|
|
SETIAP kali tibanya perayaan Tahun Baru Cina, penyanyi Winnie K pasti terkenang bapanya yang sudah 10 tahun meninggal dunia. |
Kata Winnie, 27, atau nama sebenarnya, Kok Mui Kuan yang popular dengan lagu Kau Ada Di Mana, sejak pemergian mendiang bapanya, sambutan tahun baru bersama keluarga tidak semeriah dulu.
"Sebagai anak yang cukup akrab dengan bapa, saya tidak pernah lupa berdoa untuk kesejahteraan rohnya setiap hari.
"Maklumlah, bapa adalah ketua keluarga dan bila dia sudah tiada bersama kami meraikan hari istimewa ini, sudah pasti, saya cukup terasa kehilangannya sampai sekarang," katanya.
Seperti tahun sebelumnya, kata Winnie, dia meraikan Tahun Baru Cina yang juga Tahun Lembu ini bersama ibu, dua kakak dan lima anak saudara di Kuala Lumpur.
"Ibu dan bapa saudara turut berkumpul bersama kami sekeluarga pada sambutan kali ini. Ia cukup bermakna kerana diraikan setahun sekali.
"Acara yang paling dinantikan ialah 'makan besar' yang juga makan malam bersama seluruh anggota keluarga sehari sebelum sambutan Tahun Baru Cina.
"Inilah saatnya, semua anggota keluarga terdekat berkumpul dan mengeratkan tali kekeluargaan sedia ada. Maklumlah, sebelum ini, kami jarang berjumpa kerana kesibukan kerjaya dan komitmen masing-masing," katanya.
Winnie berkata, juadah istimewa juga disediakan pada acara makan besar sempena sambutan Tahun Baru Cina.
"Antaranya, daging ayam, ikan dan sayur-sayuran yang disediakan ibu. Kuih-muih pula kami beli yang sudah siap.
"Pada hari kedua dan ketiga, selalunya kami berkunjung ke rumah saudara-mara. Pada hari ketujuh, selalunya orang Cina suka makan di luar atau 'Yee Sang' bersama keluarga di rumah atau bersama rakan. Mereka juga akan makan dengan menggunakan chopsticks pada hari istimewa itu. Sambutan akan diteruskan dengan berkunjung ke rumah rakan pada hari ke-12,13 hinggalah hari ke-15.
"Baju yang digayakan mesti berwarna merah tapi tidak semestinya kostum tradisional Cheongsam. Saya juga tetap beri angpau kepada ibu dan kakak tapi tidak pada saudara-mara lain kerana wanita yang belum berkahwin dilarang memberi angpau," katanya.
Bagaimanapun, kata Winnie, dia terpaksa bekerja sempena sambutan Tahun Baru Cina kali ini.
"Saya terbabit dalam program siaran langsung sambutan Tahun Baru Cina bersama Malaysia Hari Ini (MHI) dan RTM pada raya pertama. Tapi, saya pastikan sempat menyertai acara makan besar sebelum bergegas ke lokasi penggambaran program berkenaan," katanya.
Mengenai perkembangan kerjaya seninya, Winnie berkata, sambutan album Melayunya kurang memberangsangkan ketika ini.
"Album saya mendapat sambutan yang lebih baik di Indonesia berbanding di tanah air sendiri. Saya faham dengan keadaan kegawatan ekonomi sekarang tapi saya tidak pernah mengalah.
"Album runut bunyi, Kau Ada Di Mana juga digunakan dalam drama bersiri, Mertua VS Menantu untuk saluran Astro. Saya sedar memerlukan sedikit masa untuk menarik peminat tempatan, sebab itu saya ingin melancarkan album Melayu ini di sini pada Februari nanti," katanya.
Pada masa sama, Winnie juga merancang untuk menghasilkan album bahasa Cinanya selepas ini.
"Saya memang suka menyanyi lagu Melayu tetapi pada masa sama, saya juga ingin mempunyai album bahasa Cina juga.
"Terus terang, saya tidak cari makan dengan jualan album, sebaliknya menerusi TV komersial dan undangan majlis makan malam anjuran pihak korporat dan persendirian.
"Jika ada peluang, saya ingin mencuba bakat berlakon di layar perak pula. Saya tidak kisah watak diserahkan asalkan skripnya bagus," katanya.
Penyanyi yang pernah digosipkan dengan gitaris kumpulan Ungu, Oncy ini mengakui masih belum mempunyai teman istimewa.
"Hubungan saya dan Oncy sejak tiga tahun lalu juga sekadar kawan rapat. Kami juga jarang berjumpa kerana dia berada di Jakarta," katanya.
Pada sesi fotografi yang diatur Rap di lokasi di One Utama, Bandar Utama itu, Winnie digandingkan dengan seorang lagi penyanyi keturunan Cina yang menyanyikan lagu Melayu dan semakin mendapat tempat di persada muzik tanah air iaitu Karen Kong.
Bagi Karen Kong pula, 24, ini tahun keduanya meraikan sambutan Tahun Baru Cina sebagai artis.
Anak ketiga daripada empat beradik yang dibesarkan di Labuan, Sabah ini juga meraikan sambutan Tahun Baru Cina bersama keluarganya di Cheras, Kuala Lumpur.
"Ini kali kedua kami meraikan sambutan Tahun Baru Cina di Kuala Lumpur. Kami memilih untuk meraikannya di sini kerana kakak sulung juga menetap di Klang, Selangor. Seperti biasa, kami menghias rumah dengan warna merah dan semua anggota keluarga dilarang memakai baju warna hitam pada hari istimewa itu.
"Juadah istimewa yang disediakan untuk acara makan besar ialah Tapai Ayam iaitu seekor ayam kampung yang dimasak dengan halia. Selain itu, ikan masak kukus dan makanan laut yang segar. Kami juga tidak boleh simpan makanan yang tidak habis pada malam itu. Dari segi kuih-muih pula ialah kuih Mul yang juga kuih tradisi Sabah yang dibuat emak dan kuih Sapit.
"Kalau sambutan di Labuan, selalunya kami adakan rumah terbuka. Sambutan juga lebih meriah kerana makanan lautnya lebih segar dan enak berbanding di sini.
"Sebelum ini, kami sekeluarga juga pernah meraikan Tahun Baru Cina di Australia dan China," katanya.
Seperti Winnie, Karen juga terbabit dengan program siaran langsung sempena sambutan Tahun Baru Cina bersama MHI dan stesen 8TV.
"Saya hanya dapat bersama acara makan besar sekejap saja dan selepas itu terus berkejar ke progran siaran langsung di 8TV," katanya.
Berbanding Winnie, album Melayu Karen pula terjual melebihi 7,000 unit di Malaysia dan ia sesuatu yang positif buatnya.
"Sejak kecil, saya minat menyanyi pelbagai bahasa, lagu Melayu, Cina, bahasa Inggeris, Jepun dan Sepanyol. Sebagai anak seni, saya yakin, orang tetap akan beli album jika kita menyanyi dengan baik dan album dihasilkan juga berkualiti," katanya.
Album bahasa Cina pertamanya berjudul Show Time diterbitkan pada 2007 untuk pasaran tempatan.
"Kali pertama muncul dengan album Cina, orang ingat saya artis Melayu yang menyanyi lagu bahasa Cina.
Saya tidak putus asa untuk jual sendiri album kepada peminat dengan menjayakan sebanyak 50 'promo tour' di serata tanah air.
"Saya pernah jatuh sakit kerana tidak cukup rehat ketika itu, tapi saya tidak kenal erti putus asa," katanya. Sebagai persiapan album Cina keduanya, Karen juga terbabit dengan sesi latihan di Taiwan selama dua bulan, sejak November lalu.
"Saya ke sana kerana dihantar syarikat rakaman, Prodigee Media Sdn Bhd. Ia latihan untuk menjadi penyanyi yang bagus. Saya juga belajar bahasa Cina dan bahasa tubuh. Saya akan kembali ke sana selepas sambutan Tahun Baru Cina ini.
Sementara itu, Karen juga mengakui belum mempunyai teman istimewa lagi.
"Saya pernah mengalami cinta monyet ketika di bangku sekolah. Saya juga tidak terfikir soal kahwin lagi kerana takut untuk terbabit dalam komitmen perkahwinan. Keluarga tidak pernah mendesak kerana mereka tahu saya sukakan kebebasan. Saya tak kisah kalau mempunyai teman lelaki saja sampai ke tua. Saya tidak kisah kahwin lewat dan mungkin pada usia 35 tahun," katanya.
>Profil
NAMA SEBENAR: Kok Mui Kuan
TARIKH LAHIR: 16 Mac 1982
TEMPAT LAHIR: Kuala Lumpur
PENDIDIKAN: Diploma Lanjutan dalam jurusan Pengurusan Perniagaan
STATUS: Bujang
PROFESION: Penyanyi dan model
ALBUM: Lian Ai Kuai Le (Mandarin-1999), Change (Mandarin-2001) dan
Chang (Mandarin bersama satu lagu Melayu berjudul Kau Dan Aku-2003)
PENCAPAIAN: Juara Asia Bagus di Singapura (1993), Top Ten Artis Cina Malaysia selama lima tahun berturut-turut sejak 2001 dan Anugerah Best Artist dan Malaysia Most Highly Supported Best Artis Global Chinese Golden Art Award (2005)
IKLAN KOMERSIAL: Model Duta Pepsi (2001), Coklat Cadbury (2002) dan produk kesihatan di China (2003). Lain-lain Cool Fever, Follow Me, Yoko Yoko dan Gardenia
>Profil
NAMA SEBENAR: Karen Kong
TARIKH LAHIR: 7 Disember 1984
TEMPAT LAHIR: Kota Kinabalu, Sabah
ASAL: Wilayah Persekutuan Labuan
STATUS: Bujang
PENDIDIKAN: Ijazah Sarjana Muda Perakaunan Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR)
PENYANYI PUJAAN: Siti Nurhaliza
PELAKON PUJAAN: Rain (Korea)
ALBUM: Mulakan, Show Time (bahasa Cina)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: