Mustapha mencium ibunya yang telah banyak memberi tunjuk ajar untuknya berjaya.
BENTONG - Sekeras mana pun usaha kita, kalau tidak jaga hubungan dengan ALLAH dan sesama manusia, kita tak akan berjaya,” kata Mohamed Mustapha Samba Zawawi Samba, 17, yang dinobatkan sebagai pelajar terbaik Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2015 bagi daerah Bentong dengan pencapaian 11A+ 1A.
Dia yang juga pelajar Sekolah Menegah Agama Persekutuan Bentong (Superb) di sini, sangat bersyukur kerana sama sekali tidak menyangka akan dipilih sebagai pelajar terbaik kerana selama ini dia bukanlah pelajar cemerlang sekolah.
Menurutnya, terpilih untuk belajar di Superb telah memberi sinar dalam hidupnya kerana pihak sekolah sangat menitikberatkan amalan yang baik.
“Hubungan dengan ALLAH mesti dilaksanakan dengan menjalankan kewajipannya. Al-Quran panduan hidup saya dalam setiap masalah yang berlaku. Apabila baca al-Quran, hati saya jadi lebih tenang dan saya boleh tumpu pada pelajaran,” katanya.
Mustapha berkata, semangat untuk terus belajar agar mendapat keputusan cemerlang itu didorong kuat apabila dia mengenangkan jasa kedua ibu bapanya dan guru yang tidak jemu mencurah ilmu serta rakan-rakan yang sentiasa memberi tunjuk ajar kepadanya.
“Saya sangat gembira kerana dapat merealisasikan impian ibu bapa saya yang sangat menginginkan saya mendapat keputusan cemerlang dalam SPM.
“Saya harap keputusan ini dapat dijadikan contoh kepada adik-adik tingkatan 5 yang akan menduduki SPM pada tahun ini,” katanya yang akan melanjutkan pelajaran dalam bidang kedoktoran.
Sementara itu, Pengetua Superb, Khairudin Kamarulzaman yang ditemui berkata, dengan kejayaan Mustapha ini ia menjadikan sekolah dalam kedudukan nombor satu untuk sekolah cemerlang SPM Negeri Pahang dua kali berturut-turut.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: