SUDAH seminggu sejak Angelina Jolie menfailkan penceraian terhadap Brad Pitt dan punca perpisahan mereka kekal menjadi tanda tanya semua pihak.
Dikhabarkan sejak Jolie menfailkan penceraian mereka, belum sekalipun Pitt berkesempatan untuk berjumpa dengan anak-anak mereka lapor E News!
Sumber yang rapat dengan Pitt melaporkan bahawa beliau ingin sekali bertemu dengan anak-anaknya dan mencari jalan penyelesaian yang terbaik buat mereka semua.
“Dia (Pitt) ingin bertemu dengan anak-anaknya untuk mencapai kata persetujuan. Selain itu, dia ingin (penceraian) ini berjalan secara baik dan tertutup.
“Seterusnya dia amat mengambil berat mengenai hal anak-anaknya dan perkara terbaik buat mereka pada masa sekarang ialah memastikan keadaan dalam keadaan tertutup dan memberikan mereka privasi,” kata sumber tersebut.
Kedua-dua pelakon terkenal kini sedang dalam perbincangan mengenai hak penjagaan enam anak mereka iaitu, Maddox, Pax, Zahara, Shiloh, serta kembar Knox dan Vivienne. Setakat ini, Jolie mempunyai hak jagaan penuh, sementara Jabatan Kanak-Kanak dan Keluarga, Los Angeles menjalankan siasatan terhadap dakwaan bahawa Pitt mengkasari anaknya di atas pesawat peribadi awal bulan ini.
Aktor itu juga turut mengambil serius perkara ini serta menekankan bahawa dia tidak pernah mengasari anaknya seperti yang didakwa.
Artikel berkaitan: http://www.sinarharian.com.my/hiburan/brad-pitt-anggap-angelina-reka-cerita-1.564851
Turut difahamkan bahawa hak penjagaan sedia ini bukanlah sesuatu yang kekal kerana Jolie sedar untuk masa akan datang, dia harus berkongsi hak penjagaan dengan Pitt.
Jolie, 41 tahun memfailkan penceraian terhadap Pitt, 52 tahun pada 19 Sept dan penceraian mereka itu telah mengegarkan seluruh dunia.