Tuesday, January 27, 2009

Persoalan cinta Aizat, Liyana

GELAGAT kedua-dua artis muda ini sentiasa diperhatikan. Masakan tidak, daripada gaya perbualan mereka serta bahasa tubuh mereka bagaikan memberi isyarat mereka sedang dilamun cinta.

Namun, apabila ditanya soalan itu kepada Aizat mahupun Liyana Jasmay, kedua-dua mereka memberikan jawapan yang sama, "kami tidak bercinta."

Bertemu dengan kedua-duanya pada majlis sambutan hari jadi Aizat ke-20 di The Lodge, Kuala Lumpur, baru-baru ini, kedua-dua bintang muda berbakat besar ini menjawab segala persoalan yang diajukan pihak media kepada mereka.

"Jujurnya, saya memang tiada apa-apa hubungan dengan Liyana. Hubungan kami hanyalah sekadar kawan biasa sahaja. Dia merupakan antara kawan baik saya dan begitu memahami diri saya. Kami begitu serasi dan kami mempunyai banyak persamaan.

"Saya mencintai Liyana hanyalah sebagai seorang kawan. Saya juga memang tiada perasaan cinta terhadapnya kerana perasaan itu tidak timbul. Malah, untuk keluar berdua dengannya juga tidak pernah.

"Lagipun, kami masih muda dan soal cinta bukanlah keutamaan dalam hidup kami. Apa yang penting sekarang adalah untuk memantapkan lagi kerjaya masing-masing," jelas Aizat penuh hemat.

Tambah Aizat lagi, hubungan mereka menjadi rapat selepas satu sesi fotografi dengan sebuah akhbar mingguan tahun lalu.

"Wartawan itu bertanyakan kepada saya siapakah artis wanita yang mahu digandingkan bersama saya. Adalah saya menyebut beberapa nama termasuklah nama Liyana. Jadi, daripada situ, hubungan kami bertambah rapat," katanya menyingkap sejarah perkenalannya dengan Liyana.

Pada majlis tersebut, pihak media dan jurugambar cukup setia menanti kedatangan Liyana yang tiba agak lewat kerana sibuk dengan sesi fotografi dengan sebuah majalah.

Sebaik sahaja kelibat Liyana kelihatan, jurugambar mula berpusu-pusu mengambil gambar mereka dan Aizat kelihatan begitu gembira dengan kehadiran Liyana.

Sempat juga, Aizat membisikkan sesuatu ke telinga Liyana dan tindakan Aizat itu sudah cukup menggambarkan keintiman hubungan mereka.

Seperti mana yang dikatakan Aizat, mereka memang tidak mempunyai sebarang hubungan cinta.

Apa sahaja yang dilakukan Aizat kepada Liyana adalah sebagai tanda kasihnya sebagai seorang sahabat.

Apatah lagi, kedua-dua mereka telah pun selesai menjalani rakaman lagu duet mereka yang memperlihatkan lagu tersebut dicipta sendiri oleh Aizat.

"Pada mulanya, lagu itu sepatutnya dinyanyikan oleh Liyana secara solo namun, penerbit albumnya, Ajai mencadangkan agar kami berduet.

"Saya melihat tiada masalah tentang perkara itu dan bersetuju untuk berduet dengan Liyana. Buat masa ini, tajuknya masih belum ada lagi dan saya mengharapkan lagu ini akan mendapat kelak," jelasnya lagi.

Apabila soalan diajukan pula kepada Liyana tentang hubungan istimewanya dengan Aizat, ketawa besar mengiringinya jawapannya.

"Mana ada kami bercinta. Bagaimana jawapan Aizat tadi, begitulah juga dengan jawapan saya. Mungkin orang kata kami bercinta sebab melihat kami rapat tetapi sebenarnya, kami tidak bercinta.

"Saya kagum dengan Aizat sebab dia mempunyai minat yang cukup mendalam dalam apa sahaja yang dilakukannya. Itu membuatkan saya tertarik untuk berkawan dengannya. Bukan itu sahaja, sebagai seorang kawan, dia cukup penyayang dan mengambil berat.

"Malah, kami juga berkongsi minat yang sama dalam bidang muzik. Dia banyak memberikan sokongan dan dorongan kepada saya untuk menjadi seorang penyanyi. Saya juga masih lagi solo dan tiada teman lelaki," terang Liyana panjang lebar.

Selain itu juga, tambahnya, keistimewaan Aizat juga adalah terletak kepada bakat dan kepintarannya yang membuatkan Liyana selesa berdampingan dengan bekas finalis Akademi Fantasia musim kelima itu.

Ditanya apakah hadiah untuk hari jadi Aizat, sambil ketawa manja, pelakon comel ini memberitahu: "Saya memberinya satu kotak kek cawan (cupcakes) yang saya tempah untuknya dan saya gembira kerana dia menyukainya."

Tidak lagi mahu membicarakan soal cinta, azam Aizat sempena ulang tahunnya adalah untuk memperbaiki diri menjadi seorang artis yang disegani.

Apatah lagi, tahun 2008 boleh dianggap sebagai tahun yang cukup berjaya untuk Aizat sehingga namanya kini meniti di bibir peminat muzik yang telah membuka mata untuk menghargai bakat besarnya itu.

Ini diperkuatkan lagi dengan kejayaan dan pencapaian lagu Hanya Kau Yang Mampu yang kini hampir mencecah satu juta muat turun dan kejayaannya menempatkan diri ke peringkat akhir Anugerah Juara Lagu Ke-23 (AJL23) baru-baru ini menerusi Lagu Kita.

Bukan itu sahaja, kredibiliti Aizat sebagai seorang komposer dan penulis lirik juga mendapat kepercayaan beberapa orang artis yang kini sudah mula mendapatkan khidmatnya seperti Jaclyn Victor dan Nurul Wahab.

"Apa yang telah berlaku sepanjang saya menjadi seorang artis membuatkan saya lebih bersemangat dan ingin maju ke hadapan menjadi seorang artis yang lebih baik.

"Saya mahu melakukan banyak perkara tetapi semua itu saya akan lakukan sedikit demi sedikit. Impian saya adalah untuk membawa muzik saya ke seluruh Asia dan seterusnya dunia.

"Mungkin kedengaran agak mustahil tetapi tidak salah untuk saya mengimpikan kejayaan seperti itu," jelasnya penuh optimis.

Kata Aizat lagi, buat masa ini, dia sedang sibuk mengumpul material untuk album keduanya selepas album perdananya, Percubaan Pertama menerima reaksi yang cukup positif.

Sebelum kelahiran album keduanya, Aizat terlebih dahulu akan mengeluarkan album pembungkusan semula Percubaan Pertama yang memuatkan sebuah lagu baru dan empat video muzik.

"Untuk tahun ini juga, saya mahu mencuba pelbagai muzik baru untuk saya tonjolkan kepada peminat. Saya juga mengharapkan sokongan padu daripada semua pihak untuk saya terus kekal di persada seni tanah air," ujarnya penuh harapan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: