KUALA KRAI - Tindakan seorang penduduk menghubungi Angkatan Pertahanan Malaysia (APM) bagi melaporkan kejadian seekor lembu terjatuh ke dalam longkang, berjaya menyelamatkan nyawa haiwan berkenaan, kelmarin.
Amin Zaharima, 24, berkata, dia difahamkan lembu itu terjatuh ke dalam longkang pada awal pagi kelmarin.
Menurutnya, lembu yang dibiarkan berkeliaran di sekitar kawasan kampung itu kebiasaannya melalui kawasan kejadian pada awal pagi.
Bagaimanapun katanya, sewaktu melalui kawasan kejadian, dia ternampak lembu itu berada dalam longkang dan menjangkakan penduduk sudah melaporkan kejadian tersebut kepada jabatan berkaitan.
“Sewaktu melalui kawasan kejadian untuk kali kedua, saya dapati lembu itu masih dalam longkang. Simpati pada haiwan itu, saya segera hubungi APM. Lembu itu luka di bahagian punggung kerana longkang agak sempit dan dalam," katanya.
Tambah Amin, sebelum ini seorang kanak-kanak pernah terjatuh ke dalam longkang sama, namun kanak-kanak itu bernasib baik kerana ada penduduk melihat dan menyelamatkannya.
Sementara itu, menurut sumber APM, selepas menerima laporan, seramai empat anggota dihantar ke lokasi kejadian untuk membantu mengeluarkan lembu itu dari longkang dengan menggunakan tali dan tripod.
“Kita dapat keluarkan lembu seberat 300 kilogram itu dari longkang sedalam enam kaki dalam masa 10 minit. Haiwan itu luka pada beberapa bahagian badan,” katanya.