Monday, March 21, 2016

Isu penceraian: Reaksi pasangan lama berkahwin



‘Orang lama’ kongsi pengalaman
Abd Razak dan isterinya Habesah.
PERNIKAHAN adalah satu jalinan suci yang menciptakan sebuah keluarga baru di mana bersatunya sepasang suami dan isteri yang menjalani kehidupan mereka dengan mendirikan rumah tangga.
Namun, akibat perbezaan pendapat antara suami dan isteri sehingga menimbulkan pertengkaran sehingga ke tahap bercerai.
Jika dibandingkan dengan pasangan berkahwin tahun 70-an, 80-an dan kini adalah sangat berbeza di mana bilangan yang bercerai semakin bertambah dari hari ke hari khususnya pasangan muda yang hanya mendirikan rumah tangga tidak sampai lima tahun.
Bagi mendapatkan pandangan pasangan sudah berkahwin hampir 30 tahun yang masih kekal dengan pasangan mereka, Sinar Harian mendapatkan pandangan orang lama.
Kata mereka kunci kebahagiaan dalam rumah tangga iaitu  perlu mempunyai yang hati yang banyak bersabar, ikhlas dan setia pada pasangan masing-masing.
Menurut Aminah Abdullah, 63, yang sudah mendirikan rumah tangga bersama suaminya selama 36 tahun turut berkongsi tiga perkataan yang menyelamatkan rumah tangganya ialah sabar, ikhlas dan setia antara ‘mantra’ yang dipraktikkan.
Beliau berkata ketiga-tiga perkara menjadi tali pengikat antara seorang suami dan isteri, walaupun tidak dinafikan bahawa pergaduhan dan ego adalah sesuatu perkara yang biasa berlaku antara kedua pihak ini.
“Tidak kiralah pasangan sudah berkahwin zaman mana pun, pergaduhan dan sikap ego akan berlaku akibat salah faham berikutan perkara kecil mahupun besar tetapi ia adalah perkara biasa. Apa  yang menjadi masalah sampai ke tahap bercerai adalah membabitkan faktor tidak setia dan tidak sayang kepada pasangan masing-masing.
“Selain itu, faktor kekayaan dan kecantikan turut menjadi penyumbang kenapa ramai pasangan muda berkahwin dan tidak dapat hidup bersama sehingga ke tahap bercerai. Pasangan dulu-dulu, lebih pentingkan kasih sayang dengan hati yang banyak bersabar demi menyelamatkan keluarga yang bahagia tidak begitu mudah menamatkan ,”katanya.
Aminah adalah seorang aktivis badan bukan kerajaan (NGO) mendirikan rumah tangga pada tahun 1980-an bersama pasangannya Mohd Rofi Osman yang mempunyai empat anak yang kini masing-masing sudah melangkah ke alam pekerjaan.
Beliau berkata, cinta zaman kini dan dulu turut berbeza dari aspek pemikiran yang matang dengan sikap ambil mudah.
“Dulu masa cinta selalu pasangan kekasih lebih merancang mendirikan rumah tangga dan berkomunikasi dan saling bertolak ansur dalam menerima pandangan masing-masing.
“Selepas berkahwin, walaupun bukan semua indah seperti yang dirancang tetap meneruskan menimbangkan pelbagai faktor utamanya selepas menimbang cahaya mata dengan mencari jalan penyelesaian setiap masalah diharungi bukan sebaliknya dengan ambil langkah mudah untuk  bercerai,”katanya.
Bagi pasangan Abd Razak Osman,65, dan isterinya Habesah Din,60, sudah mendirikan rumah tangga selama 37 tahun dengan melalui liku-liku kehidupan pahit manis  yang  dihadapi bersama sejak mendirikan rumah tangga pada tahun tahun 1979.
Menurut Abd Razak, tidak sefahaman atau tidak serasi sering menjadi faktor yang menjurus ke arah penceraian. 
“Perselisihan kecil atau perbezaan pendapat sudah menjadi asam garam dalam kehidupan berumah tangga. Sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula suami isteri. 
“Demi kesejahteraan rumah tangga, mengapa tidak dibuang sahaja yang keruh serta ambil yang jernih. Setiap pasangan pastinya ada kelemahannya masing-masing.
“Seelok-eloknya, ambillah masa untuk memahami pasangan masing-masing serta jadikan pengalaman yang lalu sebagai pengajaran untuk memastikan kerukunan rumah tangga sentiasa terpelihara,”katanya.
Beliau merupakan bapa kepada empat anak dan bergelar ‘datuk’ turut menyifatkan faktor seperti kewangan juga turut menjadi isu dalam kes penceraian, zaman kini. 
“Masalah ini berlaku tatkala berlakunya perbezaan pangkat dan jurang pendapatan antara suami dan isteri khususnya dalam kalangan anak muda sekarang.
“Apabila isteri mempunyai pangkat dan pendapatan yang lebih berbanding suami, isteri akan merasakan dirinya lebih tinggi daripada suami dan menimbulkan perasaan bongkak sehinggakan isteri tidak lagi patuh dan taat dengan perintah suami. 
“Perasaan hormat terhadap suami semakin hilang dipengaruhi oleh sifat ego. Perkara sedemikian ini sepatutnya tidak berlaku memandangkan suami merupakan ketua keluarga. Isteri seharusnya membantu dan bertolak ansur dengan suami berkaitan dengan masalah kewangan bukannya dengan mendesak serta merendahkannya. Ini perbandingan sikit ketara yang dilihat berbeza kaum isteri zaman dulu,”katanya.
Oleh itu, janganlah menganggap bahawa penceraian sebagai jalan penyelesaian yang terbaik untuk satu konflik atau masalah yang berlaku. 
Konsep mencegah itu lebih baik dari mengubati. Bak kata orang-orang tua, jika mahu bercerai, lihatlah wajah anak-anak kerana di mata mereka ada seribu penderitaan dan kesengsaraan jika ikatan perkahwinan itu terputus.
Seboleh-bolehnya, setiap pasangan perlu banyak bersabar, bertolak ansur dan memahami antara satu sama lain untuk mengekalkan keharmonian rumah tangga. 
Komunikasi amat penting dalam menyelesaikan kemelut yang melanda jiwa mereka. Pasangan seharusnya meluahkan segala apa yang berkenaan dari hati ke hati dan tidak memendam rasa.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: