Monday, January 26, 2009

Cinta orang dewasa


"Sayang kelah dimakan kedidi
Makan bersama si burung undan
Lama sudah hamba sendiri
Mujur berjumpa dirimu tuan"

SEKIAN lama membujang akhirnya Jumaat (23 Januari) lalu, penerbit dan pelakon, Wani Wendy Wong Abdullah, 43 mengakhiri zaman solo dengan lelaki pilihan hati juga seorang ahli perniagaan, Yacob Chik, 58.

Majlis pernikahan Wendy yang memeluk Islam awal November lalu berlangsung sederhana di Dewan Perdana Felda, dengan hanya dihadiri keluarga dan teman rapat.

Mereka dinikahkan Penolong Pendaftar Nikah, Rujuk, Cerai Jabatan Agama Islam (Jawi), Abdullah Hashim dengan mas kahwin RM80. Pada majlis itu, Wendy menerima lima dulang hantaran berbalas tujuh berupa rantai berserta subang, senaskhah al-Quran dengan terjemahan dalam bahasa Mandarin, telekung dan manisan

Perkahwinan pasangan ini turut mengejutkan ramai penggiat industri seni memandangkan Wendy yang ditemui dua tahun lalu pada majlis hari jadinya pernah menyatakan, masih belum bertemu dengan calon sesuai untuk dijadikan teman hidup.

"Waktu itu bukan saya sengaja mahu merahsiakannya daripada pengetahuan umum tetapi sebaliknya, kami masih baru lagi berkawan.

"Lagipun sebelum ini saya pernah putus cinta. Lebih menyedihkan waktu itu hubungan kami sudah diwar-warkan kepada umum dan merancang akan berkahwin. Tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya. Peristiwa itu membuatkan saya berasa fobia.

"Memilih jalan selamat, saya lebih senang sekiranya hubungan saya dengan Yacob didiamkan terlebih dulu. Sehinggalah perancangan untuk mendirikan rumah tangga sudah disahkan pada hari ini," katanya yang ditemui sebaik majlis selesai.

Bercerita lanjut mengenai perkenalannya dengan suami, kata Wendy, segalanya bermula apabila dia diperkenalkan kepada Yacob menerusi seorang rakan.

"Waktu itu kami keluar beramai-ramai. Selepas berasakan ada keserasian, saya dan suami bertukar nombor telefon. Peristiwa ini berlaku tiga tahun lalu.



"Dalam tempoh itu, kami sering berhubung dan hanya sesekali keluar dengan ditemani rakan lain. Hubungan kami boleh dikategorikan cinta orang dewasa. Tidak banyak perkara menarik kerana masing-masing sudah tua dan matang.



"Namun apa yang memikat hati saya pada Yacob, dia amat menghargai saya dan tidak pernah mengambil kesempatan. Pada saya, paras rupa dan wang ringgit bukanlah ukuran, sebaliknya hatinya yang baik itulah berjaya membuka hati saya untuk berkahwin dengannya," katanya.

Selepas dua tahun berkawan akhirnya tahun lalu, Yacob melamar Wendy, namun pelakon yang pernah menetap di Hong Kong itu tidak terus memberikan persetujuan.

"Di sebalik lamaran Yacob, ada cerita menarik antara kami. Pertamanya mengikut keturunan keluarga saya, kami mempunyai sejarah penghidap barah. Ibu dan kakak saya sendiri pernah berhadapan dengan penyakit itu.

"Sewaktu dilamar, saya nyatakan kepada suami yang susah untuk saya menerimanya kerana bimbang selepas berkahwin saya akan dijangkiti barah dan kelak akan membebankan dirinya.

"Namun hati saya tersentuh apabila Yacob menyatakan mengapa saya harus memikirkan perkara belum ada ketentuan, dan sekiranya benar saya dijangkiti barah, dia berjanji akan menjaga saya dengan baik.

"Sebelum memberikan kata setuju, saya terlebih dulu membuat pemeriksaan kesihatan secara rapi dan Alhamdulillah apabila doktor berkata, saya benar-benar sihat dan tidak ada tanda-tanda menunjukkan saya menghidap barah," katanya.

Selain itu, kata Wendy, kebaikan Yacob dan ahli keluarga juga terserlah apabila bersama-sama membantunya mencari seorang ahli keluarga penghidap penyakit kronik untuk diberikan bantuan yang menetap di kampung asal suaminya di Ipoh, Perak.

"Keluarga itu pernah muncul dalam rancangan yang produksi saya terbitkan. Waktu itu, kami mahu melawat abangnya bernama Jaafar di Ipoh. Kata saya, alang-alang ke sana, saya mahu mencari keluarga terbabit dan menyerahkan wang derma.

"Yacob tidak keberatan untuk membawa saya ke sana. Masalahnya apabila sampai, kami tidak ketemu kediaman keluarga terbabit walaupun alamatnya betul.

"Sebaik sampai di rumah Jaafar, dia sendiri membawa kami ke sana dan berusaha walaupun hampir satu hari suntuk kami mencari. Kedua-dua beradik ini cukup sabar. Sayangnya apabila kami jumpa rumah terbabit, penghuninya yang menderita sakit dan memerlukan itu sudah meninggal dunia.

"Kebaikan ditunjukkan Yacob dan semua ahli keluarganya membuatkan saya tersentuh dan yakin bahawa ciri-ciri lelaki yang saya cari selama ini ada pada dirinya," katanya.

Status Yacob sebagai duda bukanlah masalah buat Wendy, malah sebelum berkahwin, dia sudah diperkenalkan suami kepada tiga anak perempuannya yang kini menetap bersama ibu mereka di London, Britain.

"Sebenarnya selepas berpisah dengan bekas isteri 10 tahun lalu, Yacob yang waktu itu bertugas bersama Petronas, pulang ke sini sendirian. Anak-anaknya tiada seorang pun yang mahu mengikutnya kembali ke Malaysia. Jadi mereka hanya bertemu setahun sekali itupun pada Aidilfitri.

"Jadi Yacob sudah biasa hidup sendiri dan sedikit sebanyak ia bukanlah masalah buat saya untuk menyesuaikan diri. Anak-anak suami juga sudah besar dan rasanya sekarang adalah saat paling sesuai untuk kami membina hidup baru.

"Selepas berkahwin, memang saya teringin untuk menimang cahaya mata, tetapi memandangkan faktor usia saya tidak pasti sama ada masih mampu menimang anak sendiri atau tidak. Tetapi ikutkan hati, memang saya mahu dan Yacob sendiri tidak ada masalah untuk itu," katanya.

Bercerita mengenai perancangan berbulan madu, jelas Wendy, dia dan suami merancang menjelajah beberapa destinasi menarik di Eropah dengan belayar dengan kapal mewah dan kemudian mengerjakan umrah pada 15 Mac ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: