TIDAK banyak kumpulan berani mempertaruhkan muzik bingit dan bising sebagai identiti mereka. |
Berlainan dengan Pesawat, irama berkenaan membuatkan populariti mereka melonjak di kalangan penggemar alternatif rock atau brit pop di Malaysia.
Kumpulan diwakili empat anggota itu bukan sekadar mendapat perhatian di kalangan rakan seperjuangan genre itu, malah mempunyai peminat setia yang memberi sokongan padu pada setiap pertunjukan atau gig disertai mereka.
Meskipun masing-masing sibuk dengan kerjaya profesional, Pesawat masih mampu mencipta dan memainkan sendiri muzik ciptaan mereka.
Malah, kesungguhan Pesawat berbaloi apabila diterima menyertai banyak program gig hiburan Asia dan stesen radio tempatan.
Empat single dihasilkan - Mirage, Excuse Me, Rasional Emosional dan terbaru, Bingit - yang menjadi tema Twisties Bingit turut menarik perhatian kumpulan brit pop United Kingdom (UK) seperti Dirty Pretty Things dan Keane.
Kumpulan menampilkan Jipie selaku vokalis/gitar; Nizam Camel (gitar/vokal), 28; Mann (bass), 28, dan Kudux (dram), 33, berhasrat terbang bagaikan Pesawat sesuai dengan matlamat menjelajah lebih jauh ke peringkat antarabangsa.
Jipie atau Hudzaifei Hazmi berkata, nama Pesawat membuat mereka yakin berdepan cabaran bidang hiburan memperjuangkan muzik dipelopori kumpulan indie.
Antaranya Meet Uncle Hussain (MUH) yang mencipta nama apabila bergelar pemenang Anugerah Juara Lagu tahun lalu begitu juga Hujan, antara kumpulan alternatif rock utama Malaysia, memiliki irama pantas dan popular di Indonesia.
"Pesawat beri gambaran impian kami mahu terbang tinggi untuk capai cita cita. Nama ini dipilih bertepatan dan sesuai dengan tema dipilih sewaktu ditubuh pada 2005 iaitu bising dan bingit, sinonim dengan bunyi kapal terbang.
|
"Apabila peminat faham, mereka mahu mengikutinya. Lagipun, lirik Pesawat yang fleksibel melalui susunan lirik dua, tiga empat atau lima baris, mudah dinyanyikan.
"Kami buat lagu khusus untuk peminat kerana orang Malaysia suka menyanyi. Lagu Pesawat sesuai dinyanyikan golongan muda atau sesiapa yang suka kepada muzik kami mana-mana saja mereka berada," kata Jipie bertugas sebagai konsultan sebuah syarikat swasta.
Nama Pesawat melonjak naik apabila single pertama dihasilkan penghujung tahun lalu, Mirage meletup selepas berada dua minggu dalam carta FlyFm.
Dua single seterusnya, Rasional/Emosional dan Excuse Me turut bergelar juara carta radio.
Kehadiran Pesawat sentiasa dinantikan pengikut setia mereka sewaktu menceriakan Festival Indie Rock The World 2009 di Stadium Bukit Jalil pada Sabtu lalu.
Mereka beraksi bersama 60 kumpulan indie tempatan meningkat seperti MUH, Azlan & The Typewriter, Pop Shuvit dan Bunkface yang menjayakan persembahan gergasi atas tiga pentas berbeza iaitu Utama, Indie dan Chillout.
Tiga gitaris kumpulan yang diasaskan di Ampang itu begitu meminati bunyi gitar Fender Stratocaster dan Telecaster untuk penghasilan brit pop.
Pesawat adalah kumpulan pertama membuat rakaman muzik video dalam kapal terbang Boeing 777 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Rakaman itu melonjak reputasi mereka di pentas di Asia melalui program Muzik Video Asia's Music Platform (AMP).
Jipie menambah: "Walaupun mendapat pengiktirafan serta label daripada pelbagai pihak terhadap kami, kami tetap berpijak pada bumi nyata. Kami sentiasa mengamalkan sikap profesional terhadap apa saja tugasan perlu dilaksanakan.
"Sejak single keempat dan paling baru, Bingit diberi penghormatan lagu tema Twisties Bingit, kami sedar permintaan sudah ada. Kami mahu terus kerja keras memastikan Pesawat beri kepuasan kepada peminat terutama pada setiap persembahan atau undangan.
"Kami bersyukur kerana ada peminat sendiri sekarang. Golongan muda sekarang matang dan tahu menilai genre dan konsep Pesawat. Ini beri peluang kumpulan indie bertapak dan dapat diterima meskipun sebelum ini konsep berkenaan dikatakan kurang sesuai dan bising.
"Untuk perancangan masa depan, kami mahu melancarkan album sulung berikutan kejayaan empat single pertama. Album belum bertajuk itu masih dalam proses rakaman studio.
"Hasrat mengadakan gig di luar negara antara cita cita jangka panjang kami.
"Memandangkan, kos tinggi untuk persembahan luar negara, kami berharap sampai ke tahap itu. Ada kumpulan UK dan Australia mengajak Pesawat mengadakan gig di hadapan peminat mereka di sana. Kami berbesar hati dapat tawaran itu, sekali gus meningkatkan prospek Pesawat meningkat di pentas antarabangsa," kata Jipie.
>Profil
NAMA: Hudzaifei b. Hazmi (Jipie)
TARIKH LAHIR: 2 November 1981
ASAL: Negeri Sembilan
KERJAYA: Konsultan
INSTRUMEN: Gitar/Vokal
NAMA: Mohd Nizam Mohd Kamal (Nizam Camel)
TARIKH LAHIR: 18 Ogos 1981
ASAL: Johor
KERJAYA: Pengurus Projek Teknologi Maklumat
INSTRUMEN: Gitar/Vokal
NAMA: Mohamad Hirwan Mohamad Hatta (Kudux)
TARIKH LAHIR: 3 April 1975
ASAL: Perak
KERJAYA: ID & Koordinator Projek Pembinaan
INSTRUMEN: Dram
NAMA: Syaherman Johar (Mann)
TARIKH LAHIR: 18 Januari 1981
ASAL: Negeri Sembilan
KERJAYA: Jurutera Awam
INSTRUMEN: Bass
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: