Tuesday, January 27, 2009

Episod cinta Wendy Wong


YACOB mengucup dahi isteri tercinta.


PELAKON dan penerbit terkenal, Wendy Wong sememangnya tidak pernah menyangka pintu hatinya akan diketuk oleh seorang lelaki yang mahu menyuntingnya sebagai suri.

Apatah lagi, pada umurnya kini yang mencecah usia 43 tahun dan juga setelah beberapa kali dilamar oleh lelaki berkenaan, akhirnya Wendy tunduk mengalah dengan kehendak takdir.

Itulah yang dinamakan jodoh. Kita sebagai manusia hanya mampu merancang.

"Selepas putus cinta dengan seseorang, saya akui ada bertemu dan keluar dengan beberapa orang lelaki namun, tidak seorang pun daripada mereka yang mampu membuka pintu hati saya untuk dijadikan teman istimewa.

"Entah bagaimana, apabila seorang lelaki bernama Yacob Chik hadir dalam hidup saya, dia membuatkan saya begitu selesa mendampingi dirinya. Apatah lagi sepanjang tiga tahun berkenalan dengannya, dia tidak pernah mengambil kesempatan terhadap saya.

"Keikhlasan dan ketulusan hatinya yang serius mahu menjadikan saya sebagai isteri benar-benar buat hati saya tersentuh. Saya berkata sendirian bahawa inilah lelaki terbaik untuk saya yang ditemukan oleh Allah," kata Wendy seusai majlis pernikahannya di Dewan Perdana Felda pada petang 23 Januari lalu.

Dalam majlis yang penuh sederhana dan ringkas itu, Wendy telah menerima mas kahwin sebanyak RM80 dan satu set barang kemas sebagai hantaran.

Selain itu, Wendy turut menerima enam dulang hantaran termasuk sepasang telekung, barangan peribadi dan senaskhah al-Quran beserta terjemahan berbahasa Mandarin.

Sebagai balasan, pihak Wendy memberi tujuh dulang yang terdiri daripada wangian, dompet, baju Melayu dan sebuah kerusi urut berjenama Ogawa.

Memeluk agama Islam

Ternyata, menjadi seorang isteri selepas memeluk agama Islam pada 28 November lalu, menjadikan kehidupan Wendy atau nama Islamnya, Wani Wendy Wong Abdullah lebih terisi dan lengkap.

Wendy yang cukup terkenal menerusi program bersiri terbitannya, Kisah Benar itu juga memberitahu dia sudi menerima lamaran Yacob apabila mengenangkan kesanggupan duda beranak tiga untuk menerimanya meskipun mengetahui dirinya berisiko tinggi menghidap penyakit barah.

"Keluarga saya mempunyai sejarah barah dan beberapa orang ahli keluarga saya juga meninggal dunia kerana barah. Untuk itu, saya juga dilihat berpotensi besar untuk menghidapnya.

"Lantas saya berkata kepada Yacob dan dia berkata meskipun, saya menghidap barah, itu semua ketentuan Allah dan dia sanggup menjaga saya.

"Itu membuatkan saya terharu dan saya percaya dengan keikhlasannya meskipun saya bebas daripada penyakit itu selepas membuat pemeriksaan lengkap," jelasnya lagi.

Tambah Wendy, Yacob merupakan lelaki impiannya dan dengan jujurnya dia memberitahu, rupa paras tidak menjadi keutamaannya dalam memilih pasangan hidup.

"Yang paling utama dan penting sekali adalah keluhuran hatinya dan dia sanggup bersama saya dalam apa jua keadaan sekalipun. Dia juga banyak membimbing dan membantu saya dalam agama dan setiap hari Isnin, kami akan mengikuti kelas agama selama dua setengah jam," ceritanya lagi.

Yacob yang merupakan seorang duda beranak tiga itu berpisah dengan bekas isterinya sejak 10 tahun lalu.

Pihak media cuba memujuk Yacob untuk berkongsi cerita tentang jalinan cintanya bersama Wendy.

Bagaimanapun, lelaki berusia 58 tahun itu menolak pelawaan media dengan baik daripada di temu bual.

Menyambung perbualan mengenai bibit-bibit cintanya bersama suami, pelakon yang dibesarkan di Hong Kong itu memberitahu, perkenalan mereka adalah menerusi rakan-rakan.

"Sepanjang berkenalan dengan Yacob, kami tidak pernah keluar berdua tetapi sebaliknya, bersama rakan-rakan kami yang lain," ujarnya.

Wendy yang anggun mengenakan busana rekaan Andrew Gan pada petang itu turut ditanya mengapakah majlisnya diadakan secara kecil-kecilan sehinggakan wajah rakan karibnya, Nancie Foo juga tidak kelihatan.

Yang hadir cuma rakan-rakan rapat dan keluarga terdekat kedua-dua pengantin sahaja.

"Semuanya berlaku dengan cepat dan memandangkan semua ahli keluarga saya datang dari seluruh pelosok dunia sempena Tahun Baru Cina, alangkah baiknya, kami menyegerakan majlis perkahwinan ini.

"Kami juga terkejut apabila anda (pihak media) hadir pada petang ini tetapi, tidak mengapa. Setidak-tidaknya kehadiran anda menyerikan lagi majlis ini," katanya yang tidak henti mengucapkan syukur di atas kelancaran majlisnya.

Antara rakan artis yang hadir adalah Louisa Chong, Peggy Ng, Habsah Hassan, Rubiah Suparman, Raja Alawiyah dan Ahmad Tamimi Siregar selaku pengacara majlis.

Bukan itu sahaja, Wendy juga tidak menolak rezeki seandainya dikurniakan dengan cahaya mata walaupun menyedari agak lewat untuk dia menimang anak pada usia 43 tahun.

"Namun, apa yang membuatkan saya bahagia dan gembira adalah apabila seluruh ahli keluarga saya merestui dan teruja apabila saya menyuarakan hasrat untuk berkahwin. Mereka menerimanya dengan hati yang terbuka meskipun kini kami berlainan agama," ujarnya.

Untuk meraikan cinta sejati dua mempelai ini, mereka akan mengelilingi Eropah pada bulan depan dengan menaiki kapal persiaran mewah sebelum menunaikan umrah pada 15 Mac depan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: