Monday, January 26, 2009

Pengarah 'Slumdog Millionaire' ingin bekerja lagi dengan Anil Kapoor

Boyle masih tidak percaya filem arahannya 'Slumdog Millionaire' boleh membolot banyak hadiah di Anugerah Golden Globe.

KEJAYAAN luar biasa yang dikecapinya di Anugerah Golden Globes membuat pengarah 'Slumdog Millionaire' Danny Boyle begitu teruja. Beliau yang kini berada di Mumbai, tidak habis-habis menceritakan tentang kehebatan Mumbai dan orang-orangnya.

Boyle yang jatuh cinta dengan Mumbai berkata dia tidak jemu untuk berada di tempat itu. Ketika mula-mula sampai di Mumbai saja, Boyle sudah tertawan dengan keindahannya.

"Saya gembira dapat melawat Mumbai lagi. Sebenarnya, saya tidak tahu banyak tentang Mumbai. Hanya sedikit saja. Tapi saya sukakan cerita 'Slumdog Millionaire' dan saya sukakan Mumbai.

"Sejak pertama kali sampai di sini, hati saya sudah suka. Saat yang paling sukar bila saya terpaksa merakamkan aksi budak kecil berlari-lari di samping keretapi," jelas Boyle yang tidak percaya filem arahannya boleh membolot banyak hadiah di Anugerah Golden Globe.

Filem itu juga diberitakan akan mendapat kemenangan di Anugerah Oskar nanti.

"Kalau anda lihat footage filem ini, anda akan lihat betapa terujanya kami ketika proses penggambaran filem 'Slumdog Millionaire.'

Ketika diminta komen tentang harapan untuk menang di Anugerah Oskar, Boyle berkata yang penting kita jangan harapkan apa-apa.

"Seeloknya kita jangan harapkan apa-apa. Cara itu kita tidak akan rasa kecewa," jelasnya.

Boyle yang pernah mengarah filem-filem hebat seperti 'Trainspotting', 'A life Less ordinary' dan ' The Beach' tidak menolak kemungkinan untuk membuat pengarahan di Bollywood lagi.

Walaupun filem itu menempa kejayaan, namun sambutan dari pengkritik di Mumbai agak berbeza. Ada yang menyelar filem itu kerana menunjukkan kehodohan dan kemiskinan rakyat di Mumbai.

Tapi Boyle mempertahankan filem itu dengan berkata, "Saya cuba menunjukkan aspek-aspek berbeza kota Mumbai. Saya cuba memasukkan sebanyak mungkin aspek ini.

"Saya juga cuba berlaku jujur. Apa yang saya paparkan mungkin juga satu ciptaan dan mungkin juga fantasi. Tapi saya tidak abaikan aspek realism dalam filem ini.

"Saya tidak rasa saya perlu meminta maaf kerana itu. Saya tidak mampu membuat semua orang gembira," kata Boyle.

Yang menariknya, Boyle yang pernah mengarah filem-filem hebat seperti 'Trainspotting', 'A life Less ordinary' dan ' The Beach' tidak menolak kemungkinan untuk membuat pengarahan di Bollywood lagi.

"Saya suka kalau dapat buat filem 'thriller' di sini. Saya cukup tertarik dengan lakonan Anil Kapoor dan saya ingin bekerja dengan dia lagi.

"Saya juga sukakan Hritik Roshan. Saya rasa dia penari yang hebat. Saya tidak pernah melihat sesiapa menari begitu, hanya Michael Jackson saja. Aamir Khan juga adalah penerbit filem yang hebat."

Boyle juga turut kagum dengan pengarah muzik AR Rahman. Baginya, Rahman mempunyai sentuhan yang unik dan moden.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: