SERINA dan Gavin. |
Serina makin berdebar tunggu saat manis jadi raja sehari
JIKA diikutkan kemahuan hati, biarlah majlis perkahwinannya berlangsung dalam keadaan sederhana. Andainya dia dapat mengadakan acara yang ‘wajib’ seperti majlis akad nikah dan bersanding, Serina Redzuawan sudah berasa gembira.
Begitupun, pada masa sama dia memahami keinginan bapanya yang juga bukan insan sebarangan. Chef Wan, selebriti yang bukan sekadar dikenali di negara ini, bahkan pada peringkat antarabangsa. Justeru, tentu sekali bapanya mempunyai impian tersendiri apabila menguruskan perkahwinan anak perempuan tunggalnya ini.
Lalu, detik bersejarah dalam hidup pelakon berusia 26 tahun itu bakal dipecah-pecahkan kepada beberapa acara termasuk majlis merisik dan bertunang pada pagi 31 Disember diikuti majlis berinai kecil pada malamnya, majlis akad nikah pada pagi 1 Januari 2010 dan majlis berinai besar pada sebelah malamnya, serta majlis bersanding pada keesokannya. Kesemua acara berlangsung di ibu kota.
"Andai ditanya, jawapannya ini bukanlah kemahuan sebenar saya. Saya cuma inginkan majlis akad nikah dan bersanding saja. Namun saya sedar, bapa saya selebriti antarabangsa. Saya berbangga dengan apa yang diusahakannya untuk perkahwinan ini.
“Dia bukan saja mengadakan semua majlis ini untuk keluarga, sebaliknya dengan hasrat menjual nama Malaysia kepada masyarakat antarabangsa," katanya ketika ditemui pada sesi suai padan pakaian di Butik Lord’s Tailor di Bangsar, baru-baru ini.
KELUARGA Chef Wan bertambah dengan kehadiran bakal menantu, Gavin (tengah). |
Akui Serina, beberapa kali dia bertengkar dengan bapanya apabila masing-masing mempunyai pandangan tersendiri terhadap majlis yang kian hampir.
"Pokok pangkalnya, saya tahu dia menyayangi saya dan patut berterima kasih kerana dia bersusah payah serta berpenat lelah demi memastikan segala-gala berjalan dengan sempurna. Menerusi perbincangan, kami peroleh apa yang masing-masing inginkan.
"Saya juga tidak mungkin dapat melalui semua kerumitan dan kepayahan melakukan persediaan tanpa sokongan keluarga. Dengan bantuan mereka, sedikit sebanyak beban itu terasa ringan," ujar Serina yang bercuti sebulan bagi menguruskan persiapan perkahwinan, termasuk menyempurnakan segala proses dokumentasi bakal suami, Gavin O’Luanaigh atau nama Islamnya, Salahuddin Ghaffar.
Wanita muda yang belum mendedahkan lokasi bulan madunya itu berkata, lagi dekat tarikh perkahwinannya, lagi banyak tekanan dirasa.
SERINA dan Gavin menghitung hari untuk bergelar suami isteri. |
"Harapan saya, semoga segala tekanan ini hilang sebaik saja semua acara itu selesai. Kini baru saya sedar, bukannya mudah untuk melangsungkan perkahwinan," kata pelakon Roda-Roda Kuala Lumpur dan Akademi Polis ini yang bakal menggayakan beberapa gaun rekaan Jovian Mandagie, Radzuan Radziwil, Mahathir dari Butik Nasha dan rekaan dari Butik Kapas pada lima majlis terbabit.
Gavin yang bertugas sebagai Pengarah Eksekutif di syarikat Football Focus Sdn Bhd pula berkata, dia sememangnya tertunggu-tunggu untuk melalui detik bersejarah bergelar raja sehari, dalam beberapa acara yang pastinya meninggalkan kenangan indah.
Dia juga memberitahu, majlis resepsi kecil-kecilan untuk keluarga mungkin diadakan di kampung halamannya di London. Begitupun, dia belum memutuskan bilakah majlis terbabit akan diadakan.
Pada majlis perkahwinannya, kira-kira 15 hingga 20 anggota keluarga termasuk ibu dan bapanya akan bertandang di Kuala Lumpur.
Gavin ialah anak kedua daripada lima adik-beradik, dengan tiga daripadanya bermastautin di Malaysia.
Sudah menetap di negara ini selama sembilan tahun, Gavin, 33, membayangkan dirinya dan Serina akan terus menjadikan Malaysia sebagai rumah mereka selepas bernikah.
"Saya juga tidak melihat diri saya berkahwin dengan seorang selebriti kerana Serina yang saya kenali ialah insan biasa. Ketika berkenalan, saya tidak tahu pun dia seorang pelakon dan pengacara.
“Lebih-lebih lagi, kebanyakan program membabitkannya rancangan berbahasa Melayu," katanya yang menyediakan RM1,000 sebagai mas kahwin dan RM30,000 lagi sebagai wang hantaran.
Bertemakan pelbagai budaya
SEMENTARA itu, Chef Wan menegaskan, majlis perkahwinan anak perempuannya itu diatur sedemikian rupa bagi mewakili setiap warisan keturunan serta darah yang mengalir dalam tubuh Serina dan Gavin. Lalu, wujudlah elemen Jawa dan Sumatera, Cina, Pakistan, Arab, Inggeris dan Irish dalam majlis berkenaan.
"Pada saya, majlis ini diadakan secara sederhana saja tetapi diatur dengan cukup rapi. Banyak juga wang dikeluarkan bagi menganjurkan majlis terbabit, tetapi saya tidak membazir kerana masih mendapat bantuan rakan-rakan.
“Lagipun, majlis ini diadakan bukan untuk keluarga semata-mata, ia juga bagi memperkenalkan nama Malaysia ke luar negara. Semua majlis ini akan dirakam krew TV saluran Asian Food Channel (AFC)," cerita Chef Wan.
Ibu Serina, Norhayati Ayub pula percaya, anak perempuannya bertemu jejaka yang sepadan dan tentu sekali sebagai ibu, dia mengharapkan rumah tangga yang bakal dibina mereka akan berkekalan selama-lama.
"Gavin seorang yang sederhana dan dia tidak bersikap serius apabila bersama kami anak-beranak. Dia juga amat memahami kerjaya Serina sebagai pelakon. Bagi saya, sikap saling memahami itu paling penting dalam mengekalkan keharmonian perhubungan. Susah juga jika si suami tidak memahami kerjaya isteri seperti Serina ini.
"Saya sendiri tidak kisah bermenantukan bangsa asing. Gavin boleh menerima budaya kita dengan seadanya. Pada mulanya saya agak bimbang juga jika dia gagal menyesuaikan diri. Apabila berkenalan, nyata dia begitu mudah didekati dan dia juga tidak mempunyai masalah untuk bergaul dengan keluarga kami," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: