|
|
USIANYA baru saja mencecah angka 22 tahun, tetapi kematangan yang ditampilkan penyanyi Syura atau nama sebenarnya Zuraidah Badron tidak setanding usianya.
Masakan tidak, di kala ramai anak muda seusianya masih lagi terbuai dengan pancaroba alam remaja, Syura telah pun mengambil keputusan untuk bergelar isteri kepada seorang guru, Mohd. Fadhly Md. Yasin, 27, kira-kira dua tahun yang lalu sewaktu usianya 20 tahun.
Sungguhpun kini dia juga berstatus ibu kepada Nurul Dania Irdani, 17 bulan, itu bukanlah satu halangan buat dirinya untuk meneruskan minat serta cintanya terhadap bidang seni, dunia yang telah dikenalinya semenjak remaja lagi.
"Memang masa saya agak terbatas kerana saya kini bukan lagi hidup solo tetapi ada tanggungjawab lain sebagai isteri dan ibu. Walaupun begitu saya kena pandai bahagikan masa antara pekerjaan sebagai penyanyi dan juga tanggungjawab kepada keluarga.
"Mula-mula memang agak sukar sebab saya sekarang ini menetap di Johor, tetapi lama-kelamaan pengurusan masa itu semakin okey. Bila saya ada persembahan atau kerja di Kuala Lumpur saya akan bawa sekali anak saya," ujarnya.
Tambahnya lagi, dia tidak pernah toleh ke belakang apabila membuat keputusan untuk bernikah pada usia yang masih muda apatah lagi menyesali keputusannya itu.
"Saya bahagia dengan kehidupan saya sekarang ini, malah azam saya untuk maju ke hadapan lebih kuat apabila saya melahirkan anak.
"Hidup saya tidak kosong. Hari-hari melihat anak membesar di depan mata menjadi sesuatu yang amat menyeronokkan, dan saya tidak mampu untuk mengungkapnya dengan kata-kata. Sebab itu saya tidak boleh berpisah dengannya," kata Syura.
Buka butik
Mungkin kerana keazaman untuk memajukan lagi diri, kini selain bergelar penyanyi Syura boleh berbangga apabila dia juga bergelar seorang usahawan. Dia membuka butik andamannya sendiri di Johor yang diberi nama Butik Andaman Syura.
Perniagaan yang ditubuhkan pada Mei tahun ini nampaknya membuahkan hasil kerana pelanggannya bukan saja datang dari sekitar Johor, malah menjangkau sehingga ke Kuala Lumpur.
"Ini persediaan untuk masa depan andai kata saya tidak lagi menyanyi. Lagipun bidang ini cukup dekat dengan saya kerana sejak zaman remaja lagi saya sudah diajar cara-cara untuk bersolek dan kelihatan cantik.
"Berlandaskan pengalaman yang saya miliki, saya curahkan sepenuhnya terhadap butik andaman ini. Alhamdulillah, setakat hari ini perniagaan saya okey dan mendapat sambutan menggalakkan," katanya.
Album baru
Kata Syura lagi, walaupun sibuk, minat dan cintanya tetap terhadap bidang nyanyian dan kerana itu selepas muncul dengan album Syahdah Berdendang pada tahun 2006, kini penerima anugerah Album Pop Etnik Terbaik AIM 2007 ini terus mara dengan meluncurkan album terbarunya yang berjudul Khazanah Pujangga.
Walaupun album terbaru ini merupakan album kompilasi, tetapi terdapat tiga lagu baru khas buat peminatnya iaitu Pujangga Merindu, Dejavu dan Mendung.
Apa yang menarik, kesabaran menanti lagu daripada M. Nasir membuahkan hasil apabila lagu Dejavu ciptaan komposer itu merupakan lagu yang paling dekat dengan jiwa Syura.
"Saya memang minat dengan lagu-lagu M. Nasir, bila nak terbit album ini, saya terus fikirkan M. Nasir kerana saya tahu kualiti lagu-lagunya.
"Syukur, lepas terima lagu daripadanya saya cukup gembira dengan hasil yang diberikan dan saya yakin dengan penerimaan peminat," ujarnya.
Album yang telah berada di pasaran sejak 15 Disember lalu ini memuatkan 20 buah lagu etnik kreatif yang dikumpul sejak pada awal kemunculannya lagi. Album ini boleh didapati dalam bentuk CD dan VCD MTV Karaoke.
Buat peminat Syura yang ingin mengetahui lanjut tentang perkembangannya, anda boleh melayari laman web www.etniksyura.com.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: