Friday, March 4, 2016

Terkilan bapa tiada rai kejayaan



Terkilan bapa tiada rai kejayaan
Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) Shafruddin Ali Husin (kiri) bersama Saripah melihat keputusan yang diperoleh Nor Melisa (tengah) pada Majlis Pengumuman Keputusan Peperiksaan SPM 2015, semalam.
KUALA TERENGGANU – Calon berkeperluan khas (CBK) dari Sekolah Menengah Agama (SMA) Khairiah yang sebelum ini menjadi viral kerana terpisah dengan bapanya mengakui agak sedih kerana bapanya tiada bersamanya ketika mengambil keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), semalam.
Nor Melisa Mohd Yadi, 18, berkata, dia sebolehnya berharap kejayaannya memperoleh keputusan cemerlang dalam SPM (10A 1B) dapat dikongsi bersama bapanya, Mohd Yadi Taib, 46 yang terpisah sejak tiga tahun lalu.
“Sebenarnya saya rasa agak sedih sebab ayah tiada bersama pada hari penuh bermakna ini, namun, kehadiran ibu bersama hari ini sudah cukup memadai dan dapat menghapus rasa sedih itu,” luahnya ketika ditemui pada Majlis Pengumuman Keputusan Peperiksaan SPM 2015 Sekolah-Sekolah Kementerian Pendidikan Malaysia Negeri Terengganu di Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu, di sini, semalam.
Anak kedua daripada tujuh beradik itu merupakan satu-satunya CBK tunggal yang memperoleh keputusan cemerlang dalam SPM 2015.
Menurut Nor Melisa, sebelum ini, dia meletakkan sasaran 8A sahaja kerana kurang menguasai subjek Biologi dan Sains Tulen, namun tidak menjangka memperoleh keputusan cemerlang.
Ditanya mengenai rahsia kecemerlangan yang diperoleh, Nor Melisa berkata, dia mengamalkan nilai-nilai murni sebagai seorang pelajar dengan menghormati guru dan membantu rakan dalam pelajaran.
“Sebagai pelajar, seharusnya memuliakan guru, membantu rakan-rakan yang memerlukan pertolongan dan tidak bersikap sombong selain mengulang kaji pelajaran bersama rakan-rakan.
“Saya bangun seawal jam 5 pagi untuk mengulang kaji pelajaran dan mengamalkan waktu tidur sekitar jam 11 malam setiap hari,” katanya.
Nor Melisa yang berasal dari Kampung Losong Haji Awang berkata, guru-guru, rakan-rakan dan ibunya banyak memberi dorongan dan semangat kepadanya sepanjang menjalani peperiksaan dan sering membantunya dari segi pergerakan kerusi roda semasa berada di sekolah.
“Saya amat berterima kasih kepada guru dan rakan-rakan yang banyak membantu saya dan tidak tinggalkan saya sekiranya saya meminta pertolongan,” katanya yang menyimpan hasrat menjadi pensyarah dalam bidang perubatan di Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza).
 Dalam pada itu, Nor Melisa turut memberikan semangat kepada golongan yang senasib dengannya agar tidak menjadikan kepayahan, kesusahan ataupun kecacatan yang dialami sebagai satu halangan untuk berjaya.
“Kecacatan bukan halangan untuk kita berjaya sama seperti individu normal yang lain. Saya harap rakan-rakan di luar sana yang senasib dengan saya dapat berusaha lebih gigih untuk capai kecemerlangan dalam pelajaran,” katanya.
Sementara itu, ibunya, Saripah Abu Bakar, 46, berkata, dia tidak menjangka anaknya memperoleh keputusan 10A 1B dalam peperiksaan itu.
 “Mulanya, saya jangka dia dapat 7A atau 8A dan tidak meletakkan harapan yang terlalu tinggi, Alhamdulillah, dia berjaya bukti kejayaan dalam SPM tahun lalu,” katanya.
Mengulas lanjut mengenai penyakit saraf dialami Nor Melisa, Saripah berkata, anaknya mengalami penyakit distonia atau gangguan saraf sejak diserang demam panas pada usia 11 tahun.
“Ketika berusia 11 tahun, Nor Melisa mengalami deman panas. Doktor sahkan dia terkena jangkitan kuman hingga mengalami gangguan saraf menyebabkan kesukaran untuk bergerak pada bahagian anggota badan sebelah kirinya," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: