KOTA BHARU: Suasana tegang menyelubungi perkarangan rumah isteri kedua bekas Ketua Penerangan Dewan Pemuda Pas Kelantan, Dr Rosli Allani Abd Kadir, 35, di Kampung Telipot di sini, semalam, apabila dikepung sekumpulan lelaki yang tidak berpuas hati dengan tindakan pasangan terbabit yang didakwa enggan mematuhi perintah mahkamah syariah mengarahkan mereka dimufarakah (dipisahkan) sehingga perbicaraan kes mereka selesai.
Tindakan mengepung kediaman Dr Rosli dan isteri, Ilyani Mohd Noor, 30, itu dipercayai dilakukan selepas bapa mentuanya, Mohd Noor Che Man, 58, tidak berpuas hati dengan tindakan pasangan terbabit yang didakwa gagal mematuhi perintah mufarakah dikeluarkan Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Kota Bharu, Mohd Yusof Awang pada 21 Disember lalu.
Difahamkan, Dr Rosli bersama Ilyani dikatakan pulang ke rumah sewa terbabit kira-kira jam 9 pagi semalam selepas beberapa hari menghilangkan diri tanpa dapat dikesan bapa mentuanya.
Sebaik mendapat tahu kepulangan Ilyani dan Dr Rosli, Mohd Noor meminta bantuan beberapa rakannya mengepung rumah berkenaan, kira-kira jam 3 petang.
Bagi memastikan keadaan terkawal, beberapa anggota polis mengawal persekitaran rumah itu bagi mengelak kejadian tidak diingini.
Kira-kira jam 7.15 malam tadi, Mohd Noor yang menaiki sebuah kenderaan pacuan empat roda berwarna putih tiba di perkarangan rumah terbabit.
Dia kemudian dilihat berbincang dengan beberapa rakan sebelum meminta mereka tidak menimbulkan sebarang kekecohan, sebaliknya terus menunggu di depan rumah terbabit hingga jam 8 pagi esok (hari ini).
Kira-kira jam 7.30 malam, Mohd Noor dilihat berbual dengan Ilyani dari luar rumah itu dan meminta anak sulungnya itu menunjukkan surat nikah yang mengesahkan mereka sudah berkahwin secara sah.
Bagaimanapun, permintaan Mohd Noor untuk melihat kandungan surat terbabit tidak dipenuhi anak perempuannya itu sebelum seorang lelaki mengarahkan Dr Rosli menutup pintu rumah berkenaan.
Ketika ditemui untuk mengulas perkara itu, Mohd Noor berkata tindakan mengepung rumah anaknya itu akan dilakukan sehingga dia memohon waran tangkap pasangan berkenaan daripada mahkamah syariah, hari ini.
“Kita perlu tunggu sampai esok (hari ini) untuk mendapatkan surat daripada hakim Mahkamah Syariah Kota Bharu. Kita perlu tunggu (kepung) untuk elak dia (Dr Rosli) lari. Kalau dia lari, tidak ada bukti.
“Surat kebenaran untuk mendapatkan waran tangkap perlu. Sekarang waran tangkap belum dikeluarkan lagi kerana waktu pejabat sudah habis dan penguat kuasa tidak boleh berbuat apa-apa,” katanya ketika ditemui di perkarangan rumah terbabit, malam tadi.
Mohd Noor mendakwa Dr Rosli melanggar perintah mahkamah syariah yang mengarahkannya tinggal berasingan dengan Ilyani sehingga kes tuntutan pembatalan perkahwinan difailkan terhadapnya selesai.
“Dia melanggar arahan sebab mahkamah sudah putuskan pada perbicaraan 21 Disember lalu untuk mereka mufarakah dan nampaknya dia (Dr Rosli) melanggar peraturan yang melarang mereka tinggal bersama hingga kes selesai.
“Sekarang jelas mereka berada bersama. Saya pun tak tahu siapa lagi ada di dalam (rumah). Dia (anak perempuan) sudah lama menyewa rumah ini dan baru balik pagi tadi (semalam),” katanya.
Menurutnya, sebaik melepaskan jawatan pada 22 Disember lalu, anak perempuannya gagal dikesan sebelum menghantar pesanan melalui Internet mengesahkannya selamat dan sedang berehat.
“Bila saya balik ke rumah, dia (anak) tidak boleh dikesan. Tapi, bila saya periksa dia hantar mesej dan kata selamat. Kenyataan itu dikeluarkan dalam sebuah laman sosial yang turut menyatakan dia nak pergi berehat.
“Kalau dia (anak) kata nak pergi rehat, saya banyak rumah rehat dan saya boleh bagi. Saya boleh bagi rumah di Shah Alam, apartmen di sini pun ada dan dia perlu pergi sendiri dan mengapa perlu lari,” katanya.
Pada prosiding 21 Disember lalu, Dr Rosli diperintahkan Mahkamah Tinggi Syariah Kota Bharu supaya berpisah dan tinggal berasingan dengan Ilyani sehingga kes mereka dibicarakan pada 26 April depan.
Perintah itu dikeluarkan selepas bapa mentuanya menolak hasrat Dr Rosli untuk mengadakan perbincangan bagi mencari jalan penyelesaian di luar mahkamah.
Hakim Mohd Yusof Awang dalam keputusannya memerintahkan pasangan terbabit mematuhi perintah mufarakah yang dikeluarkan sejak 9 November lalu.
Mahkamah juga akan memberi keutamaan terhadap kes berkenaan dengan mempercepatkan perbicaraan bagi mendapatkan jalan penyelesaian kerana menyentuh kepentingan awam dan hukum syarak.
Mohd Noor dalam penyataan tuntutan pembatalan perkahwinan anaknya menamakan Dr Rosli serta Ilyani sebagai defendan pertama dan kedua.
Berdasarkan afidavit yang terkandung dalam pernyataan itu, Mohd Noor selaku bapa kandung dan wali mujbir (wali sah) kepada Ilyani mendakwa pasangan itu berkahwin di Masjid Subang Airport, Selangor, pada 26 Disember 2008.
Dia tidak bersetuju dengan perkahwinan itu disebabkan mengesyaki tidak memenuhi rukun dan syarat perkahwinan kerana mendakwa tatacara perkahwinan serta surat akuan nikah terbabit adalah dokumen tidak sah.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: