TIDAK dinafikan, sesetengah individu yang melaksanakan ibadah haji enggan mendedahkan doa yang dipohon apatah lagi perkara ini amat personal.
Lain orang, lainlah pula gayanya. Ada yang seboleh-bolehnya tidak mahu berkongsi doa itu kerana berpendapat soal itu hanya diketahui si pemohon, yakni manusia dan pencipta-Nya.
Begitupun, pengacara nombor satu negara, Aznil Nawawi, 46, tanpa berselindung memberitahu kepada umum tentang doa yang dihajati semasa kedua belah kakinya memijak sebuah kawasan yang dikenali sebagai Jabal Rahmah.
"Ada doa yang saya anggap terlalu peribadi dan tidak boleh sewenang-wenangnya diceritakan kepada masyarakat.
"Saya tidaklah mendoakan untuk diri sendiri semata-mata, sebaliknya saya turut mohon Allah memberikan rezeki kepada saya, keluarga dan rakan sekeliling.
"Bagaikan menjadi lumrah. Saya juga sempat meminta Tuhan memakbulkan permintaan saya dalam bab jodoh.
"Secara peribadi, jika Yang Maha Kuasa berikan jodoh kepada saya dalam masa terdekat ini, saya tidak mampu berupaya untuk menolak ketentuan itu.
"Saya akur dengan kehendak-Nya, lagipun hanya Allah yang mengetahui segala-galanya tentang saya," jawab Aznil berterus terang.
Menyambung butir bicara, bapa kepada dua cahaya mata, Fildza Haifa, 18, dan Fariq Haizen, 13, itu beranggapan soal jodoh akan datang dengan sendiri tanpa perlu dicari-cari.
"Mungkin ada alasan tertentu, yang menyebabkan Tuhan belum membuka pintu hati saya untuk berkahwin semula.
"Kalau sudah suratan takdir saya untuk 'dihadiahi' dengan seorang wanita yang baik bagi menjadi permaisuri hidup saya dan anak-anak, saya sedia menanti hingga seribu tahun lagi.
"Tidak terkecuali, saya sempat meminta supaya adik-beradik ataupun rakan lain yang masih belum mendirikan rumah tangga akan menemui jodoh mereka tidak lama lagi.
"Saya juga memohon agar negara kesayangan saya, Malaysia sentiasa aman makmur dan dijauhi sebarang musibah.
"Selain itu, saya menginginkan seorang insan bernama Aznil Nawawi sentiasa berada di landasan benar, malah perbuatan dan tingkah-laku saya dikawal dengan sebaik mungkin," jelas bapa tunggal itu panjang lebar.
Ingin kongsi pengalaman
Kalau sesetengah umat Islam yang mengerjakan haji sekadar memahat pengalaman yang dijalani dalam fikiran masing-masing, namun berlainan sungguh bagi Aznil yang meletakkan foto dan cerita diri sepanjang berada di Tanah Suci itu dalam sebuah laman web di internet.
Lantaran itu, timbul isu apakah Aznil tidak sesekali berasa gentar apabila foto-foto yang disiar dalam blog kepunyaannya, aznilnawawi.blogspot.com. bakal mengundang spekulasi.
Aznil dengan tenang dan penuh santai menjawab persoalan ini. Kedengaran lontaran bicaranya begitu matang, sematang empunya diri yang sudah dua dekad mengabdikan diri dalam lapangan seni.
Niat di hati ingin berkongsi keseronokan, malah memperlihat zarah keinsafan sewaktu dia berada di Mekah dengan peminat, namun cara Aznil barangkali disalah tafsir sesetengah pihak.
"Saya tidak menganggap menyelitkan foto dan kisah saya mengerjakan ibadah haji dalam blog sebagai isu utama yang perlu dipertikai orang lain.
"Sebaliknya, nawaitu saya adalah mahu berkongsi setiap kenangan dengan khalayak, yang selama ini berdoa untuk kesejahteraan saya pergi dan pulang daripada mengerjakan ibadah haji.
"Orang yang sudah melalui momen pergi ke sana (Mekah) saja yang mengetahui perasaan luar biasa itu. Samalah halnya dengan saya.
"Seboleh-bolehnya saya ingin berkongsi cerita dengan peminat yang masih belum berkesempatan melunaskan ibadah haji.
"Ada sesetengah umat Islam yang masih dalam 'kegelapan' dan belum mengetahui gambaran persekitaran di Tanah Suci.
"Jadi, tiada salahnya kalau saya hendak beritahu pengalaman yang dilalui agar mereka dapat mengerti keadaan sebenar di Mekah.
"Saya sempat merakamkan gambar di depan masjid dan makam Nabi. Sekurang-kurangnya orang lain yang tidak pernah sampai ke sini dapat tengok keadaan tempat itu dengan lebih terperinci.
"Sudah menjadi rezeki saya untuk pergi tunaikan Rukun Islam kelima ini terlebih dahulu. Tiada salahnya kalau saya hendak berkongsi perkara baik ini, bukan?" soal Aznil sambil mempertahankan prinsipnya.
Sudah terbiasa dikritik
Sekiranya selepas ini masih ada lagi mulut-mulut jahat yang menganggap anak jati Kuala Lumpur itu hanya bermegah-megah kerana berpeluang mengerjakan haji, nyata perkara itu tidak menjadi kudis buat Aznil.
"Bukan saya tidak mengambil peduli kata-kata orang luar itu, sebaliknya saya sudah terbiasa dikritik sejak melibatkan diri dalam dunia seni hampir 20 tahun lalu.
"Saya akui ada juga terbaca komen berbaur negatif yang diberikan orang ramai, cuma saya berharap individu-individu seumpama ini tidak sesekali menilai saya secara luaran.
"Kalau ada yang cakap saya seolah-olah hendak menunjuk, saya terima saja perkara itu tanpa ada rasa dendam dalam jiwa.
"Paling penting, niat saya baik dan tiada maksud tertentu. Saya percaya perkara itu melibatkan saya dan Allah saja," jawab si pengacara Tom Tom Bak itu dalam getaran suara pasrah.
Perbetulkan persepsi masyarakat
Dalam pada itu, Aznil sempat memberi komen tentang persepsi masyarakat yang pandai-pandai membuat penilaian, kononnya menunaikan ibadah haji sekadar satu trend untuk orang yang dikenali sebagai selebriti.
"Perkara itu memang salah sama sekali. Kita kena membetulkan persepsi kurang bijak masyarakat terhadap soal itu.
"Lagipun, siapalah kita untuk mempersoalkan satu-satu perkara apatah lagi yang merujuk soal ibadah, melainkan Allah Taala sendiri?
"Saya berharap tanggapan buruk itu dapat dibuang jauh-jauh kerana kita tidak sepatutnya menghukum artis dengan pertikaian ini.
"Menilai orang lain terutama golongan artis dengan cara tidak benar, merupakan perkara yang salah," luah Aznil tegas.
Perasaan mahu mati
Aznil menjadi antara jemaah haji di Malaysia yang terakhir berlepas ke Tanah Suci pada 1 Disember lepas dan pulang ke tanah air 15 hari kemudian.
Tidak dinafikan, Aznil mengakui terlalu banyak pengajaran berguna diperoleh sepanjang mengerjakan Rukun Islam itu walaupun dia berada di sana untuk tempoh singkat.
"Banyak kesedaran saya dapat sepanjang berada di Tanah Suci. Bila tengok dalam diri, memang saya mengakui banyak kelemahan.
"Bila berada di sana, baru saya sedar selama ini banyak benda yang saya lalai dalam menjalani hidup sebagai insan kerdil.
"Selama ini saya sering sibuk dengan komitmen kerja, malah sembahyang ada kalanya terkejar-kejar.
"Namun, suasananya agak berbeza, malah saya berasa tenang sangat untuk bersolat, berdoa dan sebagainya yang dilakukan dengan tawaduk menerusi hati ikhlas," ungkap Aznil sedikit beremosi.
Berada di Mekah dan Madinah, kata Aznil, memberi banyak keinsafan kepada diri, selain memberinya peluang memanjatkan kesyukuran yang tidak terhingga atas segala kurniaan-Nya.
Segala nikmat yang dihadiahkan kepada Aznil berupa kesenangan hidup yang dikecapi dan rezeki melimpah ruah.
"Semasa berada di Arafah, memang saya rasa seakan-akan mengalami perasaan mahu mati. Bahkan, terfikir juga apakah saya bersedia untuk melangkah ke alam kematian.
"Malah saya sering tertanya-tanya, apakah bahawa bekalan yang saya tinggalkan untuk anak-anak. Perkara itu dilihat amat menyedarkan saya, malah kita tidak selama-lamanya akan menjadi muda.
"Sampai masanya kelak, kita akan pergi juga. Usia saya bakal menginjak ke 47 tahun ini. Barulah saya sedar selama ini saya terlalu sibuk dengan hal duniawi hingga adakala terlupa membuat persediaan untuk akhirat," akui penyampai radio ERA itu.
Jalan kaki tujuh kilometer
Ditanya tentang rintangan yang mendatang semasa berada di Tanah Suci, Aznil mengakui segala pengalaman yang dijalani itu menerbitkan seribu kemanisan yang tidak akan pudar dalam ingatan.
"Cuma saya tidak dapat melupakan kenangan berjalan kaki sejauh tujuh kilometer dari Mina ke Mekah gara-gara situasi menjadi terlalu sesak hingga menghalang pergerakan bas yang membawa pulang rombongan.
"Lama juga kami menunggu, namun bas tetap tidak kunjung tiba. Rupa-rupanya jalan mengalami kesesakan teruk, lantas kami mengambil keputusan untuk berjalan kaki saja dengan jutaan umat Islam lain.
"Boleh tahan jauh juga jaraknya, tetapi saya tidak terasa lelah langsung, malah saya seronok bertemu jemaah dari negara lain sambil berwirid dan bersalawat.
"Ketika itulah saya dapat lihat sendiri betapa ramainya umat Islam yang datang dari seluruh dunia. Itu cabaran yang saya alami. Syukurlah kerana tiada sebarang pengalaman yang pelik-pelik," katanya sambil memanjatkan kesyukuran kepada Allah Taala.
Sepanjang berada di Tanah Suci, Aznil berkata, dia tidak melepaskan peluang mengunjungi Madinah. Antara tempat dilawati termasuk Makam Syuhada, Masjid Quba', Masjid Qiblatin dan Bukit Uhud.
"Malah, saya tidak melepaskan peluang bersolat dan membaca al-Quran di Raudhah, selain menziarahi makam Nabi Muhammad S.A.W di Masjid Nabawi," akui Aznil yang tidak sabar untuk menziarahi kembali Tanah Suci sambil membawa keluarga suatu hari nanti.
kami sokong aznil..habis-habisan...
ReplyDelete