PONTIAN - Bagi penggemar manisan kurma anda kini boleh menuai tanaman sendiri di rumah menerusi program pokok kurma hiasan di bawah Program Termo Hybrid yang dijalankan Melayu Raya RND Biotech Berhad.
Pengasasnya, Mohd Rozaman berkata, menerusi program itu peserta boleh menanam pokok kurma jenis ajwa menggunakan pasu dan setiap pokok hanya mencecah ketinggian minima sehingga 12 kaki sahaja.
“Projek kurma hiasan ini merupakan yang pertama di negara ini dan penjagaannya tidak rumit kerana menggunakan tanah gambut dan pasir malah ia juga mengurangkan risiko serangan kumbang yang boleh menyerang tanaman lain.
“Kita sasarkan tanaman kurma hiasan ini kepada pihak perhotelan serta agensi dan jabatan sebagai hiasan malah ia juga sesuai digunakan untuk hiasan landskap di bandar-bandar,” katanya.
Katanya, setakat ini seramai 12 peserta menyertai program itu terdiri dari pengusaha tempatan dan pihaknya merancang menjalankan program itu secara berperingkat sebanyak lima fasa.
“Pada ketika ini kita sudah mempunyai tiga tapak semaian bagi kurma hiasan ini iaitu di Parit Haji Adnan, Paya Embun dan Maju Jaya di kawasan Pontian.
“Selepas ini fasa keempat dan kelima akan dijalankan di Rengit dan Ayer Baloi bagi memperluaskan lagi projek tanaman kurma hiasan,” katanya.
Katanya, setiap pokok berharga RM5,990 dan peserta akan dibekalkan pokok matang dan baja bersesuaian selain latihan dan bimbingan penjagaan tanaman.
“Hasil tuaian kurma hiasan ini sama seperti pokok biasa iaitu antara 200 hingga 300 kilogram setahun bagi setiap pokok," katanya.