Tuesday, January 27, 2009

Bakal bersatu buat selamanya




BERKENALAN lebih sedekad menerusi drama The Brave New World, Fann Wong dan Christopher Lee (Chris) memulakan hubungan sebagai pasangan kekasih kira-kira tujuh tahun lalu. Lebih sebagai rakan rapat sebelum bercinta, hubungan antara Fann dan Chris sememangnya sudah diketahui umum selepas mereka membuat pengakuan kepada media pada pertengahan 2005.

Maka, apabila pasangan artis Singapura itu membuat keputusan untuk mendirikan rumah tangga, ramai yang turut berasa gembira. Tidak menyembunyikan berita gembira itu seperti pasangan artis lain, Fann dan Chris juga berkongsi kegembiraan tersebut bersama media tempatan.

Hadir untuk mempromosikan filem terbaru mereka, The Wedding Game baru-baru ini, Chris dengan senyuman lebar mengumumkan kepada media bahawa dia dan Fann akan berkahwin pada September tahun ini. Masih belum menentukan tarikh perkahwinannya, Chris telah melamar Fann pada sambutan Tahun Baru Cina tahun lalu.

Lamaran itu mengambil tempat di rumah Fann. Ketika itu lampu rumahnya telah dipadamkan dan Fann menyangka ada orang ingin menyambut hari jadi. Namun, apa yang tidak disangkanya ia adalah perancangan Chris untuk melamarnya.

"Sebelum melamar, Chris ada berbincang dengan keluarga saya. Semasa berada di rumah saya, dia dan rakan-rakannya berkelakuan aneh tetapi tidak disangka mereka sedang berbincang mengenai lamaran itu, kata Fann dalam perasaan malu.

Sebenarnya Chris telah merancang untuk melamar Fann sejak hujung tahun 2006. Namun, disebabkan jadual ketat Fann, Chris terpaksa menangguhnya sehingga awal tahun 2008.


CHRIS dan Fann bersama barisan pelakon filem The Wedding Game.


"Hampir setiap hari saya melihat jadual kerjanya. Dari Krismas, Tahun Baru Cina, Hari Kekasih dan hari jadinya, saya ingin melamar. Kemudian saya hanya berpeluang pada Tahun Baru Cina lalu," kata Chris sambil memandang ke arah Fann.

Walaupun sudah mempunyai perancangan untuk berkahwin, pasangan itu yang berkongsi usia sama iaitu 37 tahun tidak tergesa-gesa untuk menjadi ibu bapa. Bagi mereka, isu anak tidak boleh didesak. Lagipun buat masa ini Fann sendiri masih tidak pasti sama ada dia akan berhenti atau terus aktif dalam dunia hiburan.

"Bagi saya pula, saya akan berlakon lagi jika ada skrip yang bagus. Saya tidak kisah walaupun kami tidak berlakon sama. Kalau berlakon sama pun saya tidak kisah. Apa yang penting ialah ceritanya," jelas Chris.

Berkongsi minat yang sama iaitu suka makan, Chris memberitahu, aktiviti makan telah membantu mengukuhkan serta mengekalkan hubungan mereka. Katanya, masa makan bersama ialah masa terbaik untuk mereka berbual dan berkongsi cerita terbaru masing-masing.

"Memang kami suka makan tetapi saya tidak pernah makan masakan Fann. Sudah lama dia berjanji untuk membuatkan saya kek dan biskut tetapi sampai sekarang saya masih tunggu.

"Fann pula suka makan makanan Melaka seperti cendol, nasi lemak dan asam pedas. Dia juga sedang tunggu saya membawanya menjamu nasi lemak paling sedap di Melaka," kata Chris sambil ketawa.




Tidak berani membawa Fann pulang ke kampungnya di Melaka, Chris memberitahu, setiap kali dia pulang ke kampung, sanak saudara, jiran dan rakan-rakannya akan bertanya mengenai Fann. Mereka amat meminati Fann dan ingin berjumpa dengannya.

"Semakin ramai orang bertanya mengenai Fann. Saya sengaja tidak mahu membawanya pulang. Pening saya dibuatnya. Tahun Baru Cina ini juga saya tidak akan bawa dia ke Melaka kerana Fann amat sibuk dengan kerjanya," kata Chris yang fasih berbahasa Malaysia.

Pertama kali berganding

Tidak kira di dalam atau luar layar perak, Fann dan Chris merupakan pasangan kekasih ideal. Mungkin disebabkan hubungan itu, pengarah filem The Wedding Game, Ekachai Uekrongtham telah memilih mereka dan menulis cerita berdasarkan perwatakan mereka.

Memegang watak sebagai pasangan selebriti yang berpura-pura bercinta untuk mendapatkan keuntungan, Chris menjayakan watak Jack, aktor yang mahu memulihkan imejnya apabila ditangkap bersama seorang aktres di dalam bilik menukar baju.

Fann pula memegang watak Vikki, seorang aktres yang terpaksa 'berkahwin' dengan Jack untuk mendapatkan kontrak iklan bagi membantu kilang ayahnya. Terpaksa bersama, mereka merupakan musuh apabila tidak berada di tempat awam.

Bagaimana pasangan kekasih dalam kehidupan realiti itu menguruskan perasaan marah mereka?


DISEBABKAN jadual lakonan Fann yang sibuk, Chris terpaksa menangguhkan lamaran untuk mengahwini Fann selama dua tahun.


"Kita tidak perlu berlatih. Dalam kehidupan realiti kami pun ada bergaduh. Namun, selalunya Fann yang menang kerana saya tidak sanggup marahkan dia. Saya amat sayangkan dia," jelas Chris yang berganding sekali lagi dengan Fann selepas lima tahun tidak berlakon bersama.

Tidak mahu terlibat dalam produksi sama sebelum ini kerana berasa kekok, Fann berharap penonton dapat bergelak ketawa semasa menonton filem khas Tahun Baru Cina itu. Namun, dia berasa 'gembira' apabila pengarah menyuruh mereka saling membenci dalam filem The Wedding Game.

"Pada mulanya pengarah takut kami tidak boleh marah sesama kami. Namun, kami berjaya kerana berpeluang untuk melakukan perkara yang tidak dapat dilakukan dalam kehidupan realiti. Contohnya, saya berpeluang untuk menumbuk Chris dan ia berterusan sehingga kini," kata Fann sambil tersenyum.

Kelihatan mesra sepanjang sidang akhbar, pelakon yang turut terlibat dalam filem itu, Charles Chen pula mendedahkan bahawa Chris seorang yang amat mementingkan bakal isterinya itu.




Dalam satu babak yang memerlukan Fann berpakaian seksi, Chris telah menunggu di lokasi untuk 'mengawasi' Fann. Adakah sifat itu yang membuatkan Fann lebih menyukainya?

"Tidak," jawab Fann sambil tersenyum. Tetapi menerusi perwatakan Fann, wartawan yang hadir dapat merasakan bahawa Fann sebenarnya terharu dengan apa yang dilakukan oleh Chris di lokasi penggambaran.

The Wedding Game yang menelan bajet RM5.4 juta sudah ditayangkan di pawagam bermula 25 Januari lalu. Merupakan produksi gabungan Thailand, Singapura dan Malaysia, filem itu turut dijayakan oleh pelakon Taiwan, Charles, aktres Hong Kong, Alice Lau dan pelakon Malaysia, Saiful Apek, Lai Ming dan Daniel Tan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: