APABILA bercakap mengenai filem seram, pasti kita sudah boleh membayangkan kehadiran 'hantu' yang menakutkan, gelap dan kesan bunyi yang mendebarkan.
Namun lari daripada stereotaip filem seram tempatan yang biasa dipertontonkan sebelum ini, Aliff Dalam 7 Dimensi tampil dengan jalan ceritanya yang tersendiri.
Bukan sekadar untuk menakut-nakutkan penonton dengan elemen seram semata-mata, tetapi filem arahan Faisal Ishak ini turut mengaitkannya dengan unsur-unsur sains.
Idea dan jalan cerita filem ini dibangunkan dengan begitu menarik apabila  mengetengahkan perjuangan watak utamanya yang mahu bebas daripada saka yang terperangkap dalam dirinya selain kecenderungan anak-anak muda zaman sekarang yang suka kepada aktiviti paranormal.
Pertembungan dua elemen ini menjadikan ia  sesuatu yang baharu dan segar untuk penonton kita hari ini.
Apatah lagi yang sering mengaitkan entiti seperti makhluk halus, jin, saka dan sebagainya ini sebagai sesuatu yang tahyul atau tidak wujud.
Menerusi perjalanan watak utamanya, penonton dibawa menjelajah ke dunia supernatural.
Selain babak-babak seram yang dipaparkan, filem ini turut diselitkan dengan elemen komedi untuk mengurangkan tekanan penonton. Pun begitu ia dilakukan dengan cukup sederhana tanpa mengalihkan tumpuan penonton terhadap ‘mood’ seram sepanjang perjalanan cerita.
Meskipun ada beberapa syot dan babak aksi yang kelihatan tidak begitu kemas, namun percubaan filem ini untuk memberikan sesuatu yang berbeza buat penonton harus dipuji.
Dari segi lakonan pula, pujian harus diberikan kepada Izzue dan Alif yang berjaya mengemudi watak mereka dengan baik sekali.
Kedua-dua pelakon ini memberikan rasa yang cukup kepada jalan cerita sambil dibantu Juliana dan Kaka.
‘Aliff Dalam 7 Dimensi’ mengisahkan tentang Aliff Lamin (Izzue Islam) yang kurang bergaul dengan teman-temannya di kampus kerana dia tidak mahu kelebihannya memiliki saka mampu melihat dunia halus diketahui orang lain.
Namun suatu hari ketika dia cuba menyelamatkan rakan sekelasnya, Anna (Juliana Evans) daripada makhluk halus, rahsianya mula diketahui teman-temannya.
Anna kemudiannya mengajak Aliff untuk menyertai pasukannya yang aktif dalam aktiviti paranormal bagi tujuan menyudahkan kajian tesisnya.
Sejak itu bermulalah aktiviti Aliff, Anna dan Naim dengan mendokumentasikan kejadian paranormal di sekitar Universiti.
Apakah yang berlaku seterusnya? Berjayakah Aliff membantu rakan-rakannya atau terperangkap dengan kejadian yang bakal memusnahkan hidupnya?
Dapatkan jawapannya dengan menonton filem ini di pawagam yang berdekatan.
PENGARAH: Faisal Ishak
PELAKON: Izzue Islam, Juliana Evans, Alif Satar & Kaka Azraff.
GENRE: Aksi Supernatural
DURASI: 1jam 51minit
KLASIFIKASI: P13
TAYANGAN: 08 Sept 2016
KESELURUHAN: 3.5 bintang