KEDATANGAN tahun baru Cina membawa makna yang tersendiri buat penyanyi genit yang pernah popular dengan lagu 'Cinta Hello Kitty', Karen Kong.
Biarpun peredaran masa berlaku, namun bagi penyanyi kelahiran Kota Kinabalu, Sabah ini adat dan budaya warisan nenek moyang pada pagi hari kebesaran masyarakat Tionghua masih lagi dipraktikkannya sehingga ke hari ini.
"Keluarga saya masih lagi amalkan budaya tradisi masyarakat Cina seperti adat makan besar. Kebiasaannya kami akan makan ‘Yee Sang’ pada petang Tahun Baru Cina bersama-sama ahli keluarga.
"Selain daripada itu, pada pagi hari raya, saya dan adik beradik yang lain masih lagi memakai pakaian yang berwarna merah. Ibu akan marah kalau kami tak pakai baju warna merah," kata Karen yang akan menyambut Tahun Baru Cina bersama keluarganya di Kuala Lumpur.
Jelas penyanyi yang pernah merakamkan album bertajuk 'Mulakan' tahun lalu, ibunya masih lagi mengamalkan adat dan budaya masyarakat Cina yang lama seperti melarang menyapu rumah pada hari tahun disambut.
"Ibu saya bersikap konservatif sikit tapi saya percaya semuanya dilakukan untuk kebaikan anak-anaknya. Lagi pun ibu nak kami tahu dan adat budaya lama agar ia dapat dikekalkan sampai bila-bila," kata Karen yang fasih berbahasa Melayu.
Satu perkara wajib yang dilakukan oleh Karen di pagi tahun baru adalah meminta maaf daripada kedua ibu bapa serta adik-beradiknya yang lain.
"Memang dah jadi kewajipan kami akan meminta maaf dan bersalaman dengan ahli keluarga. Selepas itu baru lah boleh terima ‘angpow’. Saya masih lagi boleh dapat ‘angpow’ sebab saya belum kahwin lagi," ujar gadis manis yang baru sahaja berusia 24 tahun pada bulan Disember lalu.
Lebih menarik pada tahun ini, ibu, ayah dan adik beradiknya yang lain akan tiba dari Labuan semata-mata untuk menyambut tahun baru bersamanya.
"Saya amat bertuah sangat tahun ini ibu bapa saya datang ke Kuala Lumpur untuk beraya bersama saya. Ini semua kerana saya kerana bekerja pada malam tahun baru. Saya terlibat dengan porgram sampaikan ucapan Tahun Baru Cina di 8TV," katanya. Bakal muncul dengan album Mandarin
"Saya cuti tak lama untuk tahun baru kali ini kerana saya sibuk dengan pembikinan album Mandarin pertama saya," katanya yang sangat mengggemari kuih Mol, kuih tradisi yang popular di negeri kelahirannya.
Menurut gadis yang amat meminati penyanyi tersohor negara, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin ini dia tidak pernah bermegah dikurniakan bakat semula jadi dan menganggap kelebihan dimiliki itu adalah anugerah Tuhan.
Jelas Karen, dia lebih selesa menyampaikan lagu berbahasa Melayu biarpun ada pandangan mengatakan pasaran lagu Mandarin mampu menembusi pasaran luar seperti China dan Taiwan.
Bagaikan menyahut cabaran tersebut, gadis yang berasal dari Kota Kinabalu, Sabah ini bakal muncul dengan album Mandrinnya pertama pada bulan Mac nanti.
"Album ini bakal memuatkan 10 buah lagu dan ada seorang komposer dari Taiwan, Fad Chong. Saya rasa sudah tiba masanya saya menerokai pasaran muzik di peringkat antarabangsa.
Bagaimanapun, langkah berani diatur kini boleh membuatkan dia tersenyum apabila impian itu bukan lagi mimpi.
Duet dengan Shazzy
"Selepas itu, saya akan keluar dengan album Melayu pula. Album kali ini lebih istimewa kerana ia menampilkan muzik yang lebih fresh walaupun masih mengekalkan konsep Pop," kata gadis berbintang Sagitarus ini.
Jelasnya lagi, dalam album terebut dia berduet bersama rapper, Shazzy dalam lagu bertajuk 'Siapa'. Lagu ini telah pun diputarkan di stesen radio, Hot Fm baru-baru ini.
"Ini pengalaman pertama saya berkolaborasi bersama Shazzy. Dia banyak membantu saya dan seronok bekerja dengan dia,” kata Karen yang bakal muncul dengan album pada bulan Julai depan.
Membesar dengan lagu Melayu
Menyingkap pembabitannya sebagai artis rakaman secara serius, Karen berkata, semuanya bermula apabila dia meraih tempat pertama pertandingan nyanyian 'Talent Night 2005' anjuran UTAR menerusi lagu kesukaannya, Bukan Cinta Biasa.
Demi cintanya terhadap bidang nyanyian, lulusan ijazah sarjana muda Universiti Tunku Abdul Rahman ini sanggup mengetepikan cita-cita bergelar akauntan.
Kemunculan album sulung berjudul Karen- Mulakan yang menjengah pasaran Januari tahun lalu berjaya mengangkat nama Karen Kong sebagai penyanyi Cina yang berjaya memecahkan tradisi kelompok artis Melayu dalam bidang seni di negara ini.
"Sejak berusia empat tahun lagi saya didedahkan dengan lagu Melayu. Ia sudah melekat di hati ini. Tidak hairan mengapa setiap kali menyertai pertandingan nyanyian, saya sering mendendangkan lagu Melayu.
"Bagi saya, lagu Melayu lebih berjiwa. Justeru, saya lebih berminat merakam album Melayu meskipun menyedari album Mandarin pasarannya lebih luas, di mana ia bukan saja dijual dalam negara, bahkan berpotensi menembusi pasaran luar.
"Saya rasa tak salah kalau kita nyanyi lagu Melayu walaupun saya orang Cina. Apa yang peliknya. Biarpun kita berlainan warna kulit itu semua tidak penting kerana semua orang memiliki darah berwarna merah. Kita ini sama sahaja, semuanya orang Malaysia yang berbilang bangsa," kata Karen yang fasih dalam bahasa Jepun.
Lebih membanggakan, namanya kini semakin dikenali apabila berjaya mengumpul lebih 500,000 peminat dari Malaysia, Singapura, Indonesia, Brunei dan Filipina yang melayari laman web rasminya, www.friendstercom/karenkong.
Muzik videonya yang dimuatkan di Youtube ditonton sebanyak 300,000 kali sejak Oktober tahun lalu.
Mengikut kalendar Cina, sambutan tahun baru kali ini jatuh pada tahun lembu, menurut Karen dia mengharapkan tahun ini bakal memberi lebih banyak kebaikan dan kejayaan kepadanya.
"Saya juga harap kedua-dua album ini akan bawa tuah kepada saya. Terutamanya album Mandarin ini, saya sifatkan sebagai hadiah tahun baru paling bermakna untuk saya.
"Saya harap peminat akan terus memberi sokongan kepada saya," ujarnya mengakhiri perbualan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: