MENYEDARI masih kurang orang Islam yang menghasilkan produk Muslim mendorong seorang gadis mengusahakan mi sayuran berperisa lobak dan bayam dengan menggunakan jus sayuran asli.
Siti Jamilah Mahful, 31, yang merupakan graduan Universiti Malaysia Pahang (UMP) berkata, idea untuk membuat mi sayuran terhasil selepas mendapat perkongsian resipi dari kakak iparnya melalui aplikasi WhatsApp selepas mengikuti kelas masakan di Shah Alam.
Menurutnya, dia yang teruja pada mulanya hanya membuat mi sayuran sekadar untuk ahli keluarga memandangkan di pasaran sukar mendapatkan mi dari produk Muslim yang lebih menjamin halal, sebelum dia kemudiannya memuat naik gambar mi tersebut di laman sosial Facebook miliknya.
“Tak sangka pada mulanya sekadar suka-suka memuat naik di Facebook, tapi selepas itu saya mendapat permintaan dalam kalangan rakan-rakan dan sanak saudara yang mahukan saya membuat untuk mereka.
“Bermula dari situ saya kemudian membuat mi sayuran dan menjual secara online, Alhamdulillah ramai yang menyokong produk Muslim yang saya hasilkan lebih-lebih lagi jarang orang yang menjual mi dari sayuran,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Ayer Molek, di sini.
Siti Jamilah yang bekerja sebagai jurujual berkata, selain tidak menggunakan bahan pengawet, pewarna dan kapur, keistimewaan mi itu sesuai bagi golongan yang tidak sukakan sayur terutama kanak-kanak, selain warnanya yang menarik iaitu hijau untuk mi bayam dan oren bagi mi lobak merah.
Menurutnya, walaupun belum mempunyai kedai sendiri namun setiap hari dia mendapat permintaan 50 hingga 80 paket mi yang dijual dengan harga RM2 sepaket dan merancang untuk menghasilkan pelbagai mi sayuran lain pada masa akan datang.