NAMA Ziana Zain di dalam industri seni sememangnya tidak perlu diperkenalkan lagi.
Kelunakan suaranya tidak dapat dipertikaikan lagi kerana acap kali Ziana keluar dengan lagu baharu, lagu tersebut akan berjaya memikat hati pendengar dan juga peminat.
Maka tidak hairanlah lagu-lagu seperti Madah Berhelah, Puncak Kasih, Anggapanmu, Syurga Di Hati Kita menjadi lagu berhantu yang diminati hingga kini.
Mengimbau perjalanan wanita ini, Ziana memulakan kariernya sebagai seorang penyanyi pada awal 90-an dan menghasilkan album pertamanya, Madah Berhelah pada 1991.
Kariernya berada di kemuncak apabila dinobatkan sebagai johan pertandingan Voice of Asia pada tahun 1995, menewaskan penyanyi daripada beberapa buah negara.
Tidak hanya berbakat di dalam bidang nyanyian, Ziana juga sudah menunjukkan bakat di dalam bidang lakonan dan menjadi antara pelakon popular pada zamannya bersama Erra Fazira dan Awie.
Kini selepas tiga dekad mengabdikan diri dalam dunia hiburan, Ziana terus mengorak langkah dan melebarkan sayap menerusi cabang perniagaan.
Sebagai mukadimahnya untuk masyarakat mengenalinya di dalam dunia perniagaan, Ziana telah melancarkan koleksi tudung di bawah label Gee Collection by Ziana Zain’s World, baru-baru ini.
Menceritakan perihal perniagaannya, Ziana berkata, dia mula berjinak di dalam bidang ini setelah berjumpa rakan perniagaannya dan mereka mengambil keputusan untuk menceburi bidang ini.
Pemilihan sari sebagai tudung dibuat setelah idea tersebut diberikan oleh rakan perniagaannya setelah melihat kebanyakan orang Melayu kini mengadakan majlis perkahwinan mereka bertemakan Bollywood.
“Saya merasakan idea yang diberikannya sangat menarik lantas saya bersetuju,” katanya selepas pelancaran mini butik pertama Ziana Zain’s World di Shah Alam Convention Centre (SACC) Mall, baru-baru ini.
Bagi merealisasikan impiannya, dia dan rakan perniagaan telah terbang ke India sebanyak dua kali untuk mencari fabrik sari yang sesuai untuk dijadikan sebagai tudung dan Ziana memilih fabrik jenis 'mulberry'.
"Fabrik ini agak lembut, sekaligus pemakai akan selesa menyarungnya bagi menutupi aurat mereka.
“Ada di kalangan kita mungkin merasakan harga tudung ini agak mahal melihat kepada penampilan tudung tersebut. Namun saya faham dan peka bahawa kebanyakan rakyat Malaysia adalah golongan yang berpendapatan sederhana.
“Justeru itu, saya hanya menjual tudung ini dengan harga sehelai RM69.90 sahaja. Apabila saya meletakkan harga ini, saya rasa, kebanyakan pengguna mampu memilikinya,” katanya.
Sebagai permulaan, Ziana hanya menjual Gee Shawl dalam kuantiti kecil untuk melihat penjualan tudung tersebut dan sekiranya ia mendapat sambutan, dia akan menambah stok.
Terdapat 34 jenis corak Gee Shawl yang dijual di butik Ziana Zain dan orang ramai boleh mendapatkannya, bermula Sabtu lalu.
Ditanya kemungkinan untuk mengembangkan perniagaan, Ziana berkata, dia memang berniat untuk berbuat demikian pada masa yang akan datang.
“Ketika ini, saya mahu fokus dengan Gee Shawl dahulu dan saya berharap peminat mendoakan perniagaan saya berjaya,” katanya dengan penuh harapan.
Kembali berlakon
Dalam kesibukannya untuk menguruskan Ziana Zain’s World, dia kini sedang sibuk menjalani penggambaran telefilem berjudul Mati Tunggu Sekejap arahan pengarah tersohor, Rashid Sibir.
Menurut Ziana, ini kali pertama dia berlakon semula setelah merehatkan diri daripada dunia lakonan hampir sedekad lalu.
“Mati Tunggu Sekejap turut dibintangi oleh Nasha Aziz dan Adibah Noor. Telefilem ini mengisahkan tiga orang sahabat yang sudah berkahwin dan tinggal berjauhan di antara satu sama lain, bertemu semula apabila mereka pulang ke kampung setelah sekian lama tidak berjumpa.
“Apabila berjumpa, mereka bercerita mengenai kisah lampau sepanjang mereka bersahabat. Ia adalah sebuah cerita yang menarik dan perlu ditonton oleh masyarakat,” katanya.
Dia menerima tawaran telefilem itu setelah membaca skrip serta tidak mahu melepaskan peluang untuk berlakon di bawah arahan Rashid, pengarah yang sangat diminatinya.
Selain itu, lokasi penggambaran Mati Tunggu Sekejap di Tanjung Karang, Selangor menjadi salah satu faktor dia menerima tawaran tersebut.
“Selesai sesi penggambaran, saya akan terus pulang ke ibu kota untuk menguruskan hal perniagaan dan juga keluarga,” katanya.
Meskipun sibuk dengan pelbagai perkara, bagi Ziana, urusan keluarga tetap berada di tempat teratas berbanding hal lain
.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: