JERTIH - Seorang peniaga ikan terkejut mendapati bunyi dari stor di rumahnya di Kampung Tempinis dekat Jabi sejak dua bulan lalu yang disangka tikus, rupa-rupanya seekor ular sawa seberat kira-kira 100 kilogram.
Mohd Rozi Hussin, 38, berkata, dia menyedari kelibat ular sawa batik sepanjang empat meter itu dalam stornya kira-kira jam 11 pagi hujung minggu lalu.
Menurutnya, pada hari tersebut, dia berniat mahu mengemas stor berkenaan kerana terdapat barang yang tidak digunakan lagi termasuk milik Allahyarham ibunya.
“Nasib baik ketika saya menyuluh ke dalam stor, saya nampak kelibat ular itu berlingkar sebalik kayu.
“Sebelum ini selalunya saya sendiri halau ular yang masuk rumah, tapi kali ini saya terpaksa memanggil Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) sebab ular itu besar,” katanya.
Sebagai bekas pekerja balak, katanya, dia pernah terserempak ular bersaiz demikian ketika bekerja dalam hutan, namun ini kali pertama bertemu ular bersaiz itu di kawasan kampungnya.
Dalam pada itu, dia menganggap dirinya dan keluarga terutama tiga anak berusia 7 hingga 13 tahun sebagai bernasib baik kerana tidak masuk ke dalam stor tersebut sebelum itu.
Katanya, sekiranya anak-anaknya masuk stor tersebut, kemungkinan perkara tidak diingini boleh berlaku.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Besut, Suhaimi Awang pula berkata, susulan menerima aduan itu, empat anggota dihantar ke lokasi.
Menurutnya, pada mulanya pihaknya diberitahu ular itu dianggarkan bersaiz sederhana tetapi apabila anggotanya melihat sendiri mendapati ia bersaiz besar.
“Anggota saya mengambil masa kira-kira 30 minit sebelum berjaya menangkap ular itu tanpa banyak halangan kerana ular dianggarkan lebih tiga meter dan seberat 100 kilogram itu tidak terlalu agresif.
“Ular tersebut kemudian dilepaskan dalam hutan agar ia dapat hidup di habitat jauh dari kawasan penempatan,” katanya.
Beliau menyifatkan ular tersebut adalah ular sawa batik terbesar ditangkap pihaknya tahun ini.