SEORANG chef mendakwa hilang pendengaran untuk sementara waktu selepas menyahut cabaran mencuba mi paling pedas di dunia di Jakarta, baru-baru ini.
Memetik laporan Metro.co.uk, Ben Sumadiwiria, 22, telah ke restoran yang menghidangkan mi yang digelar sebagai ‘Mi Maut’.
Mi Maut dikatakan 4,000 kali lebih pedas daripada sos cili-cuka, Tabasco, dan 100 kali lebih pedas daripada cili burung.
Teruja untuk mencuba, chef dari London, United Kingdom itu memesan sepinggan Mi Maut dari dapur restoran.
Menurut Sumadiwiria, pada suapan pertama, dia mula berpeluh, dan pening.
Dia kemudiannya mendakwa tidak dapat mendengar apa-apa selepas beberapa minit mengunyah mi tersebut.
“Ini memang mi paling pedas yang saya pernah rasa. Sebaik sahaja ia masuk ke dalam mulut, saya mula berpeluh dan mula terasa mual.
“Semua yang mencuba akan memuntahkan mi ini ke dalam tong sampah,” katanya.
Meskipun telah menghabiskan setengah dozen air sejuk, sepinggan pencuci mulut dan segelas besar air kelapa, Sumadiwiria masih tidak dapat menghilangkah rasa pedas dan sakit kepalanya.
Sumadiwiria juga dikatakan terpaksa membuka baju dan merendamkan kepalanya ke dalam air sejuk untuk menghilangkan rasa pedas.