Monday, March 21, 2016

Pasar Borneo semakin dikenali




Pasar Borneo semakin dikenali
Pelbagai sayuran dan buah-buahan kampung dijual di Pasar Borneo.
PASIR GUDANG - Pasar Borneo pada asalnya bertapak secara haram sekitar 2006 di Taman Megah Ria, semakin dikenali bukan sahaja dalam kalangan orang Sarawak malah pengunjung tempatan dan seluruh negara termasuk pelancong asing.
Pengerusi Persatuan Pasar Borneo, Donny Linan berkata, sebanyak 56 tapak disediakan, 96 peratus terdiri daripada peniaga wanita menjual pelbagai sayuran kampung, buah-buahan, makanan dan pakaian tradisi masyarakat Sarawak.
Menurutnya, lebih istimewa bukan sahaja pelbagai kuih-muih dari Sarawak seperti penyaram, pulut panggang Sarawak dan sarang semut dijual di Pasar Borneo, malah ulat sagu juga boleh diperoleh di pasar berkenaan.
“Ramai penggemar ulat sagu datang untuk beli ulat tersebut di pasar ini, tetapi ia bukan ada selalu kerana ikut stok dan cuaca.
“Biasanya, peniaga akan mendapatkan stok daripada penduduk tempatan yang memajak pokok rumbia untuk kutipan ulat sagu, tetapi bergantung kepada cuaca kerana musim panas memang susah untuk dicari,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.
Rancak selepas miliki tapak berbumbung
Donny berkata, selepas memperoleh lesen perniagaan berkelompok sekitar 2008, Pasar Borneo diuruskan lebih tersusun termasuk melarang penjualan makanan atau minuman tidak halal.
Menurutnya, perniagaan di pasar itu juga semakin rancak selepas tapak sudah berbumbung dan lebih selesa untuk kunjungan majoriti masyarakat Sarawak serta pengunjung tempatan.
“Ketika awal bertapak dulu, peniaga hanya guna payung dan khemah. Keadaan sekarang lebih selesa dan terurus dengan adanya lesen dan sebuah pasar berbumbung.
“Buat masa sekarang, pasar ini hanya beroperasi setiap Sabtu, Ahad dan Rabu sahaja bermula jam 10 pagi hingga 7 malam. Kita  juga dalam perancangan untuk menjalankan perniagaan sepanjang lima hari seminggu dan bercuti hanya Khamis dan Jumaat,” katanya.
Perlu kemudahan tandas awam
Menurutnya, kemudahan tandas awam dan landskap yang menggambarkan identiti Sarawak di Johor diperlukan,   bagi melengkapkan keindahan Pasar Borneo sebagai destinasi kunjungan pelancong tempatan dan asing ke negeri ini.
Katanya, Pasar Borneo memang terkenal sebagai satu-satunya lokasi untuk mendapatkan makanan yang ada di Sarawak tanpa perlu berkunjung ke Bumi Kenyalang.
“Kita perlukan tandas awam di pasar ini untuk kemudahan pengunjung. Meskipun majoriti pengunjung orang Sarawak, tapi sudah ramai dikunjungi pelancong asing termasuk dari Jepun dan Korea.
“Keunikan barangan dan makanan yang dijual di pasar ini diyakini mampu menarik lebih ramai kehadiran pengunjung, terutama bagi penggemar sayuran kampung dan kuih-muih tradisional masyarakat Sarawak,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: