|
|
HANYA tinggal tiga hari sahaja lagi, acara anugerah berprestij anjuran TV3, Anugerah Skrin 2009 (ASK2009) akan membuka tirainya.
Dengan mengambil tema Hikayat 1001 Malam, pastinya TV3 menjanjikan sebuah persembahan yang cukup hebat dan menjadikan edisi kali ini sebagai acara yang akan dikenang sebelum tahun 2009 mengucapkan selamat tinggal.
Pastinya khalayak dan peminat hiburan tanah air sudah mengetahui penganjuran ASK adalah untuk mengiktiraf hasil kerja karyawan seni tanah air menerusi drama, filem dan penerbitan dalaman televisyen.
Mula dianjurkan sekitar tahun 1993, ASK telah membuka satu lembaran baru dalam direktori industri hiburan tanah air untuk menghargai mereka yang bertungkus-lumus menghasilkan karya yang berkualiti.
Seperti biasa, saban tahun ASK akan menjadi buah mulut peminat hiburan tempatan yang mula berteka-teki siapakah yang bakal menjulang trofi perak bermotifkan pucuk rebung dan songket itu.
Bermula hari ini sehinggalah ke hari kemuncak ASK2009 yang berlangsung Jumaat, Hits akan menyenaraikan serta melihat nama-nama yang berpotensi untuk membawa pulang idaman ramai itu.
Walaupun senarai calon hanya akan diumumkan pada malam itu nanti, tetapi tidak salah untuk meramal mereka yang berkemungkinan besar dicalonkan berdasarkan persembahan mereka.
Kata orang, sekadar untuk suka-suka dan menyemarakkan serta memeriahkan lagi kedatangan ASK2009.
Hari ini akan dimulakan dengan kategori Pelakon Lelaki dan Drama Wanita Terbaik yang tidak kurang hebatnya.
Masakan tidak, dua kategori ini merupakan antara kategori terpenting pada malam ASK dan menjadi tanda aras kepada seseorang pelakon itu apabila lakonan mereka dihargai.
Bagi kategori Pelakon Lelaki Drama Terbaik, muka lama dan baru dilihat akan bersaing hebat dalam memikat hati juri untuk menobatkan mereka dengan gelaran terbaik.
Enam nama yang dilihat berpotensi besar untuk menempatkan diri antara yang terbaik adalah Que Haidar, Fizz Fairuz, Rosdeen Suboh, Fauzi Nawawi, Jalil Hamid dan Rusdi Ramli.
Pelakon berkarakter seperti Que misalnya, memang tidak dapat dinafikan bakat lakonannya dan semuanya itu terserlah menerusi drama Terlerai Takbir Kasih.
Memegang watak sebagai seorang suami dan bapa yang sanggup meninggalkan isteri serta anak-anak semata-mata mahu mengejar cinta wanita lain memang memberangsangkan.
Apatah lagi, drama yang meruntun jiwa ini sememangnya menyerlahkan emosi Que sekali gus menjadikan dirinya antara aktor yang memiliki kualiti lakonan yang tinggi.
Fizz juga mampu memberikan saingan hebat kali ini menerusi drama Tak Serupa Tapi Sama dengan lakonan bersahajanya.
Ekspresi wajahnya dengan penghayatannya sebagai seorang pemuda yang taksub dengan ajaran Islam tetapi dalam masa yang sama, mengabaikan tanggungjawab sosial memang menarik perhatian.
Siapa tahu, rezeki menjadi milik Fizz pada malam itu nanti sementelah ASK2009 bakal menyaksikan pencalonan pertama untuknya.
Pelakon teater seperti Rosdeen pula memang tidak wajar dipertikaikan kredibilitinya memandangkan pengalaman luasnya dalam bidang teater.
Maka, tidak mustahil seandainya nama Rosdeen antara yang mampu membolosi tembok kebal pencalonan ASK2009.
Wataknya dalam drama Tersasar Di Jalanmu arahan Erma Fatima itu berpotensi untuk memikat hati juri untuk menobatkannya sebagai pemenang.
Saingan hebat
Fauzi juga apa kurangnya kerana dia juga merupakan antara aktor yang cukup hebat dan bijak mewarnakan karakternya.
Berikanlah apa sahaja watak kepadanya jahat mahupun baik, dia tidak pernah mengecewakan penonton dan menerusi drama Takbir Rindu, tidak mustahil untuk Fauzi dicalonkan dalam kategori ini.
Pelakon senior seperti Jalil juga mampu memberikan saingan hebat kepada pelakon muda dalam ASK2009.
Pernah memenangi kategori ini pada tahun 2006, tidak mustahil jika Jalil mampu menjulangnya untuk kali kedua.
Lakonannya yang penuh emosi dalam drama Becha Usang memang menyentuh jiwa dan meninggalkan kesan yang cukup mendalam.
Kalau dia menang sekali pun, tidak ada salahnya kerana Jalil sudah membuktikan bahawa dia adalah aktor yang berada dalam liga yang tersendiri.
Rusdi juga tidak kurang hebatnya menerusi drama Chef Masin Pahit 4 Rasa yang merupakan sebuah drama komedi.
Memang mudah untuk membuat penonton menangis tetapi sukar sekali untuk menggeletek penonton menerusi lakonan yang mampu meninggalkan impak.
Tetapi tidak bagi Rusdi. Dia sudah membuktikan bahawa dia merupakan seorang aktor yang versatil dan mampu membawakan apa sahaja watak dengan cemerlang sekali.
Persaingan muka baru dan lama juga dapat dilihat menerusi kategori Pelakon Wanita Drama Terbaik yang pastinya akan menghangatkan lagi ASK2009.
Siapa tahu nama-nama pelakon senior seperti Norlia Ghani, Rosnah Mat Aris dan Kartina Aziz mampu menempatkan diri dalam senarai pencalonan tahun ini.
Sudah lama berkecimpung dalam bidang seni, sukar sekali untuk melihat mereka memberikan lakonan yang kurang memuaskan.
Norlia, Rosnah dan Kartina semuanya memberikan hasil lakonan yang memberangsangkan serta mampu menghayati watak yang diberikan.
Masing-masing dicalonkan menerusi drama Al-Kiswah, Tersasar Ke Jalanmu dan Mama Nenek yang memiliki penceritaan yang berbeza.
Suatu yang menarik juga untuk memperkatakan tentang kategori ini apabila Zarina Zainuddin turut dikhabarkan mempunyai harapan cerah untuk dicalonkan.
Mempamerkan lakonan cemerlang dan meruntun jiwa menerusi drama Becha Usang, siapa tahu selepas hampir dua dekad melayari dunia seni, Zarina akhirnya diangkat sebagai salah seorang pelakon wanita terbaik negara.
Masakan tidak, selama ini masyarakat seolah-olah memandang sepi kepada bakat lakonannya.
Bagaimanapun laluan untuk nama-nama ini bukan mudah kerana perlu berdepan dengan muka-muka baru seperti Noorkhiriah dan Sheera Iskandar yang tidak kurang hebatnya.
Noorkhiriah misalnya, memberikan lakonan yang cukup menyentuh jiwa menerusi drama Terlerai Takbir Kasih dan siapa tahu kali ini, rezekinya untuk menggenggam gelaran Pelakon Wanita Drama Terbaik.
Jangan lupa, Noor pernah mengungguli kategori Pelakon Pembantu Wanita Drama Terbaik pada tahun 2007. Jadi, siapa tahu malam ASK2009 akan menjadi milik Noor.
Sheera juga mampu mencipta kejutan pada malam itu nanti berdasarkan lakonannya dalam drama komedi, Halimah Jongang.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: