Mohamed Shokri Hamat menyampaikan keputusan peperiksaan kepada Ain Syafiqa sambil diperhatikan ibu bapanya dan Ahli Jawatan Kuasa Persatuan Ibubapa dan Guru SMK Pangkal Meleret.
MACHANG - Menyifatkan kejayaannya mendapat A dalam semua mata pelajaran yang diduduki pada Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2015 di luar jangkaan, Ain Syafiqa Abdul Khalid percaya itu adalah hasil doa dan sokongan kedua ibu bapanya.
Pelajar terbaik sekolah harian biasa dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pangkal Meleret itu berkata, sekalipun dikenali sebagai pelajar sasaran, namun dia seolah-olah tidak percaya apabila mendapat A bagi subjek Matematik Tambahan dan Pendidikan Seni Visual.
“Selepas selesai peperiksaan, saya jangka mungkin hanya mampu dapat 9A, sebab dua subjek tersebut tak berjalan lancar. Tapi, Alhamdulillah... ALLAH tolong saya bila hari ni (semalam) keputusan diumumkan saya berjaya dapat 11A.
“Saya percaya dan yakin ini adalah hasil doa yang tidak putus-putus oleh kedua ibu bapa saya. Mereka selalu solat hajat dan melakukan solat sunat yang lain bagi tujuan kejayaan saya,” katanya.
Pada masa yang sama, anak bongsu kepada bekas pesara tentera, Abdul Khalid Jantan dan Hamidah Mohamad Nor itu berkata, kejayaan dua kakak dan dua abang Ain Syafiqa banyak memberikan inspirasi dan cabaran untuknya berjaya.
Katanya, sekalipun dia tidak mampu menandingi kehebatan mereka, namun dia sedaya upaya cuba untuk jadi yang terbaik dan lebih penting menggembirakan kedua orang tuanya.
Tambahnya, selain ibu bapa, guru-guru adalah orang penting yang menjadi tulang belakang kejayaannya dalam pelbagai aspek.
“Saya tak pernah buat jadual atau tetapkan masa tertentu belajar... saya belajar ikut mood sendiri. Tapi pada minggu terakhir sebelum menduduki peperiksaan, saya akan bekerja keras.
“Saya baca buku rujukan dan juga buku latihan berserta jawapan bagi bantu saya menjawab soalan pada peperiksaan sebenar,” kongsinya.
Berharap dapat menyambung pengajian dalam bidang perubatan, anak kelahiran Kampung Awah itu bercita-cita bergelar seorang doktor suatu hari nanti.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: