DUA tahun lamanya si jejaka berusia 30 tahun ini menghilangkan diri daripada gelanggang seni tanah air.
'Berhijrah' ke bumi Taiwan, langkah itu bukannya atas dasar membawa diri atau merajuk dengan iklim muzik tempatan.
Sebaliknya, bagi pemilik diri bernama Vincent Chong Ying-Cern atau Vince ini, kehadirannya di negara tersebut adalah untuk menimba ilmu sebagai persiapan meluaskan kemampuan seninya.
''Sepanjang di Taiwan, saya melanjutkan pelajaran dalam bidang bahasa Mandarin di Chinese Culture University, Taipei.
''Di sana, saya menetap selama lebih setahun dan cuba memperelokkan sebutan Mandarin. Loghat sebutan Mandarin di sini dan Taiwan cukup berbeza.
''Kalau ada rezeki, saya teringin hendak membuat album dalam bahasa Mandarin untuk pasaran Taiwan,'' katanya ketika ditemui sewaktu pembukaan Celebrity Fitness di Wangsa Walk Mall, dekat Wangsa Maju, baru-baru ini.
Vince yang juga juara Akademi Fantasia musim pertama (AF1) sebelum ini pernah menghasilkan dua buah album iaitu Janji Vince dan Percayalah Sayang.
Menurut Vince, sepanjang berada di Taiwan, bukan sahaja memantapkan sebutan dalam bahasa Mandarin, dia juga berpeluang mengenali selok belok dunia seni di negara berkenaan.
Vince juga pernah mencuba nasib dengan menyertai sebuah rancangan realiti nyanyian sebelum pulang semula ke tanah air, beberapa bulan lalu.
''Banyak juga pengalaman saya sepanjang berada di sana. Apa yang pasti, saya sangat merindui Malaysia dan makanannya seperti teh tarik dan nasi lemak,'' jelasnya yang masih teringat ketika pertama kali membuat sendiri nasi lemak di Taiwan.
Kata Vince, sebaik pulang ke tanah air selepas menamatkan pengajian, dia tidak mahu terus leka atau memikirkan untuk berehat terlebih dahulu.
Terus bergerak dan bekerja untuk menghasilkan sesuatu sebagai hadiah kepada peminat yang merindui 'kehilangannya', Vince bakal muncul dengan album ketiga tidak lama lagi.
Memulakan rakaman pada Ogos lalu, sememangnya, lagu-lagu yang dimuatkan dalam album berkenaan sudah menjadi koleksi simpanan Vince sejak sekian lama.
''Lagu memang sudah ada lama. Pendekatan kali ini lebih matang daripada segi lirik dan susunan muzik.
''Judul album ini adalah Kronologi Cinta. Ia akan memuatkan 10 buah lagu yang berkonsepkan jazz serta rock.
''Saya berasa puas kerana album ini saya hasilkan sendiri bersama Greg Henderson,'' katanya yang kini bernaung di bawah NSR.
Jelasnya, selain lapan lagu berbahasa Melayu, Kronologi Cinta turut memuatkan dua lagu bonus dalam bahasa Inggeris.
''Ia akan berada di pasaran tidak lama lagi. Saya juga akan berduet bersama Jo-Anna Sue Henly Rampas iaitu naib juara Bintang RTM 2009.
''Kami akan berduet untuk lagu Ajarku Cinta dan versi Inggerisnya, Teach Me How To Love.
''Jo-Anna mampu menyanyikan lagu tersebut dalam dua versi. Pemilihannya dilakukan selepas melalui satu sesi uji bakat,'' ujar Vince yang gembira kerana dapat menyambut Krismas bersama keluarga tahun ini.
Mahu buka syarikat produksi sendiri
Jelas anak muda kacukan Cina-Inggeris ini, selain berusaha memantapkan nama di bidang nyanyian, dia turut memasang impian untuk membuka syarikat rakaman sendiri.
Bagaimanapun, katanya, semua impian itu bergantung kepada sejauh mana dia mampu untuk menghasilkan sebuah kartun animasi.
''Saya ada perancangan hendak menerbitkan sebuah animasi. Ia akan dijalankan dengan kerjasama beberapa produksi yang mahir dalam 3D.
''Ceritanya sudah ada dan saya akan buat untuk versi bahasa Melayu bersama Ash Nair.
''Jika berjaya, mungkin saya akan tubuhkan syarikat produksi,'' katanya penuh semangat.
Tiada lagi cinta
Sementara itu, Vince yang diajak berbicara soal cintanya bersama seorang wanita kelahiran Mexico iaitu Veronica Larrauri Abad.
Menyemai cinta sewaktu bertemu di universiti yang sama di Taiwan, namun, cinta Vince terhadap Veronica putus di tengah jalan.
''Lebih setahun kami bersama. Tetapi, kami mengambil keputusan untuk berpisah atas sebab-sebab tertentu.
''Dan, dalam masa terdekat ini, memang saya tidak ada siapa-siapa (teman wanita),'' tambahnya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: