Monday, January 26, 2009

Lelong barang peribadi


PENGANJUR Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2008 (ABPBH08) dengan kerjasama artis terkenal bergabung tenaga menganjurkan karnival jualan murah dan lelongan barangan peribadi dalam usaha menambah kutipan tabung NSTP Untuk Gaza.

Acara yang membabitkan ramai artis termasuk penyanyi, pelakon, pengacara dan penyampai radio itu akan berlangsung pada 31 Januari ini di Bazz-r, Tingkat 3, Amcorp Mall, Petaling Jaya bermula jam 10 pagi hingga 6 petang.

Pada majlis sidang akhbar mengenai karnival dianjurkan di Balai Berita, baru-baru ini, Pengarang Hiburan Berita Harian memerangkap Penaung ABPBH08, Hanizam Abdullah berkata, apa yang dilakukan ini jelas menunjukkan keprihatinan warga seni terhadap mereka yang memerlukan.

"Walaupun kerjasama ini dibuat dalam masa begitu singkat tetapi sambutan diterima daripada artis tempatan cukup memberangsangkan. Sekarang ini 24 artis tempatan sudah mengesahkan penyertaan mereka.

"Antara artis terbabit termasuk penghibur bertaraf antarabangsa, Anita Sarawak yang akan menjual dan melelong barangan milik peribadi dari pagi hingga majlis berakhir.

"Selain itu, Mawi akan melelong aiskrim dan juga minuman tenaga. Faizal Tahir, Jaclyn Victior, Nabil, Stacy, Farah, Adi Putra, Nikki, Deja Moss, Scha Al-Yahya dan ramai lagi turut terbabit..

"Ingin saya jelaskan di sini penyertaan tidak terhad kepada mereka yang dicalonkan untuk senarai awal ABPBH08, sebaliknya artis lain turut dialu-alukan terbabit sama. Mereka yang berminat boleh menghubungi kami," katanya.

Bercerita lanjut mengenai perancangan karnival dilakukan, jelas Hanizam, selain melelong barangan milik peribadi, ada artis akan menjual barangan seperti baju, makanan dan juga kek yang ditaja hotel terkemuka.

"Setakat ini sembilan hotel ternama seperti Palace Of Golden Horses, Concorde Kuala Lumpur, Prince, Hotel Istana, Crown Plaza, Seri Pacific, Nikko, Lagend dan Hilton Petaling jaya akan menyumbangkan kek.

"Kami akan meminta artis tempatan terbabit untuk melelong kek ini kepada pengunjung karnival. Selain itu pengacara Shamsul Ghau Ghau akan bertindak sebagai pengacara dan tukang lelong.



"Ada antara pereka fesyen tempatan seperti Calvin Thoo, Jason Yek dan Micheal Shu akan menjual baju yang direka. Apa yang dijual mereka hanya sebagai contoh dan jika ada yang berminat mereka akan menghasilkan baju itu semula seperti dipamerkan mengikut saiz badan pembeli," katanya.



Anita Sarawak yang menghubungi penganjur ABPBH08 untuk menjayakan karnival diadakan berkata, bukan dia saja akan menjual barangan peribadi tetapi suami juga memerangkap pengurusnya, Mahathir Abdullah akan turut sama melelong barangannya.

"Selain menyerahkan sejumlah derma, aktiviti ini dirasakan antara sumbangan terbaik yang saya fikir dapat membantu mangsa memerlukan di Gaza.

"Saya belum lagi tahu barang apa yang mahu dilelong tetapi yang pasti ada banyak baju yang pernah diguna untuk persembahan di sini mahupun di Las Vegas termasuk kasut dan beg akan dijual.

"Selepas ini saya akan menyelongkar almari untuk melihat dan menyenaraikan barangan terbabit," katanya.

Beberapa artis remaja seperti Diddy, Nurfatimah, Aizat, Nubhan, Farah dan Farawahida turut sama membanting tenaga untuk melelong barangan milik peribadi.

Diddy dan Nurfatima yang muncul dengan lagu single duet, Sudah bercadang untuk menjual cakera padat milik mereka di samping membantu penganjur ABPBH08 menjual kek yang disumbangkan pihak hotel.

Sementara Farah dan Farawahida bercadang bergabung tenaga menjual makanan dan minuman yang dihasilkan mereka sendiri untuk pengunjung.

Istimewa apabila kumpulan yang menjuarai Anugerah Juara Lagu ke-23 (AJL23), Meet Uncle Hussain buat pertama kali akan mendengarkan lagu yang dicipta khas untuk masyarakat Palestin, Putihnya Lukisan dan akan dipersembahkan secara eksklusif di karnival itu nanti.

Pada majlis sidang akhbar itu Ketua Pengarang Kumpulan The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP), Datuk Hishamuddin Aun menerima sumbangan daripada Majlis Muzik Malaysia (Mahkota), Penerbit Eksekutif Persona Pictures Sdn Bhd, Aida Fitri Buyong dan Presiden Performers And Artistes Rights (M) Sdn Bhd (PRISM), Datuk Aziz Bakar.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif NSTP, Datuk Anthony Firdauz Bujang dan Pengarang Kumpulan Berita Harian Sdn Bhd, Datuk Manja Ismail.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: