NAMA pelakon ini sememangnya tidak asing lagi dengan watak-watak dari filem adaptasi. Antara filem adaptasi yang pernah dibintanginya adalah Main-Main Cinta, siri Lagenda Budak Setan dan Langit Cinta.
Terbaharu, melengkapi genre filem adaptasi lakonannya, aktor Farid Kamil mengakui amat berharap untuk membintangi filem adaptasi Tombiruo: Penunggu Rimba.
Justeru, apabila terpilih dan menjadi barisan teraju utama, dia amat bersyukur.
“Sejujurnya saya tidak pernah membaca naskhah ini, tapi saya tahu ia adalah antara novel  terkenal. Bahkan apabila membaca penceritaan karakter, saya terus rasa mahu lakukan,” katanya yang memegang watak sebagai Aminuddin.
Jelas Farid, biarpun tidak pernah membaca novel, namun ia tidak menjadi penghalang buatnya mendalami watak Aminuddin.
“Kita lalui sesi latihan, sesi bacaan skrip termasuk perbincangan bersama Ramlee Awang Murshid, Nasir Jani kira-kira sebulan sebelum penggambaran.
“Saya dengar penerangan dari Ramlee sahaja saya sudah dapat bayangkan bagaimana watak yang dia mahukan.
“Kalau ikutkan dari filem adaptasi sebelum ini pun saya tak pernah membaca novelnya dan Alhamdulillah setakat ini orang suka dengan terjemahan watak saya dan saya harap untuk Tombiruo ini pun, saya dapat memuaskan hati semua,” katanya.
Ditanya cabaran membawakan watak ini, Farid berkata, antara cabaran utamanya dalam Tombiruo adalah penggunaan dialek Sabah sepenuhnya.
Katanya, dia banyak meminta bantuan seorang guru bahasa yang disediakan pihak produksi untuk mendapatkan sebutan dan cara penyampaian yang betul.
“Di set penggambaran memang ada guru bahasa yang memantau pertuturan kami. Walaupun kami tidak guna bahasa Sabah pendalaman, tapi pengarah dan penerbit tetap mahu kami bercakap bahasa Sabah yang sebaiknya,” katanya yang turut melakukan aksi silat dalam filem itu.
Sementara itu, berkongsi perkembangan terkininya, Farid berkata, dia baharu sahaja selesai menjalani penggambaran filem Pinjamkan Hatiku yang berlangsung di New Zealand.
Pada masa sama, dia masih sibuk mengumpulkan material termasuk penghasilan skrip bagi filem aksi terbaharu yang masih lagi dalam proses perancangan.