurutnya, dia turut menyimpan khidmat pesanan ringkas (SMS) dihantar Noor Jismi kepada rakannya pada malam sebelum kemalangan yang mahu kepulangan arwah ke Perlis untuk majlis pertunangan dirahsiakan.

“Arwah berkali-kali menyatakan tidak mahu pulang sehingga menyebabkan saya hilang tumpuan tetapi sebenarnya arwah cuba merahsiakan kepulangan dan bercadang membuat kejutan muncul pada majlis berkenaan,” katanya.

Katanya, arwah turut bercadang membeli sebuah motosikal untuk digunakan bersama dengan nombor pendaftaran RJ1616 iaitu sempena nombor ulang tahun kelahiran mereka yang jatuh pada 16 Februari bagi Noor Jismi manakala dia pula 16 November.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: